Posts Tagged ‘neraka’
Memberi Untuk Apa?
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Salam kasih di angin lalu, untuk anda yang masih lagi setia mengunjungi blog saya. Semoga anda semua berada di dalam rahmat dan redha Allah.
Memberi untuk mengharapkan pahala bukan mengharapkan balasan atau habuan dari manusia.
Memberi untuk mengharapkan redha, rahmat dan akhirnya diberi Syurga oleh Allah.
Memberi berterusan untuk mengharapkan menjadi ikhlas kerana Allah.
Memberi dengan ikhlas itulah setinggi-tinggi darjat di sisi Allah
Memberilah demi meraih cinta Allah.
Tak tahulah apa yang sepatut saya ucapkan, Subhanallah atau Alhamdulillah atau Allahhuakhbar?
Sejak saya menjadi ibu tunggal ni, ada beberapa orang yang meluahkan perasaannya dalam kotak masej di facebook. Ada yang menyatakan ingin berniqap seperti saya, ada yang baru menjadi ibu tunggal seperti saya juga, ada juga yang berceritakan masalah hidup bermadu. Mohon maaf, mungkin ada yang ingin menyambung luahannya tapi facebook saya ditutup seketika. Demi menjaga hati sendiri supaya tidak bertambah perkara-perkara mazmumah yang dah sedia ada, juga untuk mengawal diri sendiri supaya tidak terlalu ‘kemaruk’ dengan fb ni. Banyak perkara tertangguh di sebabkan berfb.
Bagi anda yang meluahkan perasaan dan masih lagi belum habis nak menyatakan apa yang patut pada saya, boleh juga hubungi saya melalui blog ini di bahagian hubungi. Saya percaya anda semua membaca blog saya walaupun tidak meninggalkan sebarang komen. Terima kasih kerana memberi kepercayaan kepada saya, walaupun kita tak pernah bersua dan anda tidak tahupun bagaiamana saya lebih-lebih lagi hati saya yang tidak dapat dibaca dan dirasa.
Oleh kerana perkara ini lebih dari seorang meluahkan kepada saya, kali ini saya nak menyentuh sedikit tentang luahan mereka yang hidup bermadu/dimadukan.
Allahhu Akhbar! Takut saya membacanya, terasa-rasa saya pula bakal menghadapinya. Kerana cerita yang mereka paparkan semuanya menandakan mereka menghadapi masalah yang besar. Tetapi jangan anggap ia satu masalah anggaplah ia satu cabaran untuk kita menjadi terbaik di sisi Tuhan. Anggaplah segala ujian dan cabaran maupun yang dikatakan ‘balasan diatas perbuatan yang buruk di masa lalu’ itu sebagai penentu samada kita layak mendapat rahmat serta redha Allah dan akhirnya boleh di hantar ke Syurga Allah atau tidak. Bukankah kita mengimpikan menjadi “Bidadari di Syurga Allah”? Jika kita mampu dan sanggup menghadapinya bermakna peluang kita untuk menjadi bidadari di Syurga Allah amat-amat cerah.
“Allah melihat kesanggupan kita menghadapi apa yang diberikan-NYA kepada kita. Allah melihat bagaimana kita menghadapinya bukan apa yang kita perolehi.”
Apa-apa pun, itulah pilihan yang telah dibuat, jadi suka tak suka kena hadapi juga cuma caranya perlulah diperbetulkan dari semasa ke semasa. Memanglah kita ini manusia biasa/hamba Allah, jadi kesilapan itu tetap ada dan cubalah memperbaiki sedikit demi sedikit. Kadang-kadang kita rasa dah betul dah cara kita tetapi ada juga silapnya di mana-mana yang mungkin kita tidak nampak dan perasan. Kadang-kadang Allah ingin kita mendekatkan diri kita kepadaNYA atau ingin kita jadi baik, jadi diberikan ujian, kadang-kadang ada lagi hak Allah yang kita masih menangguhkan untuk dilaksanakan jadi Allah tidak mempermudahkan untuk kita menyelesaikan. Jadi sentiasalah bermuhasabah….
Walaupun saya sendiri tidak mengalaminya apa yang anda alami tetapi peluang untuk saya menghadapinya memang ada, maklumlah dah tak de suami. Segala kemungkinan mungkin akan terjadi pada saya walaupun saya sudah cuba mengelakkannya. Cabaran, ujian atau apa-apa sahaja istilah yang di gunakan, penanda aras kejayaan kita di Akhirat nanti. Oleh kerana hati kita milik Allah jua, walaupun kita sudah mentadbir diri kita sebaik mungkin tetapi takdir Allah mengatasi segala-galanya, jadi hati kita boleh berubah bila-bila masa sahaja.
