Archive for October 21st, 2009
Pusaka ke Neraka
Assalamualaikum, apa khabar semua.
“Mak, kenapa tak sama banyak je mak?. Kenapa Ila lebih, saya dapat sikit? Lebihnya bukan sikit-sikit. Kalau setakat setengah ekar ke 1 ekar ke boleh juga saya terima. Ini lebih dari separuh. Dahlah macam tu, duit pun dia lebih juga”. Tijah membantah.
“Alah…h Jah, adik kau tu kan nak berniaga. Dia ada masalah sikit dengan perniagaannya. Jadi boleh juga dia cagarkan tanah peninggalan ayah tu untuk perniagaannya. Anaknya pulak ramai yang masih bersekolah, yang belajar lagi. Dia perlukan banyak duit untuk perbelanjaan sekolah anak-anaknya”.
“Anak-anak Jahkan semuanya dah lepas. Dah tak ada tangunggan lagi. Dah tak pening kepala nak cari duit untuk perbelanjaan anak-anak. Cuma untuk belanja diri sendiri je”. Maknya menyangah.
Salim anak yang tua pula meluah, “Mak…, patutnya anak lelaki yang lebih kalau ikutkan. Islam pun kata macam tu. Cuba mak tanya Ustaz Shofi, macammana cara yang baik dan betul untuk bahagi-bahagikan harta-harta ni”.
Maknya terus membantah,”Ikut ajelah apa yang mak kata. Engkau orang apa tau. Duduk dahlah jauh-jauh belaka. Adik kau je yang dekat dengan kampung ni. Dia yang selalu menjenguk dan menguruskan tanah-tanah peninggalan ayah kau tu. Dia juga yang selalu datang dan ziarah mak, sediakan makan minum mak”.
Adik mereka yang kecil mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju, Terus tersenyum-senyum malu, “Ialah bang, akak. Betul kata mak tu. Selama ni saya yang cari orang tolong bersihkan kebun tu, racunkan rumput, tebang pokok-pokok yang menyemakkan kebun tu. Cari orang yang ingin torehkan getah tapi duitnya kita bagi sama banyak. Sakit pening masa arwah ayah tu dulu saya yang uruskan, nak harapkan abang dan kakak jauh-jauh belaka. Dah tu balik sekali-sekala aje”. Mengiakan kata-kata ibunya.
“Ah…h! Kau memang macam tu, membodek emak nombor satu. Semuanya kau nak sapu”. Kata kakaknya, Tijah.
Setelah puas bertegang urat. Namun tiada muafakat. Walaupun telah di beri taklimat, keputusan ibunya tetap muktamat.
“Tak pelah mak. Kami pun tak tau nak cakap apa lagi. Uruskanlah semuanya sendiri atau suruh anak menantu yang mak sayangi. Kami ni tak reti. Kita lihatlah apa yang jadi nanti”. Kata Zul, abang keduanya mengalah.
Entah berapa kali mereka berbincang dan mengata dari belakang. Itulah keputusannya, itulah juga kata-kata maknya. Sudah tidak boleh di ubah-ubah lagi. Terlalu susah untuk menyedarkan dan mengingatkan emaknya. Entah apa ubat, entah apa ayat yang diberikan oleh Ila, membuatkan emak mereka terikat dengan katanya yang bulat. Keputusannya sudah muktamat.
Akhirnya mereka bersepakat, terus tanamkan tekad untuk tidak mahu ambil tahu apa yang berlaku walaupun masa telah lama berlalu mereka tetap seperti itu.
Di tepi Jendela
Nenek tua itu duduk di tepi jendela. Menyelek-nyelak tabir usang yang tidak berganti malah tidak di basuh entah berapa tahun lamanya.
