Archive for the ‘Iktibar’ Category
Lidah Bercabang.
Salam kasih di angin lalu, untuk anda yang masih lagi setia mengunjungi blog saya. Semoga anda semua berada di dalam rahmat dan redha Allah.
KATA DIKOTA
“Kata-kata yang indah mengubat rasa yang gundah.
Kata-kata yang benar membuat fikiran menjadi lebih besar.
Apabila keindahan dan kebenaran bergabung, kata-kata akan menjadi kuasa yang mampu mengubah jiwa!”
Kata-kata keramat dari ustaz Pahrol Mohd Juoi dari bukunya, “Nota Fikir untuk Zikir”. Saya memang sukakan kata-kata yang indah, bukan indah semata tetapi cuba melaksanakan apa yang dikata. Saya juga suka cara ustaz Pahrol menulis, serasi dengan jiwa saya. Semoga suatu hari nanti saya boleh menjadi anak didiknya. ameen…
Azam baru saya, saya ingin menulis walaupun dalam apa keadaan sekali pun. Ketika marah, suka apatah lagi duka. Semuanya boleh menjadi sumber ilham untuk menulis. Jadi apa sahaja yang saya fikirkan saya akan cuba tulis di sini. Semoga suatu hari nanti saya boleh menjadi penulis, sehebat penulis-penulis yang ada sekarang. Walaupun tidak berjaya yang pasti saya mencuba. Bukan untuk berlawan dan berdendam dengan sesiapa tetapi secara tiba-tiba rasa itu terdetik. Di tambah pula saya tengah berfikir bagaimana mau mencari duit tambahan tanpa perlu terlalu kerap keluar rumah. Cara yang mudah dan tidak banyak kerja…. menulis apa sahaja asalkan membawa pendapatan, cerita islami, novel, cerpen atau buku-buku DIY. Cuba dulu, belum cuba belum tahu…
.
Menjahit? Dulu memang saya amat berminat menjahit tetapi sekarang telah berubah mungkin kerana ia perlukan banyak tumpuan untuk melakukannya. Lagi pun anak-anak yang kecil ini perlu lebih tumpuan di tambah pula abah mereka pun dah tak ada. Jika difikirkan dulu pun suami saya tak berapa suka saya menjahit kerana tumpuan untuknya juga turut berkurang tetapi masa itu terlalu ingin memiliki duit yang banyak dan menjadi kaya, jadi suami mengizinkan dalam terpaksa. Tetapi sekarang sudah tidak mahu kaya, ingin hidup seadanya.
Memang cukuplah makan setakat duit yang ada tetapi bila difikirkan tentang pelajaran anak-anak, saya perlu menambah pendapatan lagi. Jadi selain berniaga secara online saya ingin cuba di dalam bidang lain pula. Walaupun ramai yang mencadangkan saya untuk meminta bantuan dari pelbagai agensi tetapi rasanya setakat ini belum terfikir lagi. Saya tidak mahu termasuk didalam golongan yang suka meminta-minta dan saya ingatkan anak-anak supaya jangan suka meminta walaupun susah macam mana. Kalau pun terpaksa nanti, saya lebih rela balik kampung menoreh getah dari meminta bantuan dari sesiapa. Orang perempuan kat kampung tu walaupun dah tua masih kuat menoreh getah takkan saya yang masih muda sikit ni tak boleh buat. Tapi harap-harap tak sampai macam tu sekali susahnya.
Ditambah pula kalau boleh semua anak-anak, saya ingin menghantar ke Timur Tengah untuk belajar ilmu agama. Setakat ini anak-anak semuanya menjurus ke bidang agama dan berminat ke arah itu, walaupun pada mulanya saya yang memaksa mereka. Anak saya yang tua ingin ke sana walaupun sekarang belajar di dalam Malaysia. Anak kedua saya tak nak pergi mana-mana kolej dan tak nak juga naik tingkatan 6, katanya nak ambil STAM tahun depan. Jadi semuanya memerlukan belanja sendiri dan tinggi pula kosnya. Tetapi tak mengapa rezeki ada di mana-mana. Sesungguhnya Allah Maha Pemurah lagi Maha Kaya. Walaupun ada tawaran bekerja baru-baru ini saya tolak kerana tak nak terlalu sibuk. Untuk berniaga di tepi jalan, lagilah saya cuba elakkan kerana tak suka berjumpa dengan orang ramai di tambah pula dengan status saya sekarang ini.
Walaubagaimanapun saya bersyukur atas apa yang terjadi pada diri saya. Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmatnya walaupun pada awalnya terasa sakit tetapi sedikit demi sedikit ia berkurang. Mujahadah itu indah. Salah satunya dengan banyaknya peristiwa yang terjadi pada saya, saya lebih memberatkan anak-anak ke arah Islam, kerana tak mahu mereka tersesat di tengah jalan. Akhirnya berjaya juga walaupun ramai yang tak setuju cara saya, kata mereka, memaksa akan menyebabkan anak-anak tertekan tapi apa yang saya nampak semuanya nampak seronok dan ok sahaja walaupun pada mulanya anak-anak keberatan. Saya masih ingat kata-kata ustaz Mohsin(salah seorang juri hafazan al-Quran peringkat antarabangsa) kepada saya ketika saya menghantar anak-anak belajar di sekolah yang dia kepalainya, “Bidang agama, samada anak suka atau tak suka kita kena paksa kerana ia adalah didikan wajib. Ibubapa akan ditanya diakhirat nanti apakah kita benar-benar telah menjalankan tanggunjawab kita sebagai seorang ibubapa islam. Untuk saya mengajar sendiri memanglah tidak mampu dari segi ilmunya. Saya pun tercicir dan tidak tinggi dalam bidang agama ini, jadi terpaksalah saya menghantar anak-anak ke sekolah-sekolah yang ke arah bidang tersebut.
OK… setakat ini dulu cerita tentang diri dan keluarga.
*********
Terimalah tentang …. Lidah Bercabang.
Baru-baru ini saya berjumpa dengan sepupu perempuan saya yang tua lebih setahun sahaja dari saya tetapi masih belum berkahwin. Nasib tidak menyebelahi dia, dia sentiasa dipermainkan lelaki walaupun mempunyai raut wajah yang cantik, mempunyai perniagaan sendiri dan mempunyai kewangan yang cukup mantap. Mempunyai syarikat sendiri. Dialah pengarah dan pengurus syarikatnya sendiri. Orang macam ini pun boleh tertipu dengan lelaki, lainlah saya yang tak bergaul dengan kaum lelaki ni. Tak tau pun tektik dan kelicikan kaum lelaki memperdayakan kaum-kaum yang lemah ini. Sepatutnya mereka melindungi dan membantu kaum yang lemah tetapi sebaliknya. Walaupun kita masih di dalam kesedihan tetapi masih mengambil peluang untuk menggunakan kaum perempuan untuk kepentingan diri sendiri. Bagaimanalah hati mereka ni ye.. ? Tiada perasaan ke atau apa ye…tidak berhati perut!. Ini bukan Firaun kerana Firaun memang nampak kezalimannya tetapi ini kezaliman yang terselindung di tambah pula kalau golongan para ustaz dan ustazah yang sentiasa berceramah untuk mengajak orang lain ke arah kebaikkan tetapi dia sendiri melakukan perkara yang terlarang. Sepatutnya dia mengingatkan orang lain tetapi dia mengajak ke arah kemaksiatan. Tetapi orang yang nampak baik ini selalunya kejahatan terlindung dan tidak nampak hanya orang yang terkena sahaja yang tahu. Semoga tidak ramai menjadi mangsa dan tipu daya golongan seperti ini.
Saya berkata demikian berasaskan kenyataan. Saya pernah berjumpa seorang ustazah yang mempunyai perangai macam ini. Walaupun yang terkena itu bukan saya tetapi saya melihat perwatakan dia dari dekat sebab saya baik dengannya. Sungguh kecewa rasanya bila saya tahu perangainya yang sebenarnya. Dia adalah golongan yang di muliakan oleh orang ramai jadi macammana dia boleh melakukan perkara-perkara seperti itu. Apakah tujuannya? Dialah yang sering menyebut nama Allah tetapi bagaimana tidak melekat sebutan itu hingga ke hatinya. Tidak takut kah dia? Atau dia mempunyai cara yang tertentu untuk menghapuskan dosanya. Dan baru-baru ini sepupu saya pula terkena dengan seorang ustaz. Saya yang mendengarnya pun rasa nak marah. Saya doakan golongan seperti ini cepat-cepat ingat dan berubah. Sungguh sayang sekali segala kebaikkan yang ditaburkan tidak mendapat ganjaran apa-apa jika dihujung nyawanya nanti. Nauzubillah…. Kadang-kadang bila kita tahu dan terdengar cerita macam ni, pada mulanya memanglah rasa marah tetapi lepas tu rasa kasihan. Rugi sungguh rasanya kalau orang baik-baik buat macam ni. Selain doa, macamanalah saya nak bantu orang macam ini? Terasa ingin lebih dekat dengan orang-orang macam ini, terasa ingin membantu…
Memang susah nak membuatkan seseorang itu berubah tambah-tambah ilmu kita tak tinggi, silap-silap nanti kita yang terkena. Tetapi saya ini agaknya memang ditakdirkan oleh Allah berjumpa dengan orang yang bermasalah dan selalu berfikir macammanalah nak buat seseorang itu berubah. Atau mungkin kah saya sendiri yang bermasalah itu sebab berjumpa dengan orang bermasalah? Dari pengalaman saya sebelum ini memang susah nak mengubah seseorang tetapi jika kita tidak berputus asa insyaAllah dihujungnya akan membuahkan kejayaan.
Ya… memang pada pandangan saya, kadang-kadang kita terpaksa menggunakan keadaan yang salah pada awalnya untuk membolehkan seseorang berubah. Apabila kita berhadapan dengan orang yang hampir dengan kita seperti suami, ibu maupun bapa kita. Kita pasti menghadapi konflik perasaan. Perasaan kasih sayang, kasihan dan tidak mahu dia terus berada di dalam kemaksiatan. Walaupun rasa marah itu ada tetapi ia diatasi oleh rasa kasih dan sayang. Biasanya perasaan kasih sayang itu terkehadapan jadi kita tidak akan mampu bertegas dengan mereka. Kita takkan mampu mengatakan “itu salah jangan buat” atau bertegas “saya takkan buat kerana itu haram” pasti kita akan katakan pada insan yang kita sayang “bang, sepatutnya kita tak boleh buat macam ini, tapi tak apalah abang cuba kurangkan sikit-sikit, lama-lama nanti boleh buangkan terus”. Kita terpaksa mengalah dahulu dan dengan demikian barulah kita ubah sedikit-demi sedikit.
Bak kata ustazah Ruzimah jika kita ingin mengubah suami kita menjadi lebih baik, yang terbaiknya jangan sampai dia perasan kita cuba mengubah dirinya. Biarkan dirinya sendiri terasa ia perlu berubah. Susah nak buat tu, saya sendiri pun tak boleh buat kerana kesabaran saya tak cukup tinggi. Walaubagaimanapun Allah itu Maha Mengetahui, dia tahu apa niat kita. Walaupun terkasar sedikit dan mereka tersinggung tetapi saya nampak hasilnya, sedikit demi sedikit mereka berubah. Tak apalah mereka benci saya asalkan Allah tetap sayangkan saya.
Ameen….
Wallahhua’lam.
Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.
Wassalam.
Usaha Mesti, Kejayaan usah dinanti, Serahkanlah pada Ilahi.
Cuti sekolah….. cemburu……….
Salam kasih di angin lalu, untuk anda yang masih lagi setia mengunjungi blog saya. Semoga anda semua berada di dalam rahmat dan redha Allah.
Lama benar rasanya saya tidak menulis di blog ini. Sebenarnya tiada cerita, asyik cerita tentang diri sendiri dan keluarga nanti boleh menyebabkan sifat-sifat yang buruk pula terkeluar walaupun niat saya setakat ini bukan untuk menunjuk-nunjuk atau untuk membuka aib sendiri/keluarga. Hanya sekadar memberi ruang orang lain untuk berfikir dan merenung sejenak tentang diri mereka sendiri jika perkara yang sama berlaku ke atas mereka. Rasanya tiada perkara yang keterlaluan samada yang baik maupun yang buruk yang saya nyatakan disini. Semua perkara-perkara yang biasa-biasa sahaja yang mungkin boleh dijadikan tauladan dan panduan untuk anda semua. Yang besar-besar tu samada baik atau buruk saya simpan sendiri.
Sudah beberapa hari cuti sekolah bermula tetapi masih lagi berkira-kira bila waktu yang sesuai untuk balik ke kampung. Program mendidik anak-anak untuk ke masjid pun konon-kononnya nak buat hari-hari masa cuti sekolah ini tapi masih tak dapat nak buat, cuma hujung minggu sahaja boleh pergi, sampaikan anak saya Sodiq dan Aisyah ingatkan, “kata nak pergi masjid hari-hari tapi kenapa tak boleh pergi”. Saya hanya katakan “Abang tak ikut sama jadi ibu rasa tak selesa kita je yang pergi”. Anak saya yang tua tiada di rumah walaupun tiap-tiap minggu balik rumah, manakala anak yang tengah tunggu SPM, berkerja dan selalu balik lepas Subuh jadi yang dah besar ni memang dah jarang pergi ke masjid maupun surau. Walaupun sebenarnya saya pergi ke masjid tu untuk mendidik anak-anak yang besar ni supaya tidak tinggalkan masjid/surau tetapi dengan keadaan mereka sekarang nampaknya semakin jauh mereka dari masjid/surau. Bila sesekali ajak mereka dah mula tak nak dan katanya “segan”. Kata ustazah Ruzimah, memanglah perempuan tak digalakkan pergi ke masjid tetapi kalau kita niatkan untuk mendidik anak-anak dapat pahala wajib. Tambah-tambah abah diaorang dah tak ada jadi sayalah yang bertanggunjawab mendidik mereka.
Kalau dulu mereka rajin menolong saya di rumah dengan membuat kerja-kerja rumah samada tolong basuh pinggan, menyapu atau mengemas kat laman tapi sekarang ni dah tak macam dulu lagi. Bila di suruh dah susah sangat nak buat dan kadang-kadang bila di suruh tu lambat sangat nak buat jadi saya buat sendiri, nak tunggu diaorang buat bakal semuanya bersepah atau tak diurus. Memang betullah kata orang-orang yang dah berpengalaman “masa kecil memang semuanya nampak rajin dan senang diajak/ditunjuk ajar tapi bila dah besar sebaliknya”. Tapi tak apelah kita dah buat yang terbaik yang boleh kita buat. InsyaAllah semuanya akan jadi baik.