Tahniah kepada anda yang sanggup hidup bermadu dan dimadukan. Satu kejayaan yang besar bagi anda yang berbuat demikian kerana itu menandakan anda tidak melawan/menentang hukum Allah. Anda telah selamat dalam satu sudut. Untuk bahagian lain pula mungkin perlu banyak belajar dari pengalaman atau dari orang lain yang menghadapi perkara yang sama. Banyakkan bertanya dan banyak menimba ilmu agama, insyaAllah, Allah akan mempermudahkan urusan kita. Kebiasaannya jika sudah sanggup menjadi isteri kedua atau seterusnya tiada masalah untuk menerima isteri pertama atau yang lainnya. Selalunya isteri pertama yang susah untuk menerima kehadiran orang lain dalam hidup suaminya. Itulah tugas sang suami untuk mendidik isterinya. Suami yang bijaksana dan berilmu agama pasti boleh menguruskan hal-hal yang demikian.
Jangan sampai ada di antara kita sanggup meruntuhkan kebahagiaan orang lain untuk mendapat kebahagiaan diri sendiri. Berkongsi kebahagiaan itulah yang terbaik. Makna kebahagiaan adalah bila kita sanggup melakukan pengorbanan sehingga berjaya meraih keredhaan dan rahmat Allah. Kebahagiaan kita adalah bila Allah mencintai kita bukan bila kita dicintai dan mencintai manusia.
Manakala makna ketenangan ialah apabila melihat orang lain senang serta berjaya atas apa yang kita usahakan/lakukan tanpa mahu meminta serta berharap kita akan dihargai atau disayangi. Lakukannya semata-mata kerana Allah. Jika mengharapkan kita akan dapat pulangan dari apa yang kita beri, hati kita takkan tenang kerana sentiasa teringat bilakah kita akan mendapat apa yang sepatutnya kita dapat. Panjatlah setapak lagi tangga kebaikkan untuk diri kita, dengan mengatakan,
“memberi bukan untuk menerima tetapi untuk redha Maha Esa” atau
“memberi bukan untuk menerima sesuatu tetapi untuk ke Syurga”.
“memberi tanpa mengharapkan apa-apa dari manusia tetapi mengharapkan sesuatu dari yang Maha Esa.”
“memberi dengan melupakan pemberian yang kita berikan tetapi berilah apa sahaja yang mereka perlukan.”
“memberi dengan melupakan pemberian yang kita berikan tetapi ingatlah dosa yang pernah kita lakukan.”
Dengan itu kita sanggup terus memberi kerana mengharapkan rahmat dan redha yang Maha Esa kerana dialah penentu apa yang kita dapat di dunia lebih-lebih lagi di Akhirat nanti.
Oleh itu wahai para-para isteri, kerna Allah telah mengatakan Syurgamu bergantung pada redha sang Suami. Lakukanlah yang terbaik untuk suamimu dan lakukanlah mengikut apa yang telah di gariskan dalam Islam. Lakukan kerana mencari redha Tuhan bukan untuk mendapat habuan dari Sang suami. Jangan terlalu banyak meminta tetapi banyakkanlah memberi tanpa perlu menagih simpati dan menagih untuk dihargai, apatah lagi untuk disayangi. Ya, memang benar kita berhak untuk semua itu tetapi Allah lebih tahu hak kita. Berilah hak Allah terlebih dahulu, insyaAllah kita akan mendapat hak kita tanpa perlu kita meminta. Memintalah sekadarnya, mengikut keperluan bukan meminta mengikut kemampuan serta kemahuan kita.
Saya juga pernah menjadi isteri, jadi saya juga pernah melalui apa yang pernah anda lalui tetapi mungkin sedikit berbeza. Kalau kebanyakkan sang isteri pertama tidak rela dimadukan tetapi saya lain, rela dan sanggup meminangkan isteri lain untuk suami. Cumanya suami yang tidak mahu. Begitulah kata ustazah, jika kita sanggup lakukan sesuatu yang berbeza atau yang lebih dari sepatutnya, perkara tersebut selalunya tidak terjadi pada kita tetapi bila kita tidak sanggup melakukannya, Allah akan uji kita supaya melakukannya. Perkara yang kita hendak selalunya tidak dapat tapi yang kita tidak hendaklah selalu kita terpaksa ambil. Itulah ketentuan/takdir Allah. Mampukah kita melawannya?