Tabir itu sepatutnya menyerikan suasana di rumahnya tetapi telah menyemakkan mata yang memandangnya serta memburukkan lagi suasana di dalamnya. Mana tidaknya, rupanya yang kusam, lebam, balam, menambahkan serta memburukkan lagi suasana suram, muram dan guram. Berhabuk, berbintik-bintik hitam, bertahi lalat malah telah tercarik bagaikan di cakar sang kucing liar.
Sebenarnya bukan kucing yang mencakar, bukan jari-jemari nenek tua itu yang mencakar-cakar tabir itu, tetapi cakaran waktu, cakaran masa dan cakaran hari-hari yang telah bersilih ganti yang datang dan pergi. Cakaran-cakaran serta carikan-carikan yang membuktikan telah bertahun ia setia di sisi jendela itu. Seusia cakaran dan carikan yang ada di hati nenek tua itu.
Hujan panas, siang malam malah ribut taufan yang silih berganti akan terus mengoyakkan tabir itu, akan berterbanganlah carikan tabir lalu jatuh ke lantai serta mereputlah di situ, tiada siapa yang mahu tahu.
Tiada siapa yang ambil tahu, tiada siapa yang ingin membantu. Namun nenek itu terus menunggu.
Tabir itu sepatutnya boleh melindungi cahaya yang panas terik, telah boleh menerobos ke dalam rumah. Tabir itu boleh menapis serta menghalang habuk dan debu-debu kotor dari memasuki rumah itu tetapi ia telah boleh menyusup masuk di celah-celah belahan carikan-carikannya. Hujan panas yang kebiasaannya tidak lebat tetapi memudaratkan itu juga mampu masuk ke dalam rumah itu. Apatah lagi hujan lebat, hujan batu juga ribut taufan sudah pastilah meluru masuk ke rumah usang itu.
Usang.
Usang, seusang penghuninya. Senada sahaja apa yang ada di dalam.
Nenek tua itu masih di situ, masih lagi menyelak-nyelak tabir usang itu, mengintai-intai di luar jendela itu. Mengharapkan sapaan salam dari tetamu. Namun tiada siapa yang datang menyapa. Yang kedengaran hanyalah sapaan ayam itik di lamannya, serta kucing yang menjadi teman lamanya.
Nenek tua itu masih di situ, di jendela itu. Mengharapkan sapaan dari anak menantu serta cucu yang di rindu. Padahal suatu ketika dulu, rumah ini sentiasa ceria, sentiasa bercahaya dengan gelak tawa, dengan gurau senda ahli keluarganya. Tapi sayang semuanya telah tiada, hanya kenangan yang terus bertakhta di hati nenek tua.
Syawal telah pun berakhir. Tiada siapa yang sudi datang ke rumah usang itu. Tiada Mercedess bermata bundar yang mau mengegar laman usang itu. Tiada Alphart yang mau merapat ke laman usang itu. Tiada kereta lama yang terbatuk-batuk enjinnya yang menjenguk ke laman usang itu. Malah basikal pun tidak mahu lalu di situ. Tiada siapa yang ingin singah untuk menjengah nenek tua itu.
Kasihan dia, mengapa begitu jadinya.
Dia masih di situ. Membayangkan kenangan dulu. Bayangan yang masih terbentang di ingatannya, yang masih terang benderang menyuluh hidupnya. Dia rindukan hilai-tawa, jerit-pekit, senda-gurau juga tanggis-mengada serta rajuk-hiba cucu-cucunya. Melihat keletah dan telatah cucunya, hatinya menjadi bahagia. Dia merasakan hidupnya cukup bermakna lagi penuh sempurna ketika itu.
Tapi sekarang kasihan dia, mengapa begitu jadinya.
Nenek tua itu masih di situ, masih di jendela itu, Meniti hari-harinya tuanya yang tak menentu. Menanti dan terus menanti mengharapkan anak-anaknya kembali. Tapi apakan daya, syawal pun sudah meninggalkan kita. Harapan sudah pudar jadinya dan rasa kecewa pula yang bertakhta.