Ingatkan hari ini nak balik kampung tapi tak taulah order on line banyak pula yang nak disiapkan. Anak-anak yang kecil dua orang ni dah merenggek nak balik kampung atau pergi berjalan-jalan. Kalau dulu abah mereka rajin melayan kerenah mereka tapi sekarang ni tak de sesiapa pula yang boleh diharapkan. Abang-abang diaorang pun dah sibuk dengan hal masing-masing. Nak harapkan saya, entahlah bila saya boleh berubah supaya suka pergi berjalan-jalan. Dari dulu dari umur 12 tahun saya sudah mula tak suka keluar rumah walaupun duduk-duduk sambil berbual-bual di depan rumah kat kampung. Itu sebab kalau kat kampung bila sesekali keluar atau pergi kenduri jadi perhatian, lagilah saya malas nak keluar, semua orang pandang semacam je. Tapi sekarang ni dah tak kisah orang pandang cumanya saja-saja nak keluar tanpa tujuan yang penting tu masih lagi tak suka. Bila difikir-fikirkan bagus juga tu, tak delah mata yang menjadi mata-mata.
Kalau dulu walaupun saya suka duduk di rumah, sesekali masih lagi ada rasa cemburu dari almarhum suami apatah lagi masa bekerja dulu. Ditambah pula dihujung-hujung usianya memang amat ketara sifat cemburunya. Dia selalu katakan pada saya, dia sayangkan saya dan tak nak kehilangan saya. Saya cuma katakan pada dia, “Nisah dah tualah bang, tak de siapa yang nak dee”. Masa tu tak terfikir pula dia pergi untuk selama-lamanya, tinggalkan saya.
Sekarang ni, suami tak ada tetapi anak-anak pula menampakkan sifat cemburunya. Anak saya Sodiq, kadang-kadang bila saya angkat kain kat depan rumah saya tak pakai purdah, keluar kejap je. Dia dah mula pesan, “Ibu, ibukan dah pakai purdah kalau keluar kat depan ni kenalah pakai juga”. Manakala anak saya yang tua itu pun macam tu, ada kata-katanya yang menandakan dia cemburu. Padahal pada saya, saya amat menjaga diri saya. Bukan saja menjaga aurat fizikal dan hati malah tulisan-tulisan dalam web dan fb pun saya cuba tapis supaya tidak keterlaluan. Tulisan pun ada aurat ke? He, he, he… Ni kena tanya pakar ni apa yang patut di tulis apa yang tak patut di tulis…
.
Walaupun saya telah menutup ruangan untuk berchating, walaupun saya tak pernah berchating dengan mana-mana lelaki dan wanita, walaupun saya tidak memberi peluang dan ruang untuk berchating samada dengan lelaki maupun perempuan tetapi kata-kata saya di dalam fb dan web ini tak sangka pula boleh membuatkan orang tertarik. Yang perempuan saya tak kisah sangat tetapi kalau lelaki tu bahaya juga. Tambah-tambah kalau lama tak menjenguk fb tu, entah siapa-siapa pula yang tak saya kenali menulis di wall saya padahal saya tak pernah kenal atau berbual malah berchating dengan mereka. Nampaknya nak balik kampung ni kena tutuplah fb tu untuk beberapa hari. Nanti boleh menimbulkan fitnah dan buruk sangka pula orang lain pada saya….
. Apa-apapun saya akan cuba perbaiki lagi tulisan saya supaya tidak menimbulkan rasa tertarik sesiapa membacanya terutamanya kaum lelaki. Kalau terdesak, nampaknya saya kena tutuplah semuanya…
Bila difikir-fikirkan semula memang ada benarnya kenapa mereka(suami dan anak-anak) cemburu. Sebenarnya mereka semua sayangkan saya.
Wallahhua’lam.
Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.
Wassalam.
Usaha Mesti, Kejayaan usah dinanti, Serahkanlah pada Ilahi.
Hijrah…..
Salam kasih di angin lalu, untuk anda yang masih lagi setia mengunjungi blog saya. Semoga anda semua berada di dalam rahmat dan redha Allah.
Harap Maaf. Ada beberapa artikel saya yang saya simpan( kadang-kadang terkeluar juga) dalam proses transfer data ke blogsport. Mana yang saya rasa tak sesuai dan berbentuk cerita peribadi dan keluarga tu saya telah pun transfer sikit-sikit ke blog saya di blogsport. Jadi kemungkinan blog ini dikhaskan untuk cerita-cerita yang umum. Harap maaf.
Hidup ini begitulah ada masa terpaksa membuat keputusan untuk kebaikkan diri sendiri, keluarga maupun umum tapi apapun yang di atas sekali ialah Allah. Semoga sentiasa ada yang mengingatkan samada secara teguran terus, sendiran, dari artikel dan sebagainya. Alhamdulillah dan terima kasih kerana anda memainkan peranan membetulkan yang tak betul kepada yang betul, yang kurang baik kepada yang lebih baik, yang baik kepada yang terbaik dan seterusnya. Saya menghargai segalanya dan tiada apa-apa yang tersimpan dan yang tersinggung di hati. Untuk itu saya ambil balik puisi lama yang ada di dalam blog ini, yang sesuai untuk di renungkan….
Hijrah…,
Menghijrahkan diri memang payah,
Ada masa kita kalah,
Ada masa kita lelah,
Ada masa kita bertuah,
Itulah namanya Mujahadah.
Mujahadah….,
Kadang-kadang orang marah,
Kerana selalunya menentang arah.
Kadang-kadang orang tak suka,
Jadilah kera sumbang sahaja.
Kadang-kadang orang mengata,
Tunjuk baik, padahal berpura-pura.
Kadang-kadang orang menghina,
Kolot! tak mengikut peredaran masa.
Kadang-kadang orang tak yakin,
Semuanya tak boleh, kita jadi miskin.
Kadang-kadang orang menjeling,
Tunjuk hebat! Macamlah dia orang penting.
Oleh itu…,
Teruskan melangkah,
Walaupun payah.
Teruskan tekad,
Walaupun penat.
Bulatkan niat,
Kuatkan munajat.
Semuanya…,
Bukan kerana manusia,
Bukan ingin dipuja,
Bukan ingin dimulia,
Bukan untuk berbangga,
Bukan untuk mencari nama,
Bukan untuk segalanya di dunia.
Tapi untuk Allah yang Esa,
Untuk Syurga penuh pesona,
Semoga Allah sentiasa bersama kita.
Ameen, amen ya Rabbal Alamin.
Wallahua’lam.
Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.
Wassalam.
Usaha Mesti, Kejayaan usah di nanti, Serahkanlah pada Ilahi.
TAKZIAH
Assalamu’alaikum semua dan apa khabar?
Takziah pada En. Rozmal/Raja Noor(suami isteri) di atas permergian ayah dan neneknya ke Alam Barzakh, di hari yang sama(selang beberapa jam) pada hari Rabu(6/7/11) baru lepas.
Ayah En. Rozmal menghembuskan nafas terakhirnya di hospital Seremban lebih kurang jam 8.30am. Setelah di bawa ke Surau taman kami, neneknya yang berada di rumah cucunya(Rozmal) di bawa ke surau tanpa di beritahu akan kematian anaknya. Khabarnya pada sebelah malamnya nenek tersebut memang beria-ria untuk menunggu anaknya di hospital tetapi tidak di benarkan oleh yang lain kerana dia pun sudah tidak larat.
Setelah ditunjukkan/diberitahu siapa yang meninggal, dia pun menanggis dan pitam/pengsan. Rasanya tidak sampai 1 jam dari kejadian tersebut, neneknya atau mak pada si mati pula menghembuskan nafas terakhirnya. Sungguh tragis. Anak dan emak pergi sekali gus. Kata mak cik(mak en. Rozmal), itulah anak kesayangan maknya yang di amanahkan oleh adik beradik yang lain untuk membelanya. Tapi akhirnya kedua-duanya pergi bersama-sama. Ayah en. Rozmal pergi dalam usia 70an manakala neneknya tidak saya ketahui umurnya.
Saya sendiri berada di situ semasa kematian neneknya. Subhanallah…, Allah ingin terus saya menyaksikan sendiri kematian demi kematian setelah saya melihat sendiri hembusan terakhir mak mertua dan suami saya. Pasti ada hikmat di sebaliknya. Sesungguhnya kesyukuran yang dapat saya panjatkan kepada Allah Rabbal alamin.
En. Rozmal dan Cikgu Raja Noor adalah antara orang yang bertungkus lumus menguruskan pengkebumian arwah suami saya sehinggakan boleh di selesaikan dalam masa beberapa jam sahaja, walaupun jenazah suami sampai dari kampung sudah menghampiri pukul 6 ptg. Sehingga kini saya sendiri masih tidak tahu siapakah yang menanggung kos pengkebumian arwah suami yang melebihi RM1000.00.
Terima kasih pada mereka yang menghulurkan bantuan. Mereka adalah antara orang-orang yang ikhlas kerana tangan yang menerima tidak tahu siapa yang memberi. Semoga mereka sentiasa di dalam rahmat Allah. Ameen, ameen ya Rabbal alamin.
Salam takziah dari kami sekeluarga.
Wallahua’lam.
Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.
Wassalam.
Usaha Mesti, Kejayaan usah dinanti, Serahkanlah pada Ilahi.
Imbasan
Assalamu’alaikum, apa khabar semua.
Banyak juga kata-kata saya dalam blog ini seakan-akan mengambarkan ada sesuatu yang akan berlaku pada diri saya sebelum arwah suami saya pergi. Semacam saya tahu, walaupun sebenarnya saya tidak menjangkakan langsung. Kata-kata yang membuatkan saya berfikir semula dan seakan memberikan isyarat kepada saya supaya berhati-hati apabila melontarkan kata-kata.
Antaranya…,
Menyatakan tentang “Takdir Allah adalah yang terbaik”. Akhirnya saya sendiri kena menerima kenyataan bahawa takdir yang Allah berikan pada saya adalah yang terbaik untuk saya. Walaupun sebenarnya kata-kata itu saya tujukan untuk orang lain.
dan juga puisi-puisi yang saya tulis seperti di bawah ini.
Ibu Mertuaku – Dalam Kenangan
Assalamu’alaikum dan apa khabar semua,
Takbir Eidul Adha bergema penuh syahdu dan mendayu. Mengusik hati-hati insan yang dekat denganNya dan kadang-kadang menyentuh naluri manusia yang jauh terpesong dari-Nya untuk mengajak mereka kembali mengingati pada Penciptanya.
Ya…, pesona dunia kadang-kadang menenggelamkan pesona surga Allah yang tiada pada pandangan zahir. Hanya sekadar cerita-cerita dari al-Quran dan dari hamba-hamba-Nya yang mulia yang sentiasa mengasihi Pencipta dengan sentiasa memberi ingatan dan berdakwah tanpa rasa putus asa walaupun diasak dengan pelbagai mehnah. Sebutan dan kasih yang tiada putus-putus di bibir mereka mampu menyedarkan mereka yang leka. Mereka terus memuja dan mempunyai keyakinan tiada belah bahaginya terhadap Khalidnya, walaupun ada juga yang mengatakan,
“ahh…!, itu semua tiada pastinya”. Nauzubillah…
Sudah tentu sungguh sukar untuk membawa hati mereka kepada Pencipta. Namun segala penat lelah mereka yang berusaha pasti dibayar dengan ganjaran yang tiada nilainya di dunia ini.
Takbir itu terus dialunkan penuh keinsafan dan kesayuan. Mak yang terbaring kelemahan turut merasakan kesayuan dan kesedihannya. Mungkin teringatkan insan-insan yang telah pergi.
Apa khabar agaknya mereka yang berada di alam barzakh? Bilakah giliran kita pula untuk singgah di sana? Dan bagaimanakah persediaan kita ya…?
Mak yang Mulia
Pandangan matanya redup dan layu. Namun kegembiraan terpancar di wajahnya kerana dikelilinggi anak-anak yang sentiasa mengasihi mak. Masih sempat berjenaka dengan anak-anak dan cucunya, walaupun dia sudah tidak berdaya untuk bangun sendirian.
Di hari Sabtu sebelum raya, kami singgah untuk menziarahi mak di rumah kak ipar, tapi dia tiada di rumah. Jadi kami tinggalkan nasi ayam goreng dan bingka labu di rumah kakak dan kami teruskan perjalanan menuju ke kampungku. Sengaja ku buat ayam goreng kerana ku tahu mak memang suka ayam goreng. Selalunya bila dia datang ke rumah kami, akan saya sediakan ayam goreng untuknya dan letakkan berhampiran dengannya supaya dia boleh mengulang makan pada bila-bila masa. Memang dia tak banyak makan tapi ayam goreng dia makan seolah-olah makan makanan ringgan. Sikit-sikit di cubitnya untuk mengalas perutnya.
Apa sahaja yang dihidangkan akan dijamahnya, walaupun lauk atau nasi semalam yang dipanaskan semula dan kalau sejuk-sejuk pun dia makan juga, tak pernah dia kata tak nak. Cumanya kadang-kadang suamiku memaksa mak makan banyak sedikit sebab badannya lemah dan tiada tenaga. Memang dengan suamiku dia ikut sahaja jika dibandingkan dengan kakak-kakak iparku, terutamanya jika mau makan ubat. Kalau demamnya berlarutan kakak ipar selalunya akan mengadu pada suamiku supaya dia boleh memberi ubat pada mak. Itulah sedikit yang susahnya tapi yang lain-lain tiada masalah. Bertuahnya saya mendapat mentua sepertinya.
Mencari Keaiban Diri
Assalamu’alaikum dan apa khabar semua,
Demi mengurangkan sedikit ketegangan di blog-blog lain yang mana komennya banyak meluah rasa kekecewaan terhadap lelaki yang bernama suami. Dimana pada anggapan kebanyakkan orang, jika diluahkan akan mengurangkan beban yang tidak tertanggung beratnya di kepala. Jika tidak diluahkan ia bagaikan gunung berapi yang di letakkan di atas kepala yang pada bila-bila masa sahaja akan meletup. Debu-debu dan cairannya telahpun meleleh keluar meninggalkan kotoran dan kerosakkan pada keadaan sekelilingnya. Tinggal lagi menunggu laharnya memancutkan api kepanasannya dan bahangnya pasti di rasai mereka yang berada di sekelilingnya. Dan pada ketika itu sudah tentu tidak boleh dibuat apa-apa lagi. Hanya mampu menjauhkan diri, jika bertahan akan memakan diri sendiri. Begitulah andaian saya.
