Archive for October, 2009
Kentang Putar
Assalamualaikum, apa khabar semua.
Pertama-tamanya ingin saya mengucapkan selamat berangkat kepada anda yang akan berkunjung ke rumah Allah. Semoga membawa kejayaan yang tiada tandingan di dunia ini iaitu Haji Mabrur. Semoga kunjungan ke Raudah dan Kaabah akan mengubah hidup anda menjadi lebih baik dari sebelumnya. Ameen.
Oleh kerana kebanyakan jemaah haji dah mula sibuk sekarang ni. Kita yang tak pergi ni pun sibuk juga. Sibuk untuk persiapan hari raya haji pula. Taklah sesibuk masa raya puasa. Tapi rasanya eloklah kita sibuk-sibukkan diri untuk mengira budget, berapa bahagian boleh kita berkorban untuk tahun ini. Bukan setakat duit je tapi hati dan perasaan juga patut kita fikirkan.
Bolehkah kita berkorbon hati dan perasaan kita? Bolehkah kita lebih pentingkan orang lain pada diri sendiri? Hanya iman yang boleh menjawab semuanya.
Roti Canai Goreng.
Assalamualaikum, apa khabar semua.
“Pergi order dengan orang lain”. Itulah kata-kata yang terkeluar dari mulut mamak/bangla(Tak pasti…), selepas En. Juli membuat order. Suami saya merasa hairan.
En. Juli, kawan kepada suami saya menceritakan pengalamannya, semasa dalam perjalanan balik dari sebuah restoran yang selalu di kunjunginya untuk bersarapan pagi. Suami saya dan En. Juli ni, memang ngam, selalu minum bersama dan tolong menolong di dalam melakukan kerja yang di tugaskan, di Hospital Besar Seremban.
Pusaka ke Neraka
Assalamualaikum, apa khabar semua.
“Mak, kenapa tak sama banyak je mak?. Kenapa Ila lebih, saya dapat sikit? Lebihnya bukan sikit-sikit. Kalau setakat setengah ekar ke 1 ekar ke boleh juga saya terima. Ini lebih dari separuh. Dahlah macam tu, duit pun dia lebih juga”. Tijah membantah.
“Alah…h Jah, adik kau tu kan nak berniaga. Dia ada masalah sikit dengan perniagaannya. Jadi boleh juga dia cagarkan tanah peninggalan ayah tu untuk perniagaannya. Anaknya pulak ramai yang masih bersekolah, yang belajar lagi. Dia perlukan banyak duit untuk perbelanjaan sekolah anak-anaknya”.
“Anak-anak Jahkan semuanya dah lepas. Dah tak ada tangunggan lagi. Dah tak pening kepala nak cari duit untuk perbelanjaan anak-anak. Cuma untuk belanja diri sendiri je”. Maknya menyangah.
Salim anak yang tua pula meluah, “Mak…, patutnya anak lelaki yang lebih kalau ikutkan. Islam pun kata macam tu. Cuba mak tanya Ustaz Shofi, macammana cara yang baik dan betul untuk bahagi-bahagikan harta-harta ni”.
Maknya terus membantah,”Ikut ajelah apa yang mak kata. Engkau orang apa tau. Duduk dahlah jauh-jauh belaka. Adik kau je yang dekat dengan kampung ni. Dia yang selalu menjenguk dan menguruskan tanah-tanah peninggalan ayah kau tu. Dia juga yang selalu datang dan ziarah mak, sediakan makan minum mak”.
Adik mereka yang kecil mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju, Terus tersenyum-senyum malu, “Ialah bang, akak. Betul kata mak tu. Selama ni saya yang cari orang tolong bersihkan kebun tu, racunkan rumput, tebang pokok-pokok yang menyemakkan kebun tu. Cari orang yang ingin torehkan getah tapi duitnya kita bagi sama banyak. Sakit pening masa arwah ayah tu dulu saya yang uruskan, nak harapkan abang dan kakak jauh-jauh belaka. Dah tu balik sekali-sekala aje”. Mengiakan kata-kata ibunya.
“Ah…h! Kau memang macam tu, membodek emak nombor satu. Semuanya kau nak sapu”. Kata kakaknya, Tijah.