Nenek tua itu masih di situ, menunggu dan terus menunggu, di jendela yang kaku, menanti kehadiran anak menantu serta cucu. Apakah masih ada waktu untuk mereka bertemu, untuk melepaskan rindu, untuk bercerita dan mengadu, untuk berbaik tanpa cemburu, sebelum senja berlalu, sebelum malam membisu, sebelum badan sejuk kaku, hanya Allah sahaja yang tahu.
Apakah hati mereka sudah beku? Tidak adakah rasa sayu? Tidak adakah rasa terharu? Tidak adakah rasa malu? Membiarkan ibunya begitu. Ibunya menanggis tersedu-sedu.
Kenangan lalu
Dia terkenangkan anaknya Kamal. Anak pertamanya yang tinggal di Kuala Perlis. Sudah lama dia tidak balik ke kampung halamannya. Jauh adalah alasan utamanya. Masalah kewangan juga antara puncanya. Walaubagaimanapun setahun sekali akan pulang juga ke kampung Sentosa, kampung halamannya. Tetapi semenjak ibunya membahagikan harta pusaka keadaan sudah berubah. Dia sudah mula memberi pelbagai alasan untuk tidak balik ke kampungnya. Sebenarnya hatinya telah terluka.
Anak ke duanya pula, walaupun berada di Kuala Lumpur, masih tidak boleh balik ke kampung, katanya, “Kerjanya tak menentu, waktu cuti pun bertugas juga”. Itulah jawapannya bila sesekali emaknya menelefon.
“Budak-budak ni pun sibuk dengan kelas tambahan dan tuisyen. Hari cuti pun ada kelas, jadi susah sikitlah nak balik ke kampung”. Sambungnya lagi.
Manakala anak ketiganya, Tijah pula sudah berubah, katanya, “Abang Din sibuk sejak kebelakangan ini mak, selalu outstation jadi Tijah ikut ke mana abang pergi”. Itulah antara jawapan yang biasa di beri bila emaknya berada di talian talefon. Sebelum ini dia jarang mengikut suaminya. Sejak anaknya besar dia selalu mengikut suaminya. Sebenarnya hatinya tersinggung dengan sikap ibunya yang melebihkan adiknya.
“Ilakan ada, diakan anak kesayangan mak. Diakan dekat dan selalu menjenguk mak” Terkedu dan terbisu nenek itu mendengar kata-kata yang keluar dari mulut celupar anaknya. Bagaikan “memulangkan paku buah keras” pada ibunya.
Mereka memberikan pelbagai alasan untuk tidak berjumpa ibunya. Mereka marah pada ibunya. Mereka cemburu dengan adiknya. Mereka sudah lama tidak bertanya khabar tentang adiknya, juga ibunya. Biarlah begitu, mereka tidak mahu bertemu dengan adiknya. Mereka sudah tidak mau melihat muka adiknya.
Manakala anak kesayangan nenek itu, anaknya yang bongsu yang tinggal di bandar berhampiran kampungnya. Suatu ketika dulu memang selalu menjenguk nenek itu. Makan minumnya sentiasa terjaga. Bajunya sentiasa di basuh dan di lipatnya. Rumahnya selalu di kemaskan, di sapu lantainya, di tukar langsirnya, di potong rumput halaman rumahnya.
Tapi…, semenjak dia mendapat dan membolot kebanyakan harta pusaka peninggalan ayahnya, dia sudah jarang balik ke kampung, menjenguk ibunya walaupun dekat sahaja.
“Sibuk” Perkataan yang selalu keluar dari mulut Ila pada emaknya. Perniagaannya bertambah maju sekarang ini. Nak di tinggalkan takut pula tak dapat projek atau kontrak. Mana nak cari duit nak bayar rumah bonglo di atas bukit itu. Macamana nak bayar hutang kereta yang lebih sejuta harganya. Belum lagi di kira belanja yang lainnya, makan di hotel berbintang-bintang, melancung ke hujung dunia.