Begitulah juga mungkin pendapat kebanyakkan orang. Tetapi setelah ditanyakan pada ustazah saya, ustazah Ruzimah. Beginilah lebih kurag jawapannya,” kalau sekadar nak meluahkan perasaan yang marah dan geram tu, tak perlulah teruskan niat tu kerana ia akan menambahkan dosa yang sedia ada kerana membuka keaiban suami kita, yang mana dialah penentu syurga atau neraka kita”.
“Tetapi jika untuk menyelesaikan masalah, tak mengapa dan nyatakanlah kepada mereka yang layak dan bukannya kepada sebarangan orang atau semua orang(seperti bercerita dalam blog, dalam radio dll). Jika kita bercerita tu, melindungi identiti orang yang bermasalah tu, tak mengapa jugalah, bolehlah juga di terima cara tu sekurang-kurangnya memberi ingatan dan ikhtibar pada mereka yang membacanya”.
Ya…, memang terlalu ramai para lelaki di luar sana yang sepatutnya menjadi pemimpin kepada kaum wanita tetapi akhirnya hanya mementingkan diri sahaja. Hipokrik, mementing diri sendiri, bagai melepaskan batuk di tangga setiap apa yang dilakukannya untuk anak-anak dan isterinya dan berbagai istilah yang boleh sahaja diumpamakan untuk mereka. Amanah yang sepatutnya digalas oleh mereka punah bagai daging yang bernanah. Bukan sahaja telah menjadi kudis malah tidak berguna serta mengeluarkan bau yang busuk.
Oleh itu kita para ibu yang mempunyai kesedaran itu, haruslah membimbing dan mendidik anak-anak lelaki kita supaya tidak menjadi seperti apa yang telah terjadi. Jangan biarkan mereka terumbang ambing mencari diri sendiri. Bimbinglah mereka dengan cahaya Ilahi, suluhkan mereka dengan suluhan yang telah ditunjukkan oleh Muhammad s.a.w iaitu Nabi kita. Jangan biarkan mereka terus berpusu-pusu memasukki institusi yang tiada ertinya. Lihat sekarang di institusi itu(penjara dan pusat Serenti), siapakah lebih ramai. Lelakikah atau wanita? Islamkah atau bukan Islam?
Jadi…, merekakah yang bakal menjadi pemimpin anak-anak perempuan kita? Jikapun mereka telah berubah jadi baik. Berapa ramai? Bukankah pernah dikatakan untuk menilai sesebuah keluarga atau negara itu, kita lihat pemimpinnya dulu?
Buruk Sangka
Assalamu’alaikum dan apa khabar semua.
Saya menyalin semula tanpa mengubah apa-apa, yang tertulis di dalam buku BIMBINGAN MU’MININ-pada mencari redha Rabbil alamin, terjemahan Syed Ahmad Semait(Singapura). Bacalah untuk renungan kita bersama. Muhasabahlah diri kita, adakah kita tergolong dalam kelompok ini dan bersama-samalah kita memperbaiki diri kita. Semoga kita berada dikalangan orang yang sentiasa mencari redha Allah.
Menyangka buruk adalah mengumpat di dalam hati.
Ketahuilah bahawa menyangka buruk terhadap orang lain adalah haram dan samalah seperti haramnya melemparkan kata-kata keji terhadapnya. Sebagaimana haram anda mengucapkan perihal keburukan-keburukan orang dengan lidahmu, maka begitu jugalah dilarang anda mengucapkan keburukan-keburukannya di dalam hati, ataupun menyangka buruk terhadapnya. Apa yang dimaksudkan dengan sangkaan buruk itu, ialah sesuatu yang disimpulkan oleh hati, kemudian dilemparkan ke atas orang lain menerusi sangkaan yang buruk.
Adapun segala yang terlintas di dalam hati, ataupun yang dibicarakan di dalam diri, maka yang demikian itu adalah dimaafkan. Tetapi yang dilarang dengan keras ialah menyangka yang bukan-bukan. Dan sangkaan itu diumpamakan dengan sesuatu yang dirasa tenang oleh jiwa dan dicenderungi oleh hati.
Allah swt telah berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah sebahagian besar dari sangkaan-sangkaan, kerana setengah dari sangkaan itu ada mengandungi dosa.”
(al-Hujurat : 12) Read the rest of this entry »
Tentang Islamic Fashion Show
Assalamualaikum dan apa khabar semua.
Oleh kerana rasa cinta dan kasih sayang saya terhadap pembawa cahaya Islam ke seluruh alam ini, iaitu Muhammad s.a.w, saya juga tidak bersetuju atas apa yang berlaku di IFF, sungguh keterlaluan!. Dari mula-mula penganjurannya lagi saya sudah dapat merasakan ketidak sesuaiannya ia di panggil IFF(tak pasti nama penuhnya).
Jadi saya gunakan sahaja artikel Ustaz Zaharuddin untuk menyatakan bantahan saya. Semoga ia menjadikan peringatan untuk diri saya terutamanya yang masih lagi suka memakai baju dan tudung yang cantik-cantik(berfesyen).
********************************
‘Islamic Fashion Show’ telah dianjurkan beberapa kali sebelum ini, namun penganjuran ketika itu tidak mendapat sebarang respon dari cendiakawan Islam, mungkin disebabkan fesyen-fesyen yang ditayangkan tidak begitu melampau. Ataupun ia tidak sampai ke pengetahuan golongan ini.
Namun pada tahun 2010, bertempat di sebuah negara bukan Islam, fesyen yang ditayangkan sudah jauh melampaui batasan. Berdasarkan gambar-gambar yang tersiar di media dan internet, pertunjukan fesyen yang dianjurkan adalah ‘clear cut’ bercanggah dengan Islam dan tidak layak diberi nama ‘Islamic’. Malah ia sudah termasuk di dalam kategori mempersendakan Islam.
Kita menyedari, pihak penganjur mensasarkan keuntungan jualan lalu cuba meraih perhatian dan kelainan melalui penganjuran ini. Namun mereka sepatutnya lebih sensitif dalam menggunakan nama ‘Islam’ bagi perniagaan dan program mereka. Cuba bandingkan :-
- Kita melihat bagaimana kewangan dan perbankan Islam di kawal oleh para ulama sedunia agar apa yang ditawar benar-benar secocok dengan kontrak-kontrak muamalah Islam, sama ada secara mikro dan makro. Itulah yang sewajarnya dilakukan apabila mereka menggunakan nama ‘Islam’ dalam produk perniagaan dan pembiayaan kewangan mereka.
- Kita juga dapat melihat sebarang penggunaan tanda halal juga mesti melalui suatu piawaian yang digariskan oleh JAKIM dan badan-badan yang diiktiraf di dalam dan luar negara.
- Malah penggunaan nama ‘Buffet Ramadhan’ juga dipantau dengan baik sekali oleh pihak JAKIM.
- Sesebuah unversiti yang ingin menawarkan apa sahaja kursus yang mempunyai label Islam, mereka akan dipastikan oleh lembaga akreditasi agar mempunyai tenaga pengajar bertauliah dan berkelayakan rasmi dalam ilmu Shari’ah. Susunan silibusnya juga mesti dipantau agar tiada yang menyeleweng.
- Organisasi politik yang ingin meletakkan nama Islam pada parti mereka, perlu mendapat restu majlis raja-raja yang merupakan ketua agama bagi negeri-negeri.
- Penceramah-penceramah yang ingin berceramah di khalayak awam juga turut dimestikan untuk mendapat tauliah dari jabatan agama Islam negeri.
Bekalan ke Destinasi Terakhir.
Assalamu’alaikum, apa khabar semua.
Ketika saya mencari-cari keputusan apa yang patut saya buat, Allah telah memilih manusia-manusia mulia untuk mengutuskan sesuatu untuk saya fikirkan. Terima kasih Allah dan terima kasih kepada manusia-manusia yang sentiasa menulis perkara-perkara yang baik untuk difikirkan serta dimanfaatkan bersama.
Saya begitu tersentuh dengan kisah si penjual tempe yang tersiar di blog Ros Illiyyuun. Panjang kisahnya, kalau nak baca pergi ke blog dia(klik di sini).
Begitu juga ustaz/ustazah yang melahirkan hasil tulisan yang baik untuk pengunjung blognya antaranya Ummu Husna dan Ummu Abbas yang begitu bermanfaat hasil tulisannya. Semoga mereka mendapat ganjaran yang setimpal dari “Pemberi Ilham” kepada mereka.
Ya.., sebagai manusia biasa yang hina dina di sisi Penciptanya, sering saje apa yang dirancang tidak terjadi seperti apa yang diharapkan. Bukannya sesekali perkara tersebut terjadi malah berkali-kali tetapi tidak bererti saya telah putus harap, cumanya saya sebagai manusia berdosa dan bernoda sekadar meluah rasa. Tanpa disedari tersalah kira dan terlepas bukan pada tempatnya. Pun begitu saya kira tidak mengaibkan diri sendiri tetapi dengan niat di hati ingin memberi ingatan pada yang sudi untuk berfikir demi kebaikan diri anda sendiri mahupun ahli keluarga sendiri.
Ya…, memang saya akui seperti kata “Genta-Rasa” dari ustaz Pahrol,
“…Sebagai perbandingan, sehelai rumput di syurga adalah lebih baik daripada sebutir mutiara di dunia. Kenapa? Kerana rumput di syurga itu lebih kekal berbanding sebutir mutiara di dunia. Itu baru sehelai rumput, bayangkan sebutir mutiara di syurga. Ia sesungguhnya, bukan sahaja lebih kekal malah lebih bernilai daripada sebutir mutiara di dunia.
Harga Setitis Darah
Assalamu’alaikum, apa khabar semua.
Jari-jemari ini telah lama ingin menari, ingin menulis sesuatu tentang Yahudi. Namun saya cuba bersabar dan bertenang untuk beberapa ketika. Ingin melihat dan membaca artikel dan komen-komen yang tertulis di blog-blog lain. Kalau nak ikutkan darah muda sudah lama saya menghentam apa yang tersirat di dalam hati. Namun, ketika ini saya sedang belajar menjadi seorang tua yang mampu bertenang dan berfikir sebelum melontarkan kata-kata. Walaupun kekadang terserlah juga keceluparannya.
Ya.., dalam meniti perjalanan hidup yang tak tahu bila kesudahannya, kadang-kadang tergelincir, harap-harap saya tidak jatuh terus ke dalam gaun yang dalam kerana jika ingin bangkit semula amat payah rasanya.
Alhamdulillah dan tahniah bagi mereka yang syahid. Amat bertuah mereka-mereka yang Syahid Akhirat, yang gugur dalam perjuangan menegakkan Islam. Kerana segala kesalahan mereka tidak perlu dihisab kecuali hutang-hutang yang mereka tinggalkan.
Saya juga ingin syahid seperti mereka, seperti mereka yang terbunuh di perjalanan ke Palastine, di dalam kapal bantuan kemanusian Mavi Marmara. Walaupun mungkin dalam bentuk dan cara yang berbeza, syahid akhirat adalah idaman/matlamat saya. Sesungguhnya saya takut akan balasan yang akan saya terima disebabkan dosa-dosa yang tidak terhitung banyaknya.
Agh… Neraka, cukup menyiksakan. Sedangkan dihiris pisau semasa memasak pun sakit rasanya, sedangkan tercucuk sirip/insang ikan pun sakitnya berpanjangan, inikan pula neraka yang lebih dahsyat sakitnya.
Setiap hari kita melakukan dosa, setiap perkataan yang kita lontarkan akan dikira, jelingan mata kita akan dikira kerana pastinya hati akan berkata-kata. Marahkan anak-anak juga akan dikira walaupun ia benar dan patut kerana selalunya dalam keadaan marah kita tak sempat ingatkan Allah. Sekadar mampu menyebut dibibir nama Allah tapi dihati tidak terasa. Itulah hakikatnya saya dan saya sedang cuba untuk bermujahadah ke arah itu.
Justeru itu, saya amat mengkagumi semangat NGO terutamanya dari Malaysia. Mereka mempunyai semagat jitu. Antara lontaran kata-kata mereka yang membakar semangat saya, yang lebih kurang bunyinya
“ini hanya cebisan sahaja, sikit sahaja, mereka yang berada di Palastine lebih teruk dan lebih siksa/susah lagi”.
Betapa kuatnya jiwa-jiwa mereka, tidak merasa serik dan semangat mereka bertambah kuat untuk terus berjuang. Bertuahnya mereka kerana Allah mencampakkan kekuatan yang luar biasa. Sudah tentulah mereka bukannya calang-calang manusia.
Isteri Rantisi-Ummu Muhammad.
-

- Dari ismamelaka.com
Saya amat mengkagumi pejuang-pejuang Palastine terutama Sheikh Ahmad Yasin dan Rantisi. Setiap kali saya merasakan diri saya lemah dan kecewa dengan apa yang berlaku ke atas saya, saya akan mencari buku-buku yang boleh membangunkan kekuatan diri antaranya kisah pejuang-pejuang Palastine. Kisah mereka entah berapa kali saya baca dan setiap kali saya membaca pasti air mata saya berjujuran keluar. Kagum dengan kekuatan dalaman yang ada pada mereka. Sedangkan kita di sini sedikit sahaja masalah yang melanda sudah rebah ke tanah. Kadang-kadang tidak mampu bangun untuk mengubah apa yang telah punah dan musnah. Read the rest of this entry »
Bukan kerana Jenama
Assalamu’alaikum, apa khabar semua.
Kebelakangan ini kebanyakkan akhbar, tv, radio mahupun di blog-blog banyak memperkatakan tentang masalah sosial di kalangan anak-anak remaja/muda. Masalah membuang anak di merata tempat seolah-olah seperti membuang sampah. Astaghfirullah…
Ya… memang sungguh mencabar apabila berhadapan dengan anak muda/remaja sekarang ini. Saya juga mempunyai anak-anak remaja dan pelbagai pengalaman yang telah saya tempuhi samada dengan anak sendiri, adik sendiri juga dengan anak remaja yang tak saya kenali siapa ibubapanya, juga yang saya kenali ibubapanya. Ingin saya coretkan sedikit pengalaman saya yang berhadapan dengan mereka. Semoga ia boleh menjadi panduan untuk anda menghadapi kerenah anak-anak remaja.