Setelah puas bertegang urat. Namun tiada muafakat. Walaupun telah di beri taklimat, keputusan ibunya tetap muktamat.
“Tak pelah mak. Kami pun tak tau nak cakap apa lagi. Uruskanlah semuanya sendiri atau suruh anak menantu yang mak sayangi. Kami ni tak reti. Kita lihatlah apa yang jadi nanti”. Kata Zul, abang keduanya mengalah.
Entah berapa kali mereka berbincang dan mengata dari belakang. Itulah keputusannya, itulah juga kata-kata maknya. Sudah tidak boleh di ubah-ubah lagi. Terlalu susah untuk menyedarkan dan mengingatkan emaknya. Entah apa ubat, entah apa ayat yang diberikan oleh Ila, membuatkan emak mereka terikat dengan katanya yang bulat. Keputusannya sudah muktamat.
Akhirnya mereka bersepakat, terus tanamkan tekad untuk tidak mahu ambil tahu apa yang berlaku walaupun masa telah lama berlalu mereka tetap seperti itu.
Di tepi Jendela
Nenek tua itu duduk di tepi jendela. Menyelek-nyelak tabir usang yang tidak berganti malah tidak di basuh entah berapa tahun lamanya.
Tabir itu sepatutnya menyerikan suasana di rumahnya tetapi telah menyemakkan mata yang memandangnya serta memburukkan lagi suasana di dalamnya. Mana tidaknya, rupanya yang kusam, lebam, balam, menambahkan serta memburukkan lagi suasana suram, muram dan guram. Berhabuk, berbintik-bintik hitam, bertahi lalat malah telah tercarik bagaikan di cakar sang kucing liar.
Sebenarnya bukan kucing yang mencakar, bukan jari-jemari nenek tua itu yang mencakar-cakar tabir itu, tetapi cakaran waktu, cakaran masa dan cakaran hari-hari yang telah bersilih ganti yang datang dan pergi. Cakaran-cakaran serta carikan-carikan yang membuktikan telah bertahun ia setia di sisi jendela itu. Seusia cakaran dan carikan yang ada di hati nenek tua itu.
Hujan panas, siang malam malah ribut taufan yang silih berganti akan terus mengoyakkan tabir itu, akan berterbanganlah carikan tabir lalu jatuh ke lantai serta mereputlah di situ, tiada siapa yang mahu tahu.
Tiada siapa yang ambil tahu, tiada siapa yang ingin membantu. Namun nenek itu terus menunggu.
Tabir itu sepatutnya boleh melindungi cahaya yang panas terik, telah boleh menerobos ke dalam rumah. Tabir itu boleh menapis serta menghalang habuk dan debu-debu kotor dari memasuki rumah itu tetapi ia telah boleh menyusup masuk di celah-celah belahan carikan-carikannya. Hujan panas yang kebiasaannya tidak lebat tetapi memudaratkan itu juga mampu masuk ke dalam rumah itu. Apatah lagi hujan lebat, hujan batu juga ribut taufan sudah pastilah meluru masuk ke rumah usang itu.
Usang.
Usang, seusang penghuninya. Senada sahaja apa yang ada di dalam.
Nenek tua itu masih di situ, masih lagi menyelak-nyelak tabir usang itu, mengintai-intai di luar jendela itu. Mengharapkan sapaan salam dari tetamu. Namun tiada siapa yang datang menyapa. Yang kedengaran hanyalah sapaan ayam itik di lamannya, serta kucing yang menjadi teman lamanya.
Nenek tua itu masih di situ, di jendela itu. Mengharapkan sapaan dari anak menantu serta cucu yang di rindu. Padahal suatu ketika dulu, rumah ini sentiasa ceria, sentiasa bercahaya dengan gelak tawa, dengan gurau senda ahli keluarganya. Tapi sayang semuanya telah tiada, hanya kenangan yang terus bertakhta di hati nenek tua.
Syawal telah pun berakhir. Tiada siapa yang sudi datang ke rumah usang itu. Tiada Mercedess bermata bundar yang mau mengegar laman usang itu. Tiada Alphart yang mau merapat ke laman usang itu. Tiada kereta lama yang terbatuk-batuk enjinnya yang menjenguk ke laman usang itu. Malah basikal pun tidak mahu lalu di situ. Tiada siapa yang ingin singah untuk menjengah nenek tua itu.