Kesuka-relaan isteri pertama untuk di madukan mungkin kerana ingin mencari redha Allah(pencapai tertinggi para wanita di sisi Allah), mungkin juga kerana tidak mampu membahagiakan suaminya atau mungkin juga kerana tidak bahagia dengan suaminya. Tetapi kebanyakkan para isteri walaupun tidak mampu membahagiakan suaminya dia tidak rela dimadukan atau bermadu, tetapi bila dia rasa tidak bahagia dia akan sanggup mencari yang lain dan sebagainya. Itulah namanya mementingkan diri sendiri.
Di manakah pencapaian kita? Apakah matlamat kita? Ingin terus mementingkan diri sendiri tanpa mahu mencari redha Ilahi? Tepuk dada tanyalah iman dan takwa kita. Kesanggupan kita bergantung kepada keimanan dan ketakwaan kita. Allah menilai kesanggupan kita menghadapi halangan bukan kemampuan kita memperolehi kejayaan di sisi insan yang bertaraf hamba Tuhan.
Apa-apa pun dan siapa pun kita, fikirkan matlamat akhir kita, ingin mencari redha Allah atau redha manusia? Ingin ke Syurga Allah atau ke Neraka Allah. Ingin mendapat cinta Allah atau cinta manusia. Mana yang lebih utama dan pertama?
Fikir-fikirkan…
.
*************************
Sesiapa yang meluahkan hasrat untuk pakai niqab/purdah kat saya tu, kalau dah bulat kata dan kuat semangat, jangan lupa beritahu saya kat sini ya…
. Hantarkan emel kat akak. Akak akan berikan apa yang dijanjikan….
Selamat mencari Redha Tuhan.
Wallahhua’lam.
Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.
Wassalam.
Usaha Mesti, Kejayaan usah dinanti, Serahkanlah pada Ilahi.
Pusaka ke Neraka
Assalamualaikum, apa khabar semua.
“Mak, kenapa tak sama banyak je mak?. Kenapa Ila lebih, saya dapat sikit? Lebihnya bukan sikit-sikit. Kalau setakat setengah ekar ke 1 ekar ke boleh juga saya terima. Ini lebih dari separuh. Dahlah macam tu, duit pun dia lebih juga”. Tijah membantah.
“Alah…h Jah, adik kau tu kan nak berniaga. Dia ada masalah sikit dengan perniagaannya. Jadi boleh juga dia cagarkan tanah peninggalan ayah tu untuk perniagaannya. Anaknya pulak ramai yang masih bersekolah, yang belajar lagi. Dia perlukan banyak duit untuk perbelanjaan sekolah anak-anaknya”.
“Anak-anak Jahkan semuanya dah lepas. Dah tak ada tangunggan lagi. Dah tak pening kepala nak cari duit untuk perbelanjaan anak-anak. Cuma untuk belanja diri sendiri je”. Maknya menyangah.
Salim anak yang tua pula meluah, “Mak…, patutnya anak lelaki yang lebih kalau ikutkan. Islam pun kata macam tu. Cuba mak tanya Ustaz Shofi, macammana cara yang baik dan betul untuk bahagi-bahagikan harta-harta ni”.
Maknya terus membantah,”Ikut ajelah apa yang mak kata. Engkau orang apa tau. Duduk dahlah jauh-jauh belaka. Adik kau je yang dekat dengan kampung ni. Dia yang selalu menjenguk dan menguruskan tanah-tanah peninggalan ayah kau tu. Dia juga yang selalu datang dan ziarah mak, sediakan makan minum mak”.
Adik mereka yang kecil mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju, Terus tersenyum-senyum malu, “Ialah bang, akak. Betul kata mak tu. Selama ni saya yang cari orang tolong bersihkan kebun tu, racunkan rumput, tebang pokok-pokok yang menyemakkan kebun tu. Cari orang yang ingin torehkan getah tapi duitnya kita bagi sama banyak. Sakit pening masa arwah ayah tu dulu saya yang uruskan, nak harapkan abang dan kakak jauh-jauh belaka. Dah tu balik sekali-sekala aje”. Mengiakan kata-kata ibunya.