Pastinya setiap dari kita, mengalami masalah yang sama ataupun berbeza, tapi masih lagi tidak berjumpa penyelesaiannya. Mungkin pengalaman dan cara saya mengatasinya boleh memberikan anda sedikit ilham.
Jika pun ia satu kesilapan yang saya lakukan, mungkin boleh diambil ikhtibar supaya tidak terjadi kepada anda ataupun boleh dijadikan landasan untuk anda menangani masalah anak-anak anda suatu hari nanti.
Terlena di Lembah Hina
Assalamu’alaikum, apa khabar semua.
Sungguh nyenyak tidurnya si pemuda yang jika di amati amat tampan wajahnya. Wajah kuniaan Ilahi yang patut disyukuri. Wajah yang menjadi kegilaan para gadis untuk ditatapi. Wajah kebangaan ibubapanya semasa bayi. Wajah kerlingan jiran tetangga kerana dia dicemburui.
Tapi sayang, ketampanannya tidak dihargai, kerana tidak di tatap di cermin peribadinya setiap hari iaitu dengan bermuhasabahkan diri sehingga ke hati dan sanubari sehingga hilang segala seri. Sepatutnya setiap hari berkali-kali perlu dia mencerminkan diri, untuk menghindar dan mengurangkan jika ada palitan kotoran di dalam dirinya. Palitan najis yang mungkin mengundang bau yang tidak di gemari oleh orang sekelilingnya. Palitan sisa makanan yang dimakannya tengahari tadi. Palitan pen yang tidak sengaja terconteng dimukanya atau palitan serta percikan air lumpur yang tersimbah di mukanya semasa dalam perjalanan balik dari kerja serta pelbagai palitan lagi yang mungkin singgah di mukanya tanpa disedari.
Sayang, ketampanan wajahnya terlindung oleh mukanya yang kelihatan berserabut tidak terurus. Dia telah pergi jauh di dunianya sendiri tanpa perlu memikirkan hal lain yang terjadi di sekelilignya. Alam syurgawi baginya, alam yang sungguh menyeronokkan baginya tetapi sungguh hina bagi sesiapa yang berakal bila melihatnya. Ya, alam khayalan bagi yang telah menikmatinya. Sunggu…h! ketagih di buatnya. Sesiapa yang telah terjerumus ke lembah itu sungguh susah untuk melangkah keluar dari lembah itu. Walaupun apa ayat yang di berikan, walaupun apa benda yang boleh dan mahu di sumbatkan tetapi pasti sumbatan itu tercampak keluar dan mampu mempengaruhi persekitarannya. Begitulah kuat tersebarnya dan berkembangnya udara atau gas lembah hina itu. Mengembang, terus mengembang dan terus merebak di persekitarannya serta mampu memlebarkan dan membesarkan lagi jajahannya.
Madrasah Cinta Kita
Assalamu’alaikum, apa khabar semua.
Si buta mengerak-gerakkan tongkat tidak menentu arahnya untuk mencari arah tuju yang betul, si bisu menggerak-gerakkan tangan dan jari jemarinya berulang-ulang kali dengan suara yang selari, aaaa…., eeee …, oooo.. untuk menerangkan sesuatu supaya di fahami oleh insani. Si sengau mengulang-ulangi percakapannya supaya lebih jelas pertuturannya untuk di fahami oleh manusiawi, eok eca peci cayant yaa..
Matanya di kencit-kencit, ingatkan ingin mengurat tapi itulah kecacatan semulajadi yang ada padanya. Begitu juga si kaki tempang, si berot mulutnya, si kudung kaki atau tangannya atau kedua-duanya sekali. Itulah lahiriah yang kita nampak akan kecacatan mereka.
Mengapa di hina mereka semua? Mengapa di pandang rendah pada mereka semua? Hebat sangatkah kita di mata makluk lain ciptaanNya? Read the rest of this entry »
Kisah tanpa Nokhtah
Assalamualaikum, apa khabar semua.
Ibubapa impikan, QurRatulA’yun
Kuasa Allah, Kunfayakun.
Malam kelihatannya gelap hitam. Tetapi masih ada bintang-bintang yang bertebaran di cakrawala, berkelip-kelipan yang menghiasi malam yang kelam, sang bulan pula membiaskan cahaya di celah-celah awan menerangi malam yang kegelapan. Kepulan-kepulan awan mencorakkan suasana malam, kadang-kadang muncul dengan cahaya terang, kadang-kadang terlindung dek awan yang melintasi sang bulan, maka hilanglah cahaya malam untuk seketika waktu. Begitulah keadaan malam sementara menunggu siang yang belum tentu terang benderang. Alangkah hebatnya Tuhan Ar Rahman, ciptaannya tiada tandingan sentiasa memainkan peranan bertugas mengikut giliran yang telah di tetapkan.
Ya.., siang belum pasti terang dan malam pula tidak mesti hitam. Malam yang mungkin teraba-raba mencari jalan serta arah tujuan tetapi siang tidak mungkin mudah seperti yang di sangkakan, bebas terbang melayang-layang tanpa perlukan panduan dan bantuan. Jangan terlalu cepat membuat andaian dan khayalan.
Malam yang Kelam
Dinihari itu hujan rintik-rintik, tiada bintang penyeri malam yang kelihatan. Tiada juga bulan yang menyuluh malam yang kelam. Kesejukan malam menusuk ke tulang rawan manakala sang katak pula mengalunkan lagu memanggil hujan, memecah suasana malam yang suram.
Pusaka ke Neraka
Assalamualaikum, apa khabar semua.
“Mak, kenapa tak sama banyak je mak?. Kenapa Ila lebih, saya dapat sikit? Lebihnya bukan sikit-sikit. Kalau setakat setengah ekar ke 1 ekar ke boleh juga saya terima. Ini lebih dari separuh. Dahlah macam tu, duit pun dia lebih juga”. Tijah membantah.
“Alah…h Jah, adik kau tu kan nak berniaga. Dia ada masalah sikit dengan perniagaannya. Jadi boleh juga dia cagarkan tanah peninggalan ayah tu untuk perniagaannya. Anaknya pulak ramai yang masih bersekolah, yang belajar lagi. Dia perlukan banyak duit untuk perbelanjaan sekolah anak-anaknya”.
“Anak-anak Jahkan semuanya dah lepas. Dah tak ada tangunggan lagi. Dah tak pening kepala nak cari duit untuk perbelanjaan anak-anak. Cuma untuk belanja diri sendiri je”. Maknya menyangah.
Salim anak yang tua pula meluah, “Mak…, patutnya anak lelaki yang lebih kalau ikutkan. Islam pun kata macam tu. Cuba mak tanya Ustaz Shofi, macammana cara yang baik dan betul untuk bahagi-bahagikan harta-harta ni”.
Maknya terus membantah,”Ikut ajelah apa yang mak kata. Engkau orang apa tau. Duduk dahlah jauh-jauh belaka. Adik kau je yang dekat dengan kampung ni. Dia yang selalu menjenguk dan menguruskan tanah-tanah peninggalan ayah kau tu. Dia juga yang selalu datang dan ziarah mak, sediakan makan minum mak”.
Adik mereka yang kecil mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju, Terus tersenyum-senyum malu, “Ialah bang, akak. Betul kata mak tu. Selama ni saya yang cari orang tolong bersihkan kebun tu, racunkan rumput, tebang pokok-pokok yang menyemakkan kebun tu. Cari orang yang ingin torehkan getah tapi duitnya kita bagi sama banyak. Sakit pening masa arwah ayah tu dulu saya yang uruskan, nak harapkan abang dan kakak jauh-jauh belaka. Dah tu balik sekali-sekala aje”. Mengiakan kata-kata ibunya.
“Ah…h! Kau memang macam tu, membodek emak nombor satu. Semuanya kau nak sapu”. Kata kakaknya, Tijah.
Setelah puas bertegang urat. Namun tiada muafakat. Walaupun telah di beri taklimat, keputusan ibunya tetap muktamat.
“Tak pelah mak. Kami pun tak tau nak cakap apa lagi. Uruskanlah semuanya sendiri atau suruh anak menantu yang mak sayangi. Kami ni tak reti. Kita lihatlah apa yang jadi nanti”. Kata Zul, abang keduanya mengalah.
Entah berapa kali mereka berbincang dan mengata dari belakang. Itulah keputusannya, itulah juga kata-kata maknya. Sudah tidak boleh di ubah-ubah lagi. Terlalu susah untuk menyedarkan dan mengingatkan emaknya. Entah apa ubat, entah apa ayat yang diberikan oleh Ila, membuatkan emak mereka terikat dengan katanya yang bulat. Keputusannya sudah muktamat.
Akhirnya mereka bersepakat, terus tanamkan tekad untuk tidak mahu ambil tahu apa yang berlaku walaupun masa telah lama berlalu mereka tetap seperti itu.
Di tepi Jendela
Nenek tua itu duduk di tepi jendela. Menyelek-nyelak tabir usang yang tidak berganti malah tidak di basuh entah berapa tahun lamanya.
Tabir itu sepatutnya menyerikan suasana di rumahnya tetapi telah menyemakkan mata yang memandangnya serta memburukkan lagi suasana di dalamnya. Mana tidaknya, rupanya yang kusam, lebam, balam, menambahkan serta memburukkan lagi suasana suram, muram dan guram. Berhabuk, berbintik-bintik hitam, bertahi lalat malah telah tercarik bagaikan di cakar sang kucing liar.
Sebenarnya bukan kucing yang mencakar, bukan jari-jemari nenek tua itu yang mencakar-cakar tabir itu, tetapi cakaran waktu, cakaran masa dan cakaran hari-hari yang telah bersilih ganti yang datang dan pergi. Cakaran-cakaran serta carikan-carikan yang membuktikan telah bertahun ia setia di sisi jendela itu. Seusia cakaran dan carikan yang ada di hati nenek tua itu.
Hujan panas, siang malam malah ribut taufan yang silih berganti akan terus mengoyakkan tabir itu, akan berterbanganlah carikan tabir lalu jatuh ke lantai serta mereputlah di situ, tiada siapa yang mahu tahu.
Tiada siapa yang ambil tahu, tiada siapa yang ingin membantu. Namun nenek itu terus menunggu.
Tabir itu sepatutnya boleh melindungi cahaya yang panas terik, telah boleh menerobos ke dalam rumah. Tabir itu boleh menapis serta menghalang habuk dan debu-debu kotor dari memasuki rumah itu tetapi ia telah boleh menyusup masuk di celah-celah belahan carikan-carikannya. Hujan panas yang kebiasaannya tidak lebat tetapi memudaratkan itu juga mampu masuk ke dalam rumah itu. Apatah lagi hujan lebat, hujan batu juga ribut taufan sudah pastilah meluru masuk ke rumah usang itu.
Usang.
Usang, seusang penghuninya. Senada sahaja apa yang ada di dalam.
Nenek tua itu masih di situ, masih lagi menyelak-nyelak tabir usang itu, mengintai-intai di luar jendela itu. Mengharapkan sapaan salam dari tetamu. Namun tiada siapa yang datang menyapa. Yang kedengaran hanyalah sapaan ayam itik di lamannya, serta kucing yang menjadi teman lamanya.
Nenek tua itu masih di situ, di jendela itu. Mengharapkan sapaan dari anak menantu serta cucu yang di rindu. Padahal suatu ketika dulu, rumah ini sentiasa ceria, sentiasa bercahaya dengan gelak tawa, dengan gurau senda ahli keluarganya. Tapi sayang semuanya telah tiada, hanya kenangan yang terus bertakhta di hati nenek tua.
Syawal telah pun berakhir. Tiada siapa yang sudi datang ke rumah usang itu. Tiada Mercedess bermata bundar yang mau mengegar laman usang itu. Tiada Alphart yang mau merapat ke laman usang itu. Tiada kereta lama yang terbatuk-batuk enjinnya yang menjenguk ke laman usang itu. Malah basikal pun tidak mahu lalu di situ. Tiada siapa yang ingin singah untuk menjengah nenek tua itu.
Kasihan dia, mengapa begitu jadinya.
Dia masih di situ. Membayangkan kenangan dulu. Bayangan yang masih terbentang di ingatannya, yang masih terang benderang menyuluh hidupnya. Dia rindukan hilai-tawa, jerit-pekit, senda-gurau juga tanggis-mengada serta rajuk-hiba cucu-cucunya. Melihat keletah dan telatah cucunya, hatinya menjadi bahagia. Dia merasakan hidupnya cukup bermakna lagi penuh sempurna ketika itu.
Tapi sekarang kasihan dia, mengapa begitu jadinya.
Nenek tua itu masih di situ, masih di jendela itu, Meniti hari-harinya tuanya yang tak menentu. Menanti dan terus menanti mengharapkan anak-anaknya kembali. Tapi apakan daya, syawal pun sudah meninggalkan kita. Harapan sudah pudar jadinya dan rasa kecewa pula yang bertakhta.
Nenek tua itu masih di situ, menunggu dan terus menunggu, di jendela yang kaku, menanti kehadiran anak menantu serta cucu. Apakah masih ada waktu untuk mereka bertemu, untuk melepaskan rindu, untuk bercerita dan mengadu, untuk berbaik tanpa cemburu, sebelum senja berlalu, sebelum malam membisu, sebelum badan sejuk kaku, hanya Allah sahaja yang tahu.
Apakah hati mereka sudah beku? Tidak adakah rasa sayu? Tidak adakah rasa terharu? Tidak adakah rasa malu? Membiarkan ibunya begitu. Ibunya menanggis tersedu-sedu.
Kenangan lalu
Dia terkenangkan anaknya Kamal. Anak pertamanya yang tinggal di Kuala Perlis. Sudah lama dia tidak balik ke kampung halamannya. Jauh adalah alasan utamanya. Masalah kewangan juga antara puncanya. Walaubagaimanapun setahun sekali akan pulang juga ke kampung Sentosa, kampung halamannya. Tetapi semenjak ibunya membahagikan harta pusaka keadaan sudah berubah. Dia sudah mula memberi pelbagai alasan untuk tidak balik ke kampungnya. Sebenarnya hatinya telah terluka.