Kasihan dia, mengapa begitu jadinya.
Dia masih di situ. Membayangkan kenangan dulu. Bayangan yang masih terbentang di ingatannya, yang masih terang benderang menyuluh hidupnya. Dia rindukan hilai-tawa, jerit-pekit, senda-gurau juga tanggis-mengada serta rajuk-hiba cucu-cucunya. Melihat keletah dan telatah cucunya, hatinya menjadi bahagia. Dia merasakan hidupnya cukup bermakna lagi penuh sempurna ketika itu.
Tapi sekarang kasihan dia, mengapa begitu jadinya.
Nenek tua itu masih di situ, masih di jendela itu, Meniti hari-harinya tuanya yang tak menentu. Menanti dan terus menanti mengharapkan anak-anaknya kembali. Tapi apakan daya, syawal pun sudah meninggalkan kita. Harapan sudah pudar jadinya dan rasa kecewa pula yang bertakhta.
Nenek tua itu masih di situ, menunggu dan terus menunggu, di jendela yang kaku, menanti kehadiran anak menantu serta cucu. Apakah masih ada waktu untuk mereka bertemu, untuk melepaskan rindu, untuk bercerita dan mengadu, untuk berbaik tanpa cemburu, sebelum senja berlalu, sebelum malam membisu, sebelum badan sejuk kaku, hanya Allah sahaja yang tahu.
Apakah hati mereka sudah beku? Tidak adakah rasa sayu? Tidak adakah rasa terharu? Tidak adakah rasa malu? Membiarkan ibunya begitu. Ibunya menanggis tersedu-sedu.
Kenangan lalu
Dia terkenangkan anaknya Kamal. Anak pertamanya yang tinggal di Kuala Perlis. Sudah lama dia tidak balik ke kampung halamannya. Jauh adalah alasan utamanya. Masalah kewangan juga antara puncanya. Walaubagaimanapun setahun sekali akan pulang juga ke kampung Sentosa, kampung halamannya. Tetapi semenjak ibunya membahagikan harta pusaka keadaan sudah berubah. Dia sudah mula memberi pelbagai alasan untuk tidak balik ke kampungnya. Sebenarnya hatinya telah terluka.
Anak ke duanya pula, walaupun berada di Kuala Lumpur, masih tidak boleh balik ke kampung, katanya, “Kerjanya tak menentu, waktu cuti pun bertugas juga”. Itulah jawapannya bila sesekali emaknya menelefon.
“Budak-budak ni pun sibuk dengan kelas tambahan dan tuisyen. Hari cuti pun ada kelas, jadi susah sikitlah nak balik ke kampung”. Sambungnya lagi.
Manakala anak ketiganya, Tijah pula sudah berubah, katanya, “Abang Din sibuk sejak kebelakangan ini mak, selalu outstation jadi Tijah ikut ke mana abang pergi”. Itulah antara jawapan yang biasa di beri bila emaknya berada di talian talefon. Sebelum ini dia jarang mengikut suaminya. Sejak anaknya besar dia selalu mengikut suaminya. Sebenarnya hatinya tersinggung dengan sikap ibunya yang melebihkan adiknya.
“Ilakan ada, diakan anak kesayangan mak. Diakan dekat dan selalu menjenguk mak” Terkedu dan terbisu nenek itu mendengar kata-kata yang keluar dari mulut celupar anaknya. Bagaikan “memulangkan paku buah keras” pada ibunya.
Mereka memberikan pelbagai alasan untuk tidak berjumpa ibunya. Mereka marah pada ibunya. Mereka cemburu dengan adiknya. Mereka sudah lama tidak bertanya khabar tentang adiknya, juga ibunya. Biarlah begitu, mereka tidak mahu bertemu dengan adiknya. Mereka sudah tidak mau melihat muka adiknya.
Manakala anak kesayangan nenek itu, anaknya yang bongsu yang tinggal di bandar berhampiran kampungnya. Suatu ketika dulu memang selalu menjenguk nenek itu. Makan minumnya sentiasa terjaga. Bajunya sentiasa di basuh dan di lipatnya. Rumahnya selalu di kemaskan, di sapu lantainya, di tukar langsirnya, di potong rumput halaman rumahnya.