“Ah…h! Kau memang macam tu, membodek emak nombor satu. Semuanya kau nak sapu”. Kata kakaknya, Tijah.
Setelah puas bertegang urat. Namun tiada muafakat. Walaupun telah di beri taklimat, keputusan ibunya tetap muktamat.
“Tak pelah mak. Kami pun tak tau nak cakap apa lagi. Uruskanlah semuanya sendiri atau suruh anak menantu yang mak sayangi. Kami ni tak reti. Kita lihatlah apa yang jadi nanti”. Kata Zul, abang keduanya mengalah.
Entah berapa kali mereka berbincang dan mengata dari belakang. Itulah keputusannya, itulah juga kata-kata maknya. Sudah tidak boleh di ubah-ubah lagi. Terlalu susah untuk menyedarkan dan mengingatkan emaknya. Entah apa ubat, entah apa ayat yang diberikan oleh Ila, membuatkan emak mereka terikat dengan katanya yang bulat. Keputusannya sudah muktamat.
Akhirnya mereka bersepakat, terus tanamkan tekad untuk tidak mahu ambil tahu apa yang berlaku walaupun masa telah lama berlalu mereka tetap seperti itu.
Di tepi Jendela
Nenek tua itu duduk di tepi jendela. Menyelek-nyelak tabir usang yang tidak berganti malah tidak di basuh entah berapa tahun lamanya.
Tabir itu sepatutnya menyerikan suasana di rumahnya tetapi telah menyemakkan mata yang memandangnya serta memburukkan lagi suasana di dalamnya. Mana tidaknya, rupanya yang kusam, lebam, balam, menambahkan serta memburukkan lagi suasana suram, muram dan guram. Berhabuk, berbintik-bintik hitam, bertahi lalat malah telah tercarik bagaikan di cakar sang kucing liar.
Sebenarnya bukan kucing yang mencakar, bukan jari-jemari nenek tua itu yang mencakar-cakar tabir itu, tetapi cakaran waktu, cakaran masa dan cakaran hari-hari yang telah bersilih ganti yang datang dan pergi. Cakaran-cakaran serta carikan-carikan yang membuktikan telah bertahun ia setia di sisi jendela itu. Seusia cakaran dan carikan yang ada di hati nenek tua itu.
Hujan panas, siang malam malah ribut taufan yang silih berganti akan terus mengoyakkan tabir itu, akan berterbanganlah carikan tabir lalu jatuh ke lantai serta mereputlah di situ, tiada siapa yang mahu tahu.
Tiada siapa yang ambil tahu, tiada siapa yang ingin membantu. Namun nenek itu terus menunggu.
Tabir itu sepatutnya boleh melindungi cahaya yang panas terik, telah boleh menerobos ke dalam rumah. Tabir itu boleh menapis serta menghalang habuk dan debu-debu kotor dari memasuki rumah itu tetapi ia telah boleh menyusup masuk di celah-celah belahan carikan-carikannya. Hujan panas yang kebiasaannya tidak lebat tetapi memudaratkan itu juga mampu masuk ke dalam rumah itu. Apatah lagi hujan lebat, hujan batu juga ribut taufan sudah pastilah meluru masuk ke rumah usang itu.
Usang.
Usang, seusang penghuninya. Senada sahaja apa yang ada di dalam.
Nenek tua itu masih di situ, masih lagi menyelak-nyelak tabir usang itu, mengintai-intai di luar jendela itu. Mengharapkan sapaan salam dari tetamu. Namun tiada siapa yang datang menyapa. Yang kedengaran hanyalah sapaan ayam itik di lamannya, serta kucing yang menjadi teman lamanya.
Nenek tua itu masih di situ, di jendela itu. Mengharapkan sapaan dari anak menantu serta cucu yang di rindu. Padahal suatu ketika dulu, rumah ini sentiasa ceria, sentiasa bercahaya dengan gelak tawa, dengan gurau senda ahli keluarganya. Tapi sayang semuanya telah tiada, hanya kenangan yang terus bertakhta di hati nenek tua.
Syawal telah pun berakhir. Tiada siapa yang sudi datang ke rumah usang itu. Tiada Mercedess bermata bundar yang mau mengegar laman usang itu. Tiada Alphart yang mau merapat ke laman usang itu. Tiada kereta lama yang terbatuk-batuk enjinnya yang menjenguk ke laman usang itu. Malah basikal pun tidak mahu lalu di situ. Tiada siapa yang ingin singah untuk menjengah nenek tua itu.