Anak ke duanya pula, walaupun berada di Kuala Lumpur, masih tidak boleh balik ke kampung, katanya, “Kerjanya tak menentu, waktu cuti pun bertugas juga”. Itulah jawapannya bila sesekali emaknya menelefon.
“Budak-budak ni pun sibuk dengan kelas tambahan dan tuisyen. Hari cuti pun ada kelas, jadi susah sikitlah nak balik ke kampung”. Sambungnya lagi.
Manakala anak ketiganya, Tijah pula sudah berubah, katanya, “Abang Din sibuk sejak kebelakangan ini mak, selalu outstation jadi Tijah ikut ke mana abang pergi”. Itulah antara jawapan yang biasa di beri bila emaknya berada di talian talefon. Sebelum ini dia jarang mengikut suaminya. Sejak anaknya besar dia selalu mengikut suaminya. Sebenarnya hatinya tersinggung dengan sikap ibunya yang melebihkan adiknya.
“Ilakan ada, diakan anak kesayangan mak. Diakan dekat dan selalu menjenguk mak” Terkedu dan terbisu nenek itu mendengar kata-kata yang keluar dari mulut celupar anaknya. Bagaikan “memulangkan paku buah keras” pada ibunya.
Mereka memberikan pelbagai alasan untuk tidak berjumpa ibunya. Mereka marah pada ibunya. Mereka cemburu dengan adiknya. Mereka sudah lama tidak bertanya khabar tentang adiknya, juga ibunya. Biarlah begitu, mereka tidak mahu bertemu dengan adiknya. Mereka sudah tidak mau melihat muka adiknya.
Manakala anak kesayangan nenek itu, anaknya yang bongsu yang tinggal di bandar berhampiran kampungnya. Suatu ketika dulu memang selalu menjenguk nenek itu. Makan minumnya sentiasa terjaga. Bajunya sentiasa di basuh dan di lipatnya. Rumahnya selalu di kemaskan, di sapu lantainya, di tukar langsirnya, di potong rumput halaman rumahnya.
Tapi…, semenjak dia mendapat dan membolot kebanyakan harta pusaka peninggalan ayahnya, dia sudah jarang balik ke kampung, menjenguk ibunya walaupun dekat sahaja.
“Sibuk” Perkataan yang selalu keluar dari mulut Ila pada emaknya. Perniagaannya bertambah maju sekarang ini. Nak di tinggalkan takut pula tak dapat projek atau kontrak. Mana nak cari duit nak bayar rumah bonglo di atas bukit itu. Macamana nak bayar hutang kereta yang lebih sejuta harganya. Belum lagi di kira belanja yang lainnya, makan di hotel berbintang-bintang, melancung ke hujung dunia.
Bila bercuti, di gunakan untuk membawa anaknya ke luar negara. Katanya “Inilah masa untuk bermesra dengan suami dan anak-anaknya”. Untuk mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan mereka.
Tidak mengenang budi.
Begitulah lumrahnya manusia. Tidak ingatkah dia akan ibunya yang mengorbankan harta bendanya, pusaka suaminya untuk anak yang di sayanginya? Bila dah senang beginikah balasannya? Sanggup membiarkan ibunya merempat di kampung halamannya.
Anak tidak mengenang budi. Duit dah banyak, tapi biarkan ibunya sendiri. Sakit peningnya sudah tidak di peduli. Makan minumnya sendiri. Tidurnya bertemankan mimpi ngeri.
Inikah balasan untuk dirinya. Tidak berlaku adil terhadap anak-anaknya. Tidak berfikir apakah akibatnya. Bertindak sesuka hati tanpa usul periksa. Tidak bertanya pada yang arif tentang pusaka. Sepatutnya terlebih dahulu berdoa pada yang Esa, mohon petunjuk dan hidayahNya. Apakan daya menyesal sudah tidak berguna.
Masih ada masakah untuk bersatu?
Nenek tua itu tidak banyak waktu
Malaikat Izrail sedang menunggu
Untuk mencabut nyawa nenek itu
Menghantarnya ke dunia baru.
Nenek tua itukan ibumu.
Usah di kenang kisah yang lalu
Yang terluka dan rasa cemburu.
Nenek tua itu tetap ibumu
Ibumu yang satu,
Walau apa pun yang berlaku
Walaupun marah, tak setuju
Janganlah di sisihnya begitu.
Nenek tua itu tetap ibumu
Yang lalu biarlah berlalu
Binalah hidup baru
Kerana Allah sentiasa melihatmu
Mencatit apa yang berlaku
Syurga atau Neraka adalah tempatmu
Pilihlah mana yang engkau mahu.
Berbaktilah untuk ibumu
Demi Syurga yang menunggu.
Tidak kah terbuka hati mereka untuk menghentikan segala sengketa? Tidak terfikirkah mereka tentang dosa dan pahala? Tidak takutkah mereka akan Neraka? Mereka semuanya ada salah dan silapnya di mana-mana. Saling bermaaf-maafan, itulah yang terbaiknya. Atau sanggupkah mereka membawa ‘Pusaka ke Neraka’?
Inilah akibatnya terlalu memikirkan dunia.
Inilah akibatnya terlalu pentingkan harta benda
Inilah akibatnya terlalu pentingkan diri sahaja
Sangup tidak bertegur sapa
Sangup tidak bertanya khabar berita.
*******************************************************************************
Firman Allah Ta’ala bermaksud :
“Berikanlah kepada kaum kerabat hak masing-masing”
(Al-Isra: 26)
Dan lagi
“Dan Kami perintahkan manusia supaya berbaik-baik kepada kedua ibubapanya, ibunya telah mengandungnya penuh derita dan melahirkannya penuh derita, kemudian menyusuinya selama tiga puluh bulan.”
(Al-Ahqaf: 16)
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud :
“Orang yang paling banyak taqwanya kepada Allah, paling tererat sekali perhubungannya dengan keluarga, paling suka menyuruh berbuat kebajikan dan melarang berbuat kemungkaran”.
*
*
*
*** cerita di atas tiada kaitan dengan sesiapa. Hanya khayalan si penulis untuk cuba memberi ikhtibar pada semua juga pada diri penulisnya.
Wallahua’lam.
Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.
Wassalam.
Usaha Mesti, Kejayaan usah di nanti, Serahkanlah pada Ilahi.
Ramadhan yang di kenang, Syawal tawa riang.
Assalamualaikum, apa khabar semua.
Salam Eidufitri saya ucapkan untuk pengunjung blog ini, dengan perasaan penuh kesyukuran kerana serba sedikit Ramadhan kali ini mentarbiah saya menjadi lebih baik dari sebelumnya, juga di sertai tawa riang untuk syawalnya pula.
Telah lima hari kita meninggalkan Ramadhan yang penuh dengan ganjaran. Allah memberikan berbagai ganjaran untuk hambanya menjadi lebih baik dan lebih baik, jadi rasanya kita sebagai hambanya juga tidak salah jika ingin memberikan ganjaran seperti hadiah dan wang untuk anak-anak kita supaya mereka menjadi lebih baik.
Anak saya Abdul Sodiq telah berjaya berpuasa untuk tahun ini dan meninggalkan puasa/tidak berpuasa selama 3 hari. Walaupun pada awalnya, ada masa-masanya dia ingin berbuka dek kerana melihat adiknya makan, walaupun hanya dengan kicap dan telur goreng sahaja. Segala benda yang adiknya makan di siang harinya akan di suruh buat atau simpan untuknya masa berbukanya. Tapi di akhir-akhir Ramadhannya dia seronok sambil mengatakan “sekejap je rasanya dah nak sampai 30 hari”. Alhamdulillah.
Walaupun jika di risik-risik, “Ada tak Sodiq masuk air dalam mulut dan telan, semasa mandi”, jawapannya “ada, Sodiq tak sengaja”. Tak pelah walaupun sengaja. Ini merupakan permulaan yang baik untuknya.
Sebelum ni pun anak saya Abdul Haziq pun begitu, dah sekolah rendah(darjah 3) masih melakukan perkara yang sama walaupun dia kata tak sengaja tapi saya tahu sebenarnya di sengajakan. Tak pelah masih boleh di maafkan dan tak perlu di marah kerana dia orang masih belum baligh lagi.
Tahniah anakku Abdul Sodiq.
Dia merupakan anak saya yang paling banyak berpuasa dalam usia 6 tahun. Sebelum ini abangnya, dalam usia yang sama paling banyak puasa 2 atau 3 hari sahaja. Malah anak saya Abdul Haziq baru 2 tahun kebelakangan ini penuh puasanya.
Abahnya menghadiahkan ‘kereta mainan control’ yang di idam-idamkan, untuk anak saya Abdul Sodiq. Seronok betul dia. Beli kat pasar malam je… Jadila…h. Di berikan padanya pada hari terakhir puasa.
Oh ya, saya masih lagi berhutang 2/3 hari untuk gambar terakhir Ramadhan yang baru berlalu, untuk 2/3 hari tersebut sebelah malamnya hari hujan. Memang saya tak berjumpa langit yang membiru seperti yang pernah saya lihat suatu ketika dulu, kali ini. Itulah sekali saya dapat melihat langit yang biru, mungkin di tanah Arab/Mekah bolehlah kita lihat langit macam tu. Walaubagaimanapun itu cuma salah satu tandanya kemungkinan LailatulQadar. Banyak lagi tanda-tanda lain. Malam tersebut tetap datang seperti yang telah Allah janjikan, tapi ia menjadi rahsia Allah dan orang yang merasai dan menikmati malam tersebut. Semoga kita di beri peluang oleh Allah berjumpa Ramadhan yang akan datang dan masih terus ingin memburu malam yang cemburu dan ingin kita cumbu itu.






Hari Raya tahun ini mencatatkan sejarah dalam diari keluarga kami. Mana tidaknya, dahlah malam raya suami saya kena ‘standby’ untuk H1N1, tak dapat balik awal seperti yang di rancangkan. Lepas tu, sebelah paginya selepas solat Aidulfitri kami berangkat untuk balik kekampung dan di pertengahan jalan kami terpaksa berpatah balik, kerana suami di panggil bekerja untuk membuat test untuk doctor yang tercucuk jarum ke tangannya sendiri selepas mengambil darah dari pesakit HIV positif. Ujian yang mesti di buat segera untuk tindakan selanjutnya. Saya tak kisah sangat balik lambat cuma anak-anak yang kecil ni tak sabar-sabar nak balik kampung kerana dapat jumpa ramai orang terutama sepupu mereka yang sebaya dengan mereka. Lagipun kami dah biasa balik di pagi raya. Dekat je, tak sampai satu jam dah sampai kampung.
Habis satu bab.
Ikut jangkaan sekejap je suami saya kena pergi kerja, tapi lambat juga selesainya. Selepas Solat Asar kami bergerak dari rumah, tapi masuk je jalan Bukit Putus(jalan yang macam ular tuu..) jem pulak. Dekat pukul 7 baru sampai rumah mak mentua. Agaknya nak menguji kesabaran. Maklumlah Ramadhan baru selesai. Tarbiah di bulan Ramadhan melekat juga di hati, sebab tak de rasa nak marah. Alhamdulillah.
Sempat juga kami sekeluarga bergambar bersama di rumah sendiri. Tengoklah jika sudi.

Gambar anak-anak dan suami. Tahun ni anak yang besar(2 orang tu) tak beli baju melayu. Guna baju melayu tahun lepas je.


Kebiasaanya saya gunakan tudung bulat/labuh kain kosong(samada raya atau tak), tapi kali ni sengaja saya gunakan tudung batik, nak perkenalkan tudung yang bakal saya keluarkan tahun hadapan(insyaallah). Ia juga boleh di buat tudung bulat labuh tapi gambarnya belum sempat di ambil lagi. Nantilah, posting saya yang akan datang saya akan masukkan. Cara menggunakan tudung atau membuat tudung tu bolehlah anda download ebook percuma yang saya sediakan di ruang/halaman ebook percuma.


Siti Aisyah bersama kakak sepupunya di rumah mak mertua.
Wallahua’lam.
Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.
Wassalam.
Usaha Mesti, Kejayaan usah di nanti, Serahkanlah pada Ilahi.
Sentuhan Terakhir.
Assalamualaikum, apa khabar semua.
Menanti sudah, mencari dan memburu pun sudah hampir ke penghujungnya tapi masih ada peluang lagi untuk mendapatkan dan mengharapkan malam yang di tunggu-tunggu oleh insan-insan pencinta Allah dan Islam, insan-insani yang inginkan kehidupan yang baik di alam satu lagi. Mencari dan memburu masih boleh di teruskan namun sentuhan-sentuhan terakhir itu lebih bermakna. Sentuhan terakhir yang membolehkan kita memperbaiki amalan kita untuk malam seterusnya.
Sentuhan terakhir itu untuk mencantikkan, mengemaskan dan memperbaiki apa yang di rasakan kurang. Cuba renung-renungkan apa yang kita buat itu sudah cukupkah untuk kita mendapatkan ‘klimak seribu bulan?. Tidak mungkin kita boleh hidup selama itu denga sentiasa mendapat kebaikkan dan ganjaran dari Allah tapi lihatlah bertapa Allah sayangkan kita hamba-hambanya dan sentiasa memberi peluang dan ruang untuk kita meraihnya. Namun kebanyakkan dari kita tidak menghargainya malah tidak merasai apa-apa pun untuk itu. Ganjarannya sehebat seribu bulan. Dengan datangnya saat dan detik itu untuk mereka yang mendapatnya, seolah-olah kita baru di lahirkan, suci dan bersih yang mana menghapuskan segala-gala dosa kita.
Orang-orang yang menjumpai malam ini adalah orang-orang yang terpilih. Terpilih kerana kehebatannya dalam keikhlasannya terhadap Ar Rahmannya. Hanya orang tertentu sahaja mendapat saat itu.
Namun demikian bagi yang tidak mendapat detik itu bukanlah bermakna ia tidak mendapat ganjaran yang hebat dari Allah. Kan kita semua tahu Allah itu Maha Pengasih lagi Penyayang. Selagi kita beramal dengan sentiasa mengingati Allah serta memohon keampunannya, dari Maghrib hingga terbit fajar di malam yang di nanti-nantikan itu, pasti ada ganjarannya.
Kita semua pasti mendapat malam itu jika kita antara orang yang tidak pernah meninggalkan solat lima waktu dan berdoa selepas solat. Kita tentu mengerjakan solat Maghrib dan Isyak sekurang-kurangnya. Jadi kebanyakan dari kita pasti mendapat malam itu.