Tapi…, semenjak dia mendapat dan membolot kebanyakan harta pusaka peninggalan ayahnya, dia sudah jarang balik ke kampung, menjenguk ibunya walaupun dekat sahaja.
“Sibuk” Perkataan yang selalu keluar dari mulut Ila pada emaknya. Perniagaannya bertambah maju sekarang ini. Nak di tinggalkan takut pula tak dapat projek atau kontrak. Mana nak cari duit nak bayar rumah bonglo di atas bukit itu. Macamana nak bayar hutang kereta yang lebih sejuta harganya. Belum lagi di kira belanja yang lainnya, makan di hotel berbintang-bintang, melancung ke hujung dunia.
Bila bercuti, di gunakan untuk membawa anaknya ke luar negara. Katanya “Inilah masa untuk bermesra dengan suami dan anak-anaknya”. Untuk mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan mereka.
Tidak mengenang budi.
Begitulah lumrahnya manusia. Tidak ingatkah dia akan ibunya yang mengorbankan harta bendanya, pusaka suaminya untuk anak yang di sayanginya? Bila dah senang beginikah balasannya? Sanggup membiarkan ibunya merempat di kampung halamannya.
Anak tidak mengenang budi. Duit dah banyak, tapi biarkan ibunya sendiri. Sakit peningnya sudah tidak di peduli. Makan minumnya sendiri. Tidurnya bertemankan mimpi ngeri.
Inikah balasan untuk dirinya. Tidak berlaku adil terhadap anak-anaknya. Tidak berfikir apakah akibatnya. Bertindak sesuka hati tanpa usul periksa. Tidak bertanya pada yang arif tentang pusaka. Sepatutnya terlebih dahulu berdoa pada yang Esa, mohon petunjuk dan hidayahNya. Apakan daya menyesal sudah tidak berguna.
Masih ada masakah untuk bersatu?
Nenek tua itu tidak banyak waktu
Malaikat Izrail sedang menunggu
Untuk mencabut nyawa nenek itu
Menghantarnya ke dunia baru.
Nenek tua itukan ibumu.
Usah di kenang kisah yang lalu
Yang terluka dan rasa cemburu.
Nenek tua itu tetap ibumu
Ibumu yang satu,
Walau apa pun yang berlaku
Walaupun marah, tak setuju
Janganlah di sisihnya begitu.
Nenek tua itu tetap ibumu
Yang lalu biarlah berlalu
Binalah hidup baru
Kerana Allah sentiasa melihatmu
Mencatit apa yang berlaku
Syurga atau Neraka adalah tempatmu
Pilihlah mana yang engkau mahu.
Berbaktilah untuk ibumu
Demi Syurga yang menunggu.
Tidak kah terbuka hati mereka untuk menghentikan segala sengketa? Tidak terfikirkah mereka tentang dosa dan pahala? Tidak takutkah mereka akan Neraka? Mereka semuanya ada salah dan silapnya di mana-mana. Saling bermaaf-maafan, itulah yang terbaiknya. Atau sanggupkah mereka membawa ‘Pusaka ke Neraka’?
Inilah akibatnya terlalu memikirkan dunia.
Inilah akibatnya terlalu pentingkan harta benda
Inilah akibatnya terlalu pentingkan diri sahaja
Sangup tidak bertegur sapa
Sangup tidak bertanya khabar berita.
*******************************************************************************
Firman Allah Ta’ala bermaksud :
“Berikanlah kepada kaum kerabat hak masing-masing”
(Al-Isra: 26)
Dan lagi
“Dan Kami perintahkan manusia supaya berbaik-baik kepada kedua ibubapanya, ibunya telah mengandungnya penuh derita dan melahirkannya penuh derita, kemudian menyusuinya selama tiga puluh bulan.”
(Al-Ahqaf: 16)
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud :
“Orang yang paling banyak taqwanya kepada Allah, paling tererat sekali perhubungannya dengan keluarga, paling suka menyuruh berbuat kebajikan dan melarang berbuat kemungkaran”.