Kasihan dia, mengapa begitu jadinya.
Dia masih di situ. Membayangkan kenangan dulu. Bayangan yang masih terbentang di ingatannya, yang masih terang benderang menyuluh hidupnya. Dia rindukan hilai-tawa, jerit-pekit, senda-gurau juga tanggis-mengada serta rajuk-hiba cucu-cucunya. Melihat keletah dan telatah cucunya, hatinya menjadi bahagia. Dia merasakan hidupnya cukup bermakna lagi penuh sempurna ketika itu.
Tapi sekarang kasihan dia, mengapa begitu jadinya.
Nenek tua itu masih di situ, masih di jendela itu, Meniti hari-harinya tuanya yang tak menentu. Menanti dan terus menanti mengharapkan anak-anaknya kembali. Tapi apakan daya, syawal pun sudah meninggalkan kita. Harapan sudah pudar jadinya dan rasa kecewa pula yang bertakhta.
Nenek tua itu masih di situ, menunggu dan terus menunggu, di jendela yang kaku, menanti kehadiran anak menantu serta cucu. Apakah masih ada waktu untuk mereka bertemu, untuk melepaskan rindu, untuk bercerita dan mengadu, untuk berbaik tanpa cemburu, sebelum senja berlalu, sebelum malam membisu, sebelum badan sejuk kaku, hanya Allah sahaja yang tahu.
Apakah hati mereka sudah beku? Tidak adakah rasa sayu? Tidak adakah rasa terharu? Tidak adakah rasa malu? Membiarkan ibunya begitu. Ibunya menanggis tersedu-sedu.
Kenangan lalu
Dia terkenangkan anaknya Kamal. Anak pertamanya yang tinggal di Kuala Perlis. Sudah lama dia tidak balik ke kampung halamannya. Jauh adalah alasan utamanya. Masalah kewangan juga antara puncanya. Walaubagaimanapun setahun sekali akan pulang juga ke kampung Sentosa, kampung halamannya. Tetapi semenjak ibunya membahagikan harta pusaka keadaan sudah berubah. Dia sudah mula memberi pelbagai alasan untuk tidak balik ke kampungnya. Sebenarnya hatinya telah terluka.
Anak ke duanya pula, walaupun berada di Kuala Lumpur, masih tidak boleh balik ke kampung, katanya, “Kerjanya tak menentu, waktu cuti pun bertugas juga”. Itulah jawapannya bila sesekali emaknya menelefon.
“Budak-budak ni pun sibuk dengan kelas tambahan dan tuisyen. Hari cuti pun ada kelas, jadi susah sikitlah nak balik ke kampung”. Sambungnya lagi.
Manakala anak ketiganya, Tijah pula sudah berubah, katanya, “Abang Din sibuk sejak kebelakangan ini mak, selalu outstation jadi Tijah ikut ke mana abang pergi”. Itulah antara jawapan yang biasa di beri bila emaknya berada di talian talefon. Sebelum ini dia jarang mengikut suaminya. Sejak anaknya besar dia selalu mengikut suaminya. Sebenarnya hatinya tersinggung dengan sikap ibunya yang melebihkan adiknya.
“Ilakan ada, diakan anak kesayangan mak. Diakan dekat dan selalu menjenguk mak” Terkedu dan terbisu nenek itu mendengar kata-kata yang keluar dari mulut celupar anaknya. Bagaikan “memulangkan paku buah keras” pada ibunya.
Mereka memberikan pelbagai alasan untuk tidak berjumpa ibunya. Mereka marah pada ibunya. Mereka cemburu dengan adiknya. Mereka sudah lama tidak bertanya khabar tentang adiknya, juga ibunya. Biarlah begitu, mereka tidak mahu bertemu dengan adiknya. Mereka sudah tidak mau melihat muka adiknya.
Manakala anak kesayangan nenek itu, anaknya yang bongsu yang tinggal di bandar berhampiran kampungnya. Suatu ketika dulu memang selalu menjenguk nenek itu. Makan minumnya sentiasa terjaga. Bajunya sentiasa di basuh dan di lipatnya. Rumahnya selalu di kemaskan, di sapu lantainya, di tukar langsirnya, di potong rumput halaman rumahnya.
Tapi…, semenjak dia mendapat dan membolot kebanyakan harta pusaka peninggalan ayahnya, dia sudah jarang balik ke kampung, menjenguk ibunya walaupun dekat sahaja.