Tetapi yang lebih hebatnya kita mendapat detik itu dan merasainya kehebatan detik itu. Malah dapat menzahirkan apa yang ada di kepala dan fikiran kita ketika detik itu. Subhanalla…h.
Malam ini merupakan malam ke 27 Ramadhan. Malam yang pernah disebutkan malam yang kemungkinan besar akan terjadinya dan datangnya Lailatul Qadar. Semoga kita semua dapat merasai saat dan detik itu. Ameen.
Salah satu cara untuk kita memburu dan mencari malam LailatulQadar ialah dengan melihat langit di malamnya dan paginya(selepas subuh).
Malamnya adalah nyaman dan tenang manakala lepas subuh langitnya terang dan cerah(tiada awan) membiru. Itulah yang saya dengar dalam ceramah Ustazah Siti Bahiah. Dan banyak lagi tanda-tandanya tapi itulah yang paling senang dan melekat di hati saya.
Beberapa tahun yang lepas saya pernah di khabarkan oleh seorang teman saya, “bahawa malam tadi(malam 27) adalah malam LailatulQadar” kerana sebelah paginya tiada satu tompok awanpun yang ada di langit. Langitnya cantik dan membiru. Manakala lepas subuhnya terang dan nyaman, tidak terlalu panas dan tidak terlalu mendung. Saya terus melihat langit, memang ada benarnya sebab waktu itu, dalam pukul 9.45a.m hanya ada satu tompokkan kecil awan sahaja di langit.
Sejak dari itu setiap kali bulan Ramadhan saya sentiasa melihat ke langit samada malam, pagi maupun selepas subuh demi mencari kebenaran dan keagungan Ilahi.
Di bawah ini adalah hari-hari terakhir malam dan pagi Ramadhan tahun ini, yang sempat saya ambil gambarnya. Setakat ini saya belum berjumpa lagi langit yang membiru. Tapi sayangnya, malam ke 21 dan ke 22 saya tak terfikir nak ambil gambarnya. Hanya selepas itu baru terfikir untuk menyimpan gambar dan di letakkan di dalam blog ini. Masih ada 2 atau 3 malam yang berbaki, itu akan saya masukkan selepas raya nanti. InsyaAllah, jika ada peluang dan ruang.
Ramadhan 23.
Malam Sabtu. Sebelum subuh(cuma ada bintang yang mengamit malam)

Pagi Ahad. Selepas subuh(lebih kurang 7.30a.m keatas). Awannya bertompok-tompol di sana sini.
Ramadhan 24.

Pagi Isnin. Lebih kurang sama macam hari Ahad.
Tak sempat ambil gambar(bateri kamera habis/kong) untuk sebelum subuh. Tapi pada malam(dalam pukul 3.00 a.m ke atas), angin kencang(macam ribut) dan hujan.
Ramadhan 25

Malam Isnin. Sebelum subuh ada bulan yang membelah kegelapan malam ini.

Pagi Selasa. Selepas subuh. Walaupun ada sedikit kebiruan tapi awannya boleh di katakan meliputi keseluruhan langit(memutih).
Ramadhan 26
Malam Selasa sebelum subuh. Gelap tapi di temani oleh bintang-bintang berkerlipan.

Pagi Rabu selepas subuh(begitulah juga awannya).
SEMOGA KITA SENTIASA DAN MASIH MENGINGATI, MENGINTAI, MENGHARGAI, MENCARI DAN MEMBURU MALAM ITU SAMBIL TERUS MEMBERIKAN SENTUHAN TERAKHIR YANG TERBAIK. SEMOGA KITA SEMUA MENJUMPAI DAN MENJADI PEMBURU CEKAP DAN TEPAT YANG MENDAPAT HASIL BURUANNYA. SEMOGA KITA TERUS BERUSAHA MEMBERIKAN SENTUHAN TERAKHIR YANG HEBAT UNTUK MALAM YANG INGIN KITA TEMUI DAN YANG KITA CARI DAN BURUI SELAMA INI.
Wallahua’lam.
Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.
Wassalam.
Usaha Mesti, Kejayaan usah di nanti, Serahkanlah pada Ilahi.
Dangau Mengimbau
Assalamua’laikum dan apa khabar semua.
11 Ramadhan. Hujan lebat di luar sana. Aku sedikit mengigil kesejukkan. Baju yang ku pakai ini tidak dapat melegakan kesejukkan yang menyelimuti tubuhku. Ku mencari-cari baju tebal yang boleh ku sarungkan ke badanku. Puas juga ku menggeledah di almari, mencari-cari baju lamaku. Akhirnya ku jumpa juga baju lama yang boleh membalut badanku yang kesejukkan ini.
“Emm…” sedikit lega.
“Elok lagi baju ini. Sedap di pakai. Suatu ketika dulu baju ini besar, tidak sesuai untuk badanku”. Aku mengomel seorang diri.
Badan ku dah berisi sekarang. Ramai orang mengatakan, samada lepas bersalin anak pertama atau anak ketiga ia akan naik sedikit dan susah untuk turun seperti sebelumnya. Ataupun memasuki ambang 40an pun begitu. Yang ku perasan selepas bersalin anak ke tiga badanku sudah mula berisi.
“Tak pelah.., asalkan tak de penyakit yang merbahaya”. Hatiku berkata.
Namun begitu, kesihatan mesti terus di jaga untuk menyempurnakan lagi tugasanku sebagai hamba Allah di dunia ini. Juga untuk suami dan anak-anakku. Mereka perlukan aku untuk sentiasa membimbing, membetulkan dan mengingatkan apa-apa yang terlupa dan tercacat. Manakala aku juga perlukan mereka untuk melengkapkan tugasanku di dunia ini.
Kesejukkan.
Tidak terpijak kakiku di lantai mamar rumahku, kerana kesejukkan. Ku sarungkan stoking tebal pula untuk kakiku.
Ku bersela di atas sofa di ruang tamu sambil melemparkan pandangan ke luar, memerhati hujan yang turun lebat. Ku perhatikan hujan yang jatuh ke bumi lalu terpercik ke cermin pintu galangsarku. Sudah tentulah ada kesan-kesan lumpur yang akan terpercik dan terpalit di cermin pintu ku nanti. Dan sepatutnya perlu ku bersihkan kotoran itu.
Teringat pula akan peribahasa “Menepuk air di dulang, akhirnya terpercik ke muka sendiri”. Tapi ini berbeza sedikit, bukan aku yang menepuk air di dulang tapi hujan rahmat dari Allah yang turun dan memercikkan ke cermin pintuku. Jika aku berada di dalam hujan itu, sudah pastilah percikan lumpur itu terkena juga padaku.
Hujan itu kurniaan Allah, walaupun terkena percikan maupun banjir besar berlaku pasti ada rahmat dan hikmat di sebaliknya. Walaupun hujan yang mengotorkan cermin tingkapku, walaupun hujan menyebabkan kain di jemuran ku tidak kering, tidak sekali-kali aku menyalahkan hujan yang turun itu. Kerana hujan yang turun itu membawa rahmat dari Allah.
Rahmat dan Nikmat
Alhamdulillah, demam ku ini juga merupakan rahmat dari Allah. Sekurang-kurangnya menghapuskan sedikit dosa-dosa kecilku. Tidak mau rasanya ku makan ubat. Biarkanlah demam ini berlarutan. Aku ingin merasai nikmatnya sakit, nikmatnya batuk-batuk kecil, nikmatnya hidung yang tersumbat. Sudah lama tak ku rasai semuanya ini. Di tambah pula di bulan yang mulia ini, pasti lebih besar nikmatnya kerana ia lebih menguji kesabaran dan kekuatan fizikalku.
Ini cuma demam biasa, selera makanku tetap seperti biasa, bila berbuka masih berselera. Dua, tiga hari, baiklah rasanya.
Sedangkan Nabi Ayub deritanya sungguh lama, berkudis dan bernanah di merata badannya. Membiarkan ulat-ulat memakan kudis dan nanahnya. Itulah yang ku dengar tentang kisahnya. Selama 7 tahun, 7 bulan dan 7 hari berada di dalam kesakitan baru dia memohon dan merayu pada Allah supaya di sembuhkan penyakitnya. Sungguh sabar Nabi Ayub. Aku ingin mencubit sedikit kesabaran yang ada pada Nabi Ayub itu.
Namun.. mampukah aku?
Tapi sayang, aku terpaksa akur dengan paksaan suamiku untuk makan ubat. Setelah berbuka, di hulurkan padaku air suam dan ubat untuk ku makan. Terima kasih suamiku kerana mengambil berat tentang diriku.
Walaupun sakit aku tak mau duduk diam. Aku ingin jadi seperti ustazahku, Ustazah Salbiah. Sakit macamanapun dia tetap teruskan rutin hariannya. Aku masih ingat akan kata-katanya
“Kalau demam di bawa baring, bertambahlah demamnya, kalau sakit kaki di bawa duduk je tak bergerak-gerak bertambahlah sakit kakinya” .
Memang banyak kata-kata dan ilmu yang di tebarkannya menjadi peganganku. Kata-katanya yang pedas dan pedih menjadikan aku orang yang lebih tabah menghadapi dugaan dan cabaran hidup ini.
Dugaan dan cabaran
Ya, telah banyak dugaan dan cabaran yang ku lalui di sepanjang perjalanan hidupku ini. Umur pun sudah memasuki era 40an. Kehidupan mengajarku erti ketabahan, kesabaran dan keikhlasan. Perjalanan hidupku sungguh bermakna buat diriku. Alhamdulillah, dengan kurniaanmu ya Allah.
“Donggg…” Astagfirullahhalazim. Dentuman guruh menyedarkan aku dari lamunan untuk seketika.
Dentuman guruh itu mengingatkan aku akan bunyi senapang patah yang pernah di muntahkan oleh abahku semasa zaman kecilku. Senapang patah yang entah dari mana datangnya, yang selalu di gunakan untuk berburu di hutan. Samada kerana mencari binatang liar yang boleh di makan ataupun kerana itu mungkin hobby abahku. Tapi yang pastinya kami sekeluarga akan dapat menikmati makanan yang enak jika abah membawa pulang hasil buruannya. Seronak sungguh kami, melihat saja kelibat abah, pasti kami berlari-lari mendapatkannya sambil membelek-belek apa yang di bawa balik. Tapi selalunya.., kami rasa terkilan, kerana tiada apa-apa yang berhasil.
Aku juga pernah mengikut abahku, ke belukar berhampiran kampungku. Melihat jerat landak, kalau-kalau ada yang mengena. Jika tiada apa yang berhasil, emak memasak hasil tanamannya yang berada di sekeliling rumah ataupun tanaman liar di hutan seperti pucuk cemperai, pucuk paku yang di kutip di tepi-tepi sungai atau apa sahaja yang di masak oleh makku yang kadang-kadang tak tau apa namanya. Yang penting perut perlu di isi.
Sungai, paya, parit juga menjadi sumber makanan kami. Dapatlah kami merasai keenakkan ikan sembilang dan haruan serta pelbagai lagi. Jika kepulangan abahku dari memacing membawa hasil yang banyak dapatlah kami menikmati lebih seminggu rezeki kurniaan Allah itu. Kalau tidak kami makan apa yang ada, kerana kami hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Untuk membeli di kedai, tidak mungkin. Buku kecil, tiga lima(555) yang ada di dalam simpanan abahku pun sudah ada tiga buah. Sudah penuh di tulis oleh pak cik Mat dan kedai Syarikat di kampungku. Mereka sudah tidak boleh mengira angka-angka yang semakin membesar di dalam buku itu. Angkanya sudah terlalu besar dan tidak mampu di kira oleh pak cik-pak cik itu. Lagipun pak cik-pak cik tu tak sekolah tinggi. Mereka hanya dapat mengira mengikut kemampuannya sahaja.
Tidak ada kedai lain lagi yang boleh abahku hulurkan buku tiga lima untuk di isi.
Ya! Kehidupan kami susah ketika itu. Tidak seperti anak-anakku sekarang ini. Mereka boleh memilih apa yang hendak di makan. Kalau tak sedap, tak nak makan ataupun tak habis di makannya. Terlalu banyak berlaku pembaziran sekarang ini. Aku tidak sangup melihat pembaziran tersebut, akulah yang menjadi mangsa. Menghabiskan apa yang tidak habis. Patutlah badanku naik.
Jika dulu suka atau tak, sedap atau tak sama saja. Ia tetap habis di makan. Pinggan tetap licin, tidak meninggalkan sebutir nasi pun, hingga menjilat apa sahaja yang ada di jari. Kuah yang ada di pinggan di hirup hingga ke titisan terakhir. Bagiku itu sudah menepati sunah Rasullullah walaupun ketika itu aku tak tahupun apa itu sunah.
Tapi… sekarang, bila menjilat jari di katakan “buruk makan” macam tak cukup lagaknya. Begitu juga bila makan sehingga licin, tidak meninggalkan apa-apa pun. Itukan sunnah. Bila mengambil makanan yang terjatuh, lalu di tiup untuk menghilangkan habuknya dan boleh di makan selepasnya, dikatakan pengotor pula. Itu juga sunnah Rasullullah. Sunah yang membawa kebaikan untuk umatnya kerana ia boleh mengurangkan sedikit ke egoan dan tinggi diri pada pengamalnya.
Aku mengamalkan sunah itu dan ku ajarkan kepada anak-anakku. Bila anak kecilku berbuat demikian di hadapan orang lain, pandangan mereka, air muka mereka berubah. Seolah-olah mengatakan sesuatu. Ya Allah… terlalu cepat aku berburuk sangka dengan orang lain. Ampunkan aku, Ya Allah.
Bagiku, pengalaman yang ku lalui itu sungguh mahal harganya. Walaupun ku tahu ada yang lebih susah dari itu, namun tidak semua orang dapat merasai dan menikmatinya malah sanggup menghadapinya. Aku hargai semuanya itu. Terima kasih Allah.
Mengimbau kembali kisah laluku, di bulan puasa yang penuh keberkatan, kerahmatan dan keampunan. Kami berbuka dengan nikmat yang Allah berikan. Aku dengan lauk kegemaranku iaitu minyak lebihan goreng ikan masin yang sememangnya di simpan oleh makku untuk di jadikan lauk. Hanya di gaulkan dengan nasi panas sudah enak untuk di makan. Manakala adik lelakiku, nasi panas, gula dan air masak, di gaulkan seolah-olah seperti bubur nasi. Itulah antara makanan ruji kami. Ialah, bukannya setiap kali abahku ke sungai akan mendapat hasil tangkapannya, bukannya selalu jerat yang di pasangnya mengena dan tembakannya pula bukan selalu mengena sasarannya.