Bila bercuti, di gunakan untuk membawa anaknya ke luar negara. Katanya “Inilah masa untuk bermesra dengan suami dan anak-anaknya”. Untuk mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan mereka.
Tidak mengenang budi.
Begitulah lumrahnya manusia. Tidak ingatkah dia akan ibunya yang mengorbankan harta bendanya, pusaka suaminya untuk anak yang di sayanginya? Bila dah senang beginikah balasannya? Sanggup membiarkan ibunya merempat di kampung halamannya.
Anak tidak mengenang budi. Duit dah banyak, tapi biarkan ibunya sendiri. Sakit peningnya sudah tidak di peduli. Makan minumnya sendiri. Tidurnya bertemankan mimpi ngeri.
Inikah balasan untuk dirinya. Tidak berlaku adil terhadap anak-anaknya. Tidak berfikir apakah akibatnya. Bertindak sesuka hati tanpa usul periksa. Tidak bertanya pada yang arif tentang pusaka. Sepatutnya terlebih dahulu berdoa pada yang Esa, mohon petunjuk dan hidayahNya. Apakan daya menyesal sudah tidak berguna.
Masih ada masakah untuk bersatu?
Nenek tua itu tidak banyak waktu
Malaikat Izrail sedang menunggu
Untuk mencabut nyawa nenek itu
Menghantarnya ke dunia baru.
Nenek tua itukan ibumu.
Usah di kenang kisah yang lalu
Yang terluka dan rasa cemburu.
Nenek tua itu tetap ibumu
Ibumu yang satu,
Walau apa pun yang berlaku
Walaupun marah, tak setuju
Janganlah di sisihnya begitu.
Nenek tua itu tetap ibumu
Yang lalu biarlah berlalu
Binalah hidup baru
Kerana Allah sentiasa melihatmu
Mencatit apa yang berlaku
Syurga atau Neraka adalah tempatmu
Pilihlah mana yang engkau mahu.
Berbaktilah untuk ibumu
Demi Syurga yang menunggu.
Tidak kah terbuka hati mereka untuk menghentikan segala sengketa? Tidak terfikirkah mereka tentang dosa dan pahala? Tidak takutkah mereka akan Neraka? Mereka semuanya ada salah dan silapnya di mana-mana. Saling bermaaf-maafan, itulah yang terbaiknya. Atau sanggupkah mereka membawa ‘Pusaka ke Neraka’?
Inilah akibatnya terlalu memikirkan dunia.
Inilah akibatnya terlalu pentingkan harta benda
Inilah akibatnya terlalu pentingkan diri sahaja
Sangup tidak bertegur sapa
Sangup tidak bertanya khabar berita.
*******************************************************************************
Firman Allah Ta’ala bermaksud :
“Berikanlah kepada kaum kerabat hak masing-masing”
(Al-Isra: 26)
Dan lagi
“Dan Kami perintahkan manusia supaya berbaik-baik kepada kedua ibubapanya, ibunya telah mengandungnya penuh derita dan melahirkannya penuh derita, kemudian menyusuinya selama tiga puluh bulan.”
(Al-Ahqaf: 16)
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud :
“Orang yang paling banyak taqwanya kepada Allah, paling tererat sekali perhubungannya dengan keluarga, paling suka menyuruh berbuat kebajikan dan melarang berbuat kemungkaran”.
*
*
*
*** cerita di atas tiada kaitan dengan sesiapa. Hanya khayalan si penulis untuk cuba memberi ikhtibar pada semua juga pada diri penulisnya.
Wallahua’lam.
Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.
Wassalam.
Usaha Mesti, Kejayaan usah di nanti, Serahkanlah pada Ilahi.










.....Khas untuk orang Seremban. Pertanyaan dan tempahan, bolehlah hubungi Kak Faridah...., tel 012-2243696.