*
*
*
*** cerita di atas tiada kaitan dengan sesiapa. Hanya khayalan si penulis untuk cuba memberi ikhtibar pada semua juga pada diri penulisnya.
Wallahua’lam.
Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.
Wassalam.
Usaha Mesti, Kejayaan usah di nanti, Serahkanlah pada Ilahi.
Saya Suka, Allah Sukakah?
Assalamualaikum, apa khabar semua.
Saya memang suka sesuatu yang cantik-cantik, bersih dan Berbeza dari Biasa. Tapi tidak pula memperlekehkan perkara-perkara yang sebaliknya. Tambah-tambah pula ia memanglah datangnya dari Allah seperti muka yang tidak cantik, cacat, miskin dan busuk/buruk. Itu semuakan Qada’ dan qadar Allah, nanti seolah-olah kita menghina Allah pula.
Saya masih mampu makan kalau di hadapan saya ada najis atau ada bau-bauan yang kurang menyenangkan. Tapi anak-anak dan suami saya sebaliknya. Mungkin suatu ketika dulu saya sudah biasa dengan keadaan itu.
Saya pernah membawa anak-anak saya ke kebun getah dan sampai sahaja di kebun anak saya yang pertama terjeluik menghidu bau-bauan getah sekerap tapi anak ke dua saya masih boleh bertahan walaupun hakikatnya di mata saya, dia adalah yang sangat menjaga “kemacorannya”.
Saya katakan pada mereka “Inilah bau duit”. Setiap kali melalui kilang getah atau memotong/berselisih dengan lori getah, saya katakan pada mereka “jangan kata busuk, itulah bau duit. Itulah yang membesarkan ibu dahulu”.
Anak pertama saya memang tak boleh pergi ke pasar sebab di pasar dia akan terjeluik beberapa kali. Walaubagaimanapun abah mereka selalu mengajak mereka untuk menemaninya membeli keperluan dapur setiap minggu. Akhirnya ia berkurangan sedikit demi sedikit. Alhamdulillah.
Kini, anak-anak saya yang besar tak pernah kata busuk lagi.
Tapi.., dari kecil lagi saya mempunyai sifat suka sesuatu yang cantik, bersih dan menarik. Tambah-tambah pula saya tak pernah jumpa atau jarang jumpa. Kalau nak ikutkan rumah ibubapa dulu, memang tak menarik dan cantik langsung maklumlah orang susah., tak de apa-apa pun. Tak de siapa yang nak datang dan menjenguk pun, tapi tak taulah, mungkin naluri wanita memang macam tu. Walaupun tak cantik tapi saya tetap nak nampak cantik dan bersih.
Saya sanggup mengosok lantai rumah saya dengan sabun dan bilas dengan air bersih. Saya sanggup menyangkul di sekeliling rumah jika rumput dan lalang telah meninggi. Saya suka menanam bunga dan sayur-sayuran tapi abah saya kata “tangan saya panas, banyak yang tak menjadi”. Saya suka menghias rumah walaupun tau tak de orang nak datang, samada sekarang ataupun dulu.
Namun demikian suka pada perkara-perkara seperti itu mendekatkan diri saya pada rasa riak, sombong dan berbangga-bangga dengan apa yang ada. Sekarang pun saya memperniagakan perkara-perkara yang berkaitan dengan perkara itu.
Salahkah apa yang saya buat?
Memang berbagai pendapat yang saya dengar, cuma buat masa sekarang ini, saya mengikut pendapat yang membolehkan saya melakukannya?
Memang tidak dinafikan sifat-sifat itu dan rasa-rasa semacam itu ada pada diri saya. Itulah antara kelemahan dan kekurungan yang banyak ada pada diri saya yang cuba saya perbaikki dari semasa ke semasa. Semoga sebelum mata saya tertutup ia akan hilang dan berubah.
Jika anda melihat gambar di bawah ini, inilah yang ada pada diri saya. Ikutlah apa yang anda rasa dan itulah saya.
Saya memang suka suatu yang cantik dan menarik yang tidak bertentangan dengan Islam.