Baru sekarang ku fahami dan ku rasai itu semua sebagai rasa nikmat. Betapa nikmat pengalaman laluku menjadikan aku tunduk kepada Penciptaku. Nikmat berterusan yang menjadikan dahiku sentiasa sujud kepadaMu, manakala tanganku sentiasa menadah mengharapkan pertolongan dan pemberian dariMU, Ya Allah. Aku ingin terus mengimbau dangau itu kerana aku ingin terus sujud kepadaMu serta terus bermuhasabah diri, sehingga jasadku tersungkur rebah dan di telan bumiMU, ya Allah.
Ameen, ameen ya Robbal alameen.
———————————————————-
Firma Allah bermaksud:
“Katakanlah wahai Muhammad, hendaklah kalian berusaha, niscaya Allah Subhanahu Wata’ala, RasulNya dan orang-orang beriman akan melihat usaha kalian, kelak kalian akan di kembalikan ke alam ghaib dan syahadah lalu Allah s.w.t menjelaskan kepada kalian apa sebenarnya yang telah kalian usahakan.”
(Surah at-Taubah: ayat 105)
“Alif lam mim, Adakah manusia mengira bahawa mereka akan di biarkan saja untuk mengaku bahawa kami telah beriman dan sedangkan mereka tidak di uji lagi? Sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”
(Surah Al-Ankabut: ayat 1-3)
Hadith yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah s.w.t apabila mengasihi satu kaum, di cubanya mereka itu (dengan berbagai cubaan), barangsiapa yang rela dengan cubaan itu maka mereka mendapat kerelaanNYA. Barangsiapa yang benci(marah) maka baginya kemurkaan Allah.
“Jalan Syurga dihampiri oleh kesusahan manakala jalan ke Neraka dihampiri oleh keghairahan syahwat”.
Wallahua’lam.
Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.
Wassalam.
Usaha Mesti, Kejayaan usah di nanti, Serahkanlah pada Ilahi.
Anakku, anakmu jua
Assalamualaikum, apa khabar semua.
Ku sental, ku gesek dan ku tenyeh-tenyeh baju anak yang kedua dan ketigaku. Baju mereka selalu sahaja ada bau yang tidak menyenangkan, kolarnya berjalur hitam dan kadang-kadang ada percikkan sambal berwarna merah serta calitan coklat di baju mereka. Baju yang lain selalunya tak ada masalah untuk membasuhnya. Tak banyak tompok-tompok kotoran di baju mereka.
Telah ku beli sabun yang terbaik untuk menghilangkan kotoran tersebut. Telah ku letakkan Clorox untuk memutihkannya. Telahku letakkan pewangi yang halal untuk menghilangkan bau busuknya. Tapi setelah di cuci bersih, pabila di pakai semula ia kembali kotor dan berbau. Apakah caranya lagi yang perlu ku lakukan?
Telah letih rasanya tanganku ini membasuhnya. Tak larat rasanya. Suami ku dah lama beritahu belilah mesin basuh supaya memudah membasuhnya. Tapi aku yang tidak mahu mendengar kata, konon-kononnya nak membasuh dengan tangan sendiri, jadi nampaklah mana-mana tempat yang berkarat dan terlekat, yang hitam, kelabu dan pelbagai warna yang mencemari baju mereka.
Ku ingatkan dengan menggunakan tangan lebih bersih cuciannya. Ialah, membasuh dengan tangan kan sentiasa dibelek-belek dan mencari-cari di mana tempat kotornya. Tapi tanganku telah terasa lenguhnya. Sudah tidak mampu bertahan lagi. Sudah tidak larat lagi. Rasanya ku terpaksa membeli mesin basuh selepas ini, untuk memudahkan urusanku. Istiqomahku membasuh menggunakan tangan setakat ini sahaja nampaknya. Aku perlukan mesin basuh yang boleh mempercepatkan serta memudahkan ku membasuh kain supaya ia lebih bersih dan mudah di perah serta cepat keringnya. Setakat ini sahaja istiqomahku, ku perlukan cara yang lebih cangih, up to date dan moden untuk memudahkan kerja harianku. Di tambah pula kerja-kerja harian ku bertambah sekarang ini.
Tugasan
Hari itu hari Jumaat. Ada tugasan yang perlu ku selesaikan paginya. Menghadiri perjumpaan tiga penjuru untuk dua orang anakku, di sekolah mereka. Pertama kali ku menghadiri perjumpaan antara ibubapa, guru kelas dan murid di sekolah baru mereka. Sebelumnya, suamiku yang selalunya menghadirkan diri. Di tambah pula ada rasa ingin berkenalan dengan guru kelas anak-anakku. Daripada cerita mereka, guru kelas mereka adalah perempuan belaka. Boleh juga aku bercerita panjang dengan mereka, telah hatiku.
Mentari pagi itu menyinarkan cahayanya yang luar biasa. Terang dan terik rasanya, seolah-olah memberi petanda baik padaku. Sudah tentulah kain-kain di jemuran ku akan cepat keringnya, walaupun ku memerahnya dengan tangan sendiri, walaupun kelembapannya tinggi kerana tidak larat untuk ku pulas-pulas dengan tanganku.
Hari baru menunjukkan pukul 9.00 pagi. Tapi kehangatannya sudah terasa. Solat Dhuha sudah boleh di kerjakan waktu ini, namun hati ini berat untuk mengerjakannya. “Alah…hh, balik nanti boleh lagi, takkan lama sangat, tentu masih ada waktu untukku”. Hatiku berkata.
Perjalanan ke sekolah
Perjalanan menuju ke sekolah ku teruskan dengan kereta MPVku(Malaysian Perodua Vehicles… hi, hi, hi). Ku turunkan cermin keretaku seluas-luasnya kerana mengharapkan udara di luar menerjah ke dalam agar melegakan sedikit kehangatan tubuhku di pagi hari ini.
Aku memang jarang membuka penghawa dingin kereta, melainkan hari hujan. Anak-anakku selalu merunggut bila terasa panas.
Jawapan ku senang aje, “Besok kat Akhirat lebih panas dari sekarang ni. Panasnya sikit aje ni, jauh lagi matahari dari kita. Kat sana nanti matahari sejengkal aje”. Mendengar jawapan yang sedemikian, semuanya senyap. Agaknya malas nak dengar ceramahku.
Sampai di sekolah anak keduaku menunggu dengan kata-kata dan senyuman manisnya serta huluran tangannya. Dia memang terkenal dengan ayat-ayat cintanya hingga guru-guru yang tak mengajarnya pun tahu akan perkara itu. Ku teruskan ke biliknya.
Guru-guru anak-anakku
Sampai sahaja giliran ku berjumpa dengan gurunya. Ku ucapkan salam dan huluran tangan tanda pengikat silaturahim. Manis cikgunya semanis sikap dan tuturkatanya. Di hulurkan keputusan peperiksaan anakku. Ku perhatikan kertas itu dan ku tak hairan dengan keputusan yang di capainya kerana itulah jangkaan ku. Tapi yang lebih penting yang ingin ku tahu ialah sikap mereka di sekolah yang belum sampai setahun mereka berada di situ.
Ku bertanya kepada cikgunya akan hal itu. Memangnya kata-katanya masih berlapis dan di tapis, sesuailah dengan rupanya.
Tapi sesuatu yang aku rasa seronok pabila dia meleteri atau menasihati anakku di hadapanku. Caranya seolah-olah sama sepertiku dengan anakku. Aku jadi seronok dan suka sekali dengan caranya, seolah-olah dia menganggap anakku, anaknya juga.
“Apa yang cikgu cakap tu, semuanya saya dah cakap dah cikgu, tapi tak berkesan, tak de perubahan”. Kataku.
“Budak lelaki ni memang susah sikit, macam nilah juga saya cakap kat anak saya. Saya pun ada anak lelaki, SPM tahun ni”, Jawapnya.
“Terima kasih cikgu, buatlah apa yang patut cikgu buat, saya tak kisah dan saya tak marah kalau nak rotan dan denda sekali pun”, jawap saya.
Terfikir juga di dalam hatiku, selama ini apa yang ku buat taklah melangkaui batasan yang sepatutnya. Ialah, takut juga kalau caraku tidak kena. Nanti hasilnya bukan lebih baik malah lebih teruk dan buruk pula jadinya.
Terima kasih cikgu kerana menganggap anakku seperti anakmu jua.
Ku melangkah pula ke bilik anak pertama ku. Ku amat-amati guru kelasnya, rupanya seperti biasa di penglihatanku. Ku bertanya padanya, dia berkata dia pernah mengajar di As-Saa’diah. Tapi rasanya bukan di situ ku jumpa dia. Namun ku biarkan saje sebagai satu tanda tanya.
Soalan yang sama ku tanyakan padanya. Jawapannya biasa sahaja. Ok, takde apa-apa masalah. Tapi ada satu soalan, yang mungkin untuk menguji anakku di hadapanku. Mungkin menguji kejujurannya.
“selalu solat subuh tak? Tanya gurunya yang merupakan guru bahasa Arab anakku.
“Solat sebab mak selalu kejutkan. Jawap anakku.
Menurut anakku, memang itulah soalan yang di tanya setiap kali dia masuk kelas. Mengira-ngira atau menelek-nelek siapa yang solat dan siapa yang tidak, kerana waktu subuhlah yang paling berat dan susah untuk di kerjakan solatnya.
“Kono kojut lagi”? Kalau dah kahwin ni, dah anak duo dah ni. Harapkan omak yo lagi” Tersenyum dan seronok aku mendengar leteran ustazahnya dengan loghat nogorinya.
Alhamdulillah, anak pertamaku padaku telah melepasi waktu kritikal atau peralihan dari kanak-kanak ke zaman remaja. Tidak banyak membawa masalah pada kami sekarang ini, walaupun sebelum ini ada juga. Mungkin sudah mula berfikir mana yang baik dan yang tidak baik untuk dirinya. Namun begitu, banyak teguran dan panduan yang perlu ku berikan untuknya supaya tidak tersasar dari landasan yang sepatutnya. Tiada manusia yang sempurna di dunia ini. Aku sendiri pun mengharapkan teguran dan bimbingan dari orang lain terutamanya suamiku dan guru-guruku.
Walaupun aku di katakan sangat cerewet, banyak perkara yang anakku tak boleh lakukan. Namun demikian mereka rapat denganku. Setiap kali balik dari sekolah, belum sempat membuka pagar rumah, anakku dah mula bercerita apa yang berlaku di sekolahnya. Sama sahaja mereka bertiga, suka bercerita denganku. Kadang-kadang aku yang malas nak mendengar cerita mereka, antara dengar dan tidak je. Maafkan aku, anak-anakku.
Anak ke duaku masih di dalam waktu kritikal manakala anak ke tigaku baru memasuki waktu kritikal dan waktu peralihan. Pada penilaianku waktu peralihan dan kritikal anak-anak adalah antara dua belas tahun hingga ke enam belas tahun.
Sememangnya di waktu ini amat menduga, menguji ke sabaran dan keimananku. Menaikkan suhu kepanasan badanku, meninggikan darahku, membuatkan ku tak senang duduk. Waktu malam ku selalu terjaga, tidurku tak lena, bermimpikan yang tak ku suka. Namun syukuralhamdulillah ku panjatkan pada Ilahi yang Maha Memberi, kerana tidurku tak lena, kerana malamku selalu terjaga, menjadikan aku selalu bangun dari tidurku untuk bermunajat padaMu. Mungkin itu yang terbaik untukku dan mungkin itu juga kurniaan terbaik untukku dari yang Maha Esa. Syukur Alhamdulillah.
Begitulah apa yang berlaku pada anak keduaku. Setelah ku beritahu pada guru kelas abangnya tentang anak keduaku. Dia pun terperanjat dan tidak menyangka dia ada adik. Anak keduaku terkenal di sekolahnya kerana kehebatan sukannya. Memang dia aktif bersukan dari sekolah rendah lagi. Kalau boleh segala sukan ingin di ceburinya.
Maka bertambahlah cerita yang ku dengar, kalau sebelum ini guru kelasnya masih berlapis dan bertapis bila bercakap, tapi guru kelas abangnya, memberitahu lebih terang dan jelas, tentang adiknya.
“Ni mesti abangnya cover ni, tu sebab ceritanya tak sampai kek omak eh”. Kata ustazah sambil memandang anakku yang membisu.
Patutlah cuaca hari itu terang dan cerah sekali, serta ada sedikit bahang kepanasannya di pagi hari itu. Namun cuaca pagi hari tidak memudaratkan malah memberi banyak manfaatnya. Begitulah pendapat yang ku dengar. Harap-harap begitulah, apa yang telah terjadi.
Aku amat menghargai apa yang telah ku lalui hari itu. Terima kasih kepada kedua-dua guru anak-anakku kerana menganggap anakku, anakmu jua.
Jiran-Jiranku.
Begitu juga dengan jiran-jirangku, kak D dan kak S. Terima kasih ku ucapkan kerana sentiasa menganggap anakku, anakmu jua. Tiada sebarang rasa marah dan dendam di hatiku. Malah akulah orang yang bertuah kerana sentiasa di kelilingi oleh orang-orang yang baik-baik hati belaka.
Sentiasa mengingatkan dan menyedarkan kami sekeluarga, yang sentiasa memerhati dan menegur mana-mana yang tidak kena terutama tingkah laku anak-anakku yang tidak kami ketahui bila berada di luar sana. Segala yang tidak baik yang anakku lakukan akan sampailah ke telingaku, bolehlah aku membetulkan keadaan sebelum ia parah jadinya.
Aku bangga dengan kak D dan kak S, mereka tidak seperti talam dua muka. Di depanku baik tapi di belakangku di kutuknya. Tidak, mereka tidak seperti itu. Aku suka cara mereka kerana aku juga tak suka berpura-pura. Talam dua muka itu adalah ciri-ciri orang hipokrik/munafik. Aku tidak mau seperti itu dan aku tak mau juga orang yang hampir denganku seperti itu juga. Jadi sama-samalah kita ingat mengingati, pesan berpesan, tegur-menegur antara satu sama lain, demi masa depan kita bersama. Kita bukan hidup di sini sahaja, di akhirat lebih utama.