“Sibuk” Perkataan yang selalu keluar dari mulut Ila pada emaknya. Perniagaannya bertambah maju sekarang ini. Nak di tinggalkan takut pula tak dapat projek atau kontrak. Mana nak cari duit nak bayar rumah bonglo di atas bukit itu. Macamana nak bayar hutang kereta yang lebih sejuta harganya. Belum lagi di kira belanja yang lainnya, makan di hotel berbintang-bintang, melancung ke hujung dunia.
Bila bercuti, di gunakan untuk membawa anaknya ke luar negara. Katanya “Inilah masa untuk bermesra dengan suami dan anak-anaknya”. Untuk mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan mereka.
Tidak mengenang budi.
Begitulah lumrahnya manusia. Tidak ingatkah dia akan ibunya yang mengorbankan harta bendanya, pusaka suaminya untuk anak yang di sayanginya? Bila dah senang beginikah balasannya? Sanggup membiarkan ibunya merempat di kampung halamannya.
Anak tidak mengenang budi. Duit dah banyak, tapi biarkan ibunya sendiri. Sakit peningnya sudah tidak di peduli. Makan minumnya sendiri. Tidurnya bertemankan mimpi ngeri.
Inikah balasan untuk dirinya. Tidak berlaku adil terhadap anak-anaknya. Tidak berfikir apakah akibatnya. Bertindak sesuka hati tanpa usul periksa. Tidak bertanya pada yang arif tentang pusaka. Sepatutnya terlebih dahulu berdoa pada yang Esa, mohon petunjuk dan hidayahNya. Apakan daya menyesal sudah tidak berguna.
Masih ada masakah untuk bersatu?
Nenek tua itu tidak banyak waktu
Malaikat Izrail sedang menunggu
Untuk mencabut nyawa nenek itu
Menghantarnya ke dunia baru.
Nenek tua itukan ibumu.
Usah di kenang kisah yang lalu
Yang terluka dan rasa cemburu.
Nenek tua itu tetap ibumu
Ibumu yang satu,
Walau apa pun yang berlaku
Walaupun marah, tak setuju
Janganlah di sisihnya begitu.
Nenek tua itu tetap ibumu
Yang lalu biarlah berlalu
Binalah hidup baru
Kerana Allah sentiasa melihatmu
Mencatit apa yang berlaku
Syurga atau Neraka adalah tempatmu
Pilihlah mana yang engkau mahu.
Berbaktilah untuk ibumu
Demi Syurga yang menunggu.
Tidak kah terbuka hati mereka untuk menghentikan segala sengketa? Tidak terfikirkah mereka tentang dosa dan pahala? Tidak takutkah mereka akan Neraka? Mereka semuanya ada salah dan silapnya di mana-mana. Saling bermaaf-maafan, itulah yang terbaiknya. Atau sanggupkah mereka membawa ‘Pusaka ke Neraka’?
Inilah akibatnya terlalu memikirkan dunia.
Inilah akibatnya terlalu pentingkan harta benda
Inilah akibatnya terlalu pentingkan diri sahaja
Sangup tidak bertegur sapa
Sangup tidak bertanya khabar berita.
*******************************************************************************
Firman Allah Ta’ala bermaksud :
“Berikanlah kepada kaum kerabat hak masing-masing”
(Al-Isra: 26)
Dan lagi
“Dan Kami perintahkan manusia supaya berbaik-baik kepada kedua ibubapanya, ibunya telah mengandungnya penuh derita dan melahirkannya penuh derita, kemudian menyusuinya selama tiga puluh bulan.”
(Al-Ahqaf: 16)
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud :
“Orang yang paling banyak taqwanya kepada Allah, paling tererat sekali perhubungannya dengan keluarga, paling suka menyuruh berbuat kebajikan dan melarang berbuat kemungkaran”.
*
*
*
*** cerita di atas tiada kaitan dengan sesiapa. Hanya khayalan si penulis untuk cuba memberi ikhtibar pada semua juga pada diri penulisnya.
Wallahua’lam.
Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.
Wassalam.
Usaha Mesti, Kejayaan usah di nanti, Serahkanlah pada Ilahi.










.....Khas untuk orang Seremban. Pertanyaan dan tempahan, bolehlah hubungi Kak Faridah...., tel 012-2243696.