Ini jugalah anjuran Islam, sentiasa berbuat baik dengan jiran tetangga, sentiasa saling ingat mengingati antara satu sama lain. Kita ini manusia biasa, pasti ada salah serta silapnya dan kadang-kadang terlupa dan terleka.
Kalau salah janganlah dikata,
kalau di tegur itulah yang terbaiknya.
Telah di tegur, janganlah terasa serta marah pula,
hingga tak mau bertegur sapa,
sudah tentu bergaduh pula.
Kan kita ni hambaNya yang hina dina,
tentu ada salahnya di mana-mana,
janganlah ada rasa hebat di mata manusia,
janganlah suka merendahkan orang sahaja,
Semoga kita hidup aman bahagia.
—————————————————————————————
Firman Allah s.w.t yang bermaksud,
“Maka peringatkanlah kiranya peringatan itu berguna. Nanti peringatan itu akan diterima oleh siapa yang takut”
(AL-A’la:9-10)
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Setiap kamu adalah bertanggungjawah dan setiap kamu akan di tanya tentang pertanggunganjawabnya.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Wallahu’alam.
Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.
Wassalam.

Usaha Mesti, Kejayaan usah di nanti, Serahkanlah pada Ilahi.
Memfitnah atau di fitnah.
Assalamu’alaikum, apa khabar semua.
Maka telah tersebar seantero kampung, di katakan seorang wanita bernama Anit telah menulis cerita dan di persembahkan di layar utama di kampungnya. Kampungnya menjadi huru-hara untuk seketika. Sana-sini mereka berkata tentang si Anit, sehingga mereka yang tidak berkenaan pun tahu akan isi ceritanya.
Ceritanya tidak sama
Tapi sayang, ceritanya tidak sama seperti yang telah di tayangkan di layar utama. Mereka lebih suka mendengar cerita daripada melihat sendiri tayangan dan jalan ceritanya.
Telah pun datang si Peah dan si Kiah mewakili kawan-kawannya, meluahkan segala isi hatinya. Si Anit terpingga-pingga, tidak faham akan maksudnya. Namun dia mendengar apa yang ingin di khabarkannya dan memohon maaf atas apa yang berlaku kerana Si Anit sendiri ingin mempersembahkan di khalayak ramai akan cerita mereka. Kerana fikirnya, persembahannya akan memberi kesedaran pada penontonnya. Tiada siapa memaksa tetapi telah meminta izin pada yang empunya cerita.
Dia jadi termanggu-manggu mendengarkannya. Hairan dengan cerita yang di bawa oleh si Peah dan si Kiah. Ceritanya seolah-olah tidak sama seperti yang di kisahkan di layar utama. Adakah mereka telah melihat, mendengar dan membaca kesemua ceritanya atau membaca sekerat-sekerat aje serta melihat sebelah mata sahaja. Atau mereka lebih selesa mendengar cerita dari mulut ke mulut tanpa menonton cerita sebenarnya.
Kalau mulutlah yang bercerita tanpa melihat di layar utama, pasti sudah berubah ceritanya. Pasti telah di tokok tambah. Jalan ceritanya pasti sudah berbelit-belit dan dipusing-pusingkannya. Tapi tak mengapa itulah manusia, Anit pun manusia juga pasti dia pernah tersilap suatu ketika. Jadi maafkanlah sahaja mereka.
Pada Anit, mereka tidak melihat keseluruhan ceritanya. Tidak faham akan maksud isi cerita sebenarnya. Adakah mereka membaca dan melihat dari tajuk cerita hingga ke penamatnya, hingga ke kata-kata akhirnya. Padahal cerita sebenarnya ingin membela nasib mereka tetapi Anit pula yang di salahkan oleh mereka.
Sebelum ini, telah di khabarkan kepada mereka, Anit ingin mempersembahkan cerita ini di layar utama di kampungnya. Telah meminta izin untuk di ambilkan gambar mereka, tiada sebarang bantahan di dengar malah mereka gembira dan bersetuju malah seronak bila gambar di ambilnya.
Setelah cerita siap dan di paparkan di layar utama, Anit telah mengkhabarkan berita gembira kepada mereka bahawa cerita mereka telah di pertontonkan di khalayak ramai.
Tetapi hari itu…, Anit menjadi hairan, setelah sebulan di tayangkan di layar utama, mereka mengadu sesuatu yang tidak di duga. Dalam hatinya berkata, “Kalau aku mempunyai niat yang tidak baik buat apa aku beritahu mereka di mana aku ingin persembahkan cerita tersebut, lebih baik ku senyapkan sahaja”,
“Akukah yang memfitnah mereka atau akukah yang difinah mereka”. Bisikan hati Anit berkata lagi.
“Tidak ada cerita yang tidak benar ku masukkan ke dalamnya, tiada cerita yang ku tokok tambah”. Katanya lagi.
Segala-galanya Anit terangkan pada Peah dan Kiah serta berjumpa yang lain untuk menerangkan segalanya. Anit pun telah meminta maaf walaupun dia rasa tidak bersalah, demi menjaga silaturahim antara mereka. Tidak mengapalah biarlah dia mengalah dan merendahkan dirinya untuk kebaikan bersama. Kerana Allah pun telah mengingatkan di dalam firmannya yang bermaksud,
“Bersikap rendah dirilah terhadap orang-orang mukmin”,
(al-Maidah : 54)
dan juga …..
“Merendahkan diri itu tiada menambahkan seseorang hamba itu melainkan ketinggian, maka hendaklah kamu merendah diri moga-moga Allah akan meninggikan darjatmu. Dan memberi maaf pula tiada menambahkan seseorang hamba melainkan kemuliaan, maka hendaklah kamu memaafkan, moga-moga Allah akan memuliakan dirimu. Dan sedekah itu tiada akan menjadikan harta itu melainkan bertambah-tambah maka sedekahlah kamu agar Allah akan merahmatimu” .
(hadith rasulullah)
bukan kerana dia bersalah tapi kerana takutkan balasan dari Allah, serta ingin mencari Redhanya Ilahi.
Rendah Diri
Rupanya cerita tidak habis di situ sahaja. Bila dia keluar berjumpa dengan kawan sekampungnya ada juga seorang dua yang bertanya akan cerita itu. Nasib baiklah Anit bukan jenis dari suka berkumpul dan bercerita bersama kawan-kawannya. Jadi tak ramailah yang bertanya akan kisahnya.
Jadi tak selalulah dia menerangkan untuk membela dirinya. Anit tidak mahu menambah cerita. Jika ada yang bertanya dia akan menerangkannya, untuk membela dirinya. Jika tidak dia takkan memulakan cerita, tidak sama sekali. Kerana dia tahu kalau tersalah cerita dan memburukkan mereka akan menjadi fitnah pula, kalau ceritanya betul sekalipun akan menjadi mengumpat pula. Kerana dia tahu bercerita akan hal orang lain tanpa di ketahui oleh tuannya, itulah yang di katakana mengumpat. Kedua-duanya sama, berdosa besar dan balasannya juga tentu besar, di Akhirat nanti.
Anit tidak mau bersikap seperti mereka. Dia telah di beritahu oleh ustazahnya dan tidak mahu melakukan perkara yang sama. Kata ustazahnya, “mereka yang telah belajar dan tahu akan hukum serba sedikit dalam ilmu agama mesti berubah, mesti tidak sama cara dan perangainya dengan orang yang tidak tahu/faham”.
Anit akur dengan kata-kata ustazahnya. Lagipun dosa-dosanya yang lalu pun dah banyak yang di lakukannya. Tidak mau menambah beban dan dosa lagi. Dia ingin membersihkan dirinya dari kekotaran yang melekat di badannya. Selagi tidak di cuci badannya dari sabun pencuci yang halal yang boleh menghilangkan kotaran di badan, atau pun limau nipis dan kasturi yang boleh mengikis segala kotoran yang terpalit di badannya. Yang mana boleh juga menghilangkan bau busuk serta peluh di badannya.
Kekotarannya takkan bersih jika mulutnya tidak mau di tutupnya, bak kata pepatah “terlajak perahu boleh di undur terlajak kata buruk padahnya”. Kekotorannya takkan bersih jika tangannya masih lagi membaling batu ke atas kawannya tapi di sembunyikan tangan yang melakukannya. Kekotarannya takkan bersih jika masih lagi melakukan perkara-perkara itu.
“Tak apalah biarlkanlah mereka mengata, asalkan aku tidak melakukanya”, bisik Anit dengan dirinya sendiri.
Dia tidak mengharapkan apa-apa dari manusia cuma apa yang di lakukannya mengharapkan Allah meredhai akan dirinya.
Ahh.. manusia memang begitulah lumrahnya, bukan di sergah atau di marah, cuma di tepuk bahunya, tapi latahnya membuatkan semua orang memandang padanya. Padahal cuma ingin memberitahu ada jahitan yang tertetas di tepi kain mereka.
Ala…hhh, semua itu umpama terkena gigitan semut api sahaja. Sakitnya cuma sekejap tapi gatalnya yang terasa agak lama. Kalau tak di usik serta digaru-garu tempat yang terkena gigitan itu, takkan lama gatalnya dan takkan berbekas gigitannya. Dua, tiga hari hilanglah gatalnya.
Kisah Lalu
Sebelum ini pun berbagai perkara yang berlaku ke atas dirinya. Lebih teruk dari itu, pernah terluka, berdarah dan bernanah serta berkudis akhirnya. Kesannya masih berbekas hingga ke hari ini, masih ada kesan hitam-hitamnya lagi. Telah cuba di ubatinya, di sapu pelbagai losyen dan alat-alat kosmetik untuk membersihkan dan menghilangkan kesan kudisnya namun masih belum berjaya. Masih terus berusaha untuk mengubatinya.
Itu semua pemberian Ilahi untuk menguji imannya, menguji kesabarannya atau untuk menyedarkan kesilapannya.
Anit tahu Allah sedang melihat kesabarannya kerana sebelum ini dia pernah meminta dan berdoa kepada Allah “jadikan dia di antara orang yang sabar dan ikhlas terhadap pemberian Penciptanya”. Kerana sebelum ini, Anit memang cepat naik angin bila orang menuduh yang bukan-bukan tentang dirinya. Dia akan menegakkan benang yang kering, dia akan cuba menegakkan kebenaran tanpa ingin mengalah.
Anit mengimbau kembali kisah lalunya, semasa dia masih muda. Orang kata darah muda memang cepat panas, memang cepat menggelegak hingga ke otak.
Kita di pihak yang benar, kenapa mesti kita takut, berani kerana benar. Itulah kata semangat yang di tiupkan pada Anit. Itulah kata-kata yang di pegangnya suatu ketika dahulu.
Mana tidaknya, hatinya begitu marah dan geram apabila ibunya mengadu padanya. Bercerita dengan panjang lebar akan hal adiknya yang tidak mahu berkerja, duduk di kampung menyusahkan orang tua. Tak ada duit minta pada mereka. Tak di beri, marah bagai nak gila.
Minta pada adik beradik yang lain, tak di beri apa yang di hajatnya. Mereka pun malas melayan dengan perangai dan kerenah adiknya. Hanya nak senang aje, tak mahu berusaha.
Tibalah giliran Anit untuk di jadikan mangsa. Dua, tiga kali telahpun di beri muka. Kali ini dia perlu berbuat sesuatu, tambahan pula ibunya sudah tidak tahan dengan perangainya.
Adiknya datang meminta simpati.
Telah meluahkan segala hajat di hati.
Anit membasuh adiknya sepuas hati.
Kerana nasihat sudah tak makan lagi.
Maka riuh rendahlah mereka berkelahi.
Di ugut kakaknya berkali-kali.
Namun Anit mempertahankan diri.
Kalau di bunuh pun dia tak takut mati.
Sampai sekarang pun adiknya marah padanya. Tetapi Anit tetap seperti biasa. Kalau berjumpa tetap di hulurkan tangan untuk bersalaman dengan adiknya. Walaupun Anit rasa tidak bersalah tapi tidak mahu memutuskan silaturahim dengan adiknya. Biarlah adiknya marah tapi dia tak ingin membalasnya. Kalau mengalah dapat pahala, kalau di lawan sama ajelah nampaknya.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Hanyasanya orang-orang Mukmin itu adalah bersaudara, maka perdamaikanlah di antara kedua saudara kamu dan bertaqwalah kepada Allah, moga-moga kamu di rahmati. Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah ada suatu kaum merendahkan kaum yang lain, barangkali mereka(yang direndahkan) itu lebih baik daripada mereka(yang merendahkan), dan jangan pula ada kumpulan perempuan(merendahkan) kumpulan perempuan yang lain, barangkali mereka(yang direndahkan) itu adalah lebih baik daripada mereka(yang merendahkan), dan janganlah kamu mencela diri kamu dan jangan memberi gelar dengan gelaran-gelaran yang tidak baik. Seburuk-buruk nama adalah fasik sesudah iman. Dan siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang menganiayai diri. Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak dari sangkaan, kerana sebahagian sangkaan itu adalah berdosa dan jangalah kamu mengintip(keburukan orang) dan jangan setengah kamu mengumpat setengah yang lain. Apakah salah seorang kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu membencinya. Dan berbertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat, Maha Pembelas!”(Al-Hujarat: 10-12)
Firman Allah bermaksud,
“Yang suka membisik-bisikkan(fitnah) dan yang berjalan(kesana ke mari) dengan mengadu domba.”(Al-Qalam : 11)
Hadith Rasullallah bermaksud,
Sejahat-jahat hamba Allah ialah mereka yang berjalan membawa mulut, yakni mengadu domba, yang suka memecah-belahkan antara orang-orang yang berkasih-sayang, yang mencacatkan orang-orang yang suci dengan kata-kata yang jahat.(Riwayat Ahmad)
Sabda Rasullallah s.a.w yang bermaksud:
“Tidak akan masuk syurga pemutus(keluarga)”.(Riwayat Bukhari)
Daripada kisah benar tapi nama watak dan tempat di dalam cerita ini telah di ubah demi menjaga nama baik kesemua yang terlibat.
Wallahu’alam.
Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.
Wassalam.

Usaha Mesti, Kejayaan usah di nanti, Serahkanlah pada Ilahi.













.....Khas untuk orang Seremban. Pertanyaan dan tempahan, bolehlah hubungi Kak Faridah...., tel 012-2243696.