Bunga Orkid Harimau kat rumah jiran(Kak Som), walaupun saya yang bagi anak bunga ni, tapi Kak Som punya dah berbunga manakala yang kat rumah saya masih belum berbunga lagi. Jelous juga sebab macam lawan toke je.
Orkid kat rumah saya. Cantikkan? Lihatlah ia sebagai kebesaran dan kehebatan Allah s.w.t.
Misai Kucing, dulu pokoknya besar tapi sekarang ni dah di cantas.


Pokok kunyit dan halia antara yang ada kat laman saya yang sedepa je tu. Manakala gambar sebelah yang masih dalam periuk berlubang/bocor tu, daun kuchai yang mak saya bagi dan dah di alih ke pasu lain separuh lagi. Lihatlah pasu-pasu kosong yang cuba untuk di tanam sayur beberapa kali tapi tak tumbuh-tumbuh. Memang betullah kata abah saya.

Pokok pandan yang di tanam berhampiran kolam yang saya dan suami saya buat sendiri masa mula-mula pindah dulu.
Ini pinggan untuk letak buah-buahan yang saya gunakan untuk letakkan ikan, batu dan bunga yang saya ambil kat luar rumah. Kalau sebelum ni saya memang suka letak bunga hidup dalam rumah tapi tahun ni tak de bunga hidup tapi ganti dengan yang seumpamanya.

Yang ni pulak, balang kuih tahun lepas yang tak di gunakan, saya letakkan ikan juga.
Kraft Batik Canting. Saja nak promote.

Set Nasi dagang yang di bawa oleh suami ke tempat kerja sempena jamuan Hari Raya tahun ini. Saya juga suka memasak.


Gambar budak kecil kat atas tu, cucu-cucu saudara. Dah jadi nenek pun..

Ahmadinejad

Syahid – Sheikh Ahmad Yassin yang mati dalam senyum.
Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat(TGNA).
Gambar-gambar di atas ialah orang-orang yang amat saya suka dan kagumi keperibadiannya.
Sabda Rasullullah s.a.w bermaksud :-
“Berbahagialah orang yang merendah diri bukan kerana kemiskinan, juga orang yang membelanjakan harta yang di kumpulnya bukan pada jalan maksiat. Begitu juga orang yang suka menaruh belas kasihan terhadap si hina dan si miskin atau bercampur gaul dengan para ahli ilmu dan hikmat”.
**************************
“Barangsiapa merendah diri kerana Allah, niscaya akan ditinggikan oleh Allah darjatnya. Barangsiap menyombong diri pula niscaya akan di jatuhkan oleh Allah kedudukannya. Barangsiapa berekonomi niscaya akan dimewahkan oleh Allah hidupnya. Barangsiapa boros, niscaya akan dimiskinkan Allah keadaannya. Dan barangsiapa memperbanyak ingatan kepada Allah, niscaya ia akan dicintai oleh Allah.”
Wallahua’lam.
Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.
Wassalam.
Usaha Mesti, Kejayaan usah di nanti, Serahkanlah pada Ilahi.
Karamel Berhias Tamar Berbeluluk.
Assalamualaikum, apa khabar semua.
Minggu lepas saya menerima tetamu dari kaum keluarga sendiri. Keluarga adik-adik, emak dan abah saya datang ke rumah untuk meraikan Hari Raya dengan menziarah kami sekeluarga pula. Riuh rendahlah untuk seketika di rumah kami.
Kalau dia orang tak datang pun riuh rendah juga tapi kali ni lebih lagi sampai nak bercakap pun terjerit-jerit dek kerana berlawan dengan suara anak-anak saudara yang terlalu bising dan aktif. Walaubagaimanapun rasa seronak, tapi sayang saya terlupa dan tak sempat nak ambil gambar cuma sempat ambil gambar anak buah yang paling awal datang dan mak saya, yang mana tak bagi ambil gambarnya kerana pakai ‘serekop’ aje.


Gambar emak dan anak buah. Tengoklah tu…, emaknya letakkan pemerah bibir jadi tak boleh nak tutup mulutnya sebab takut pemerah bibirnya hilang.
Tahun ni saya masak set nasi dagang bersama ‘rendang ayam berpegaga’ dan 2 jenis pencuci mulut iaitu karemel special dan kek coklat bersalut badam. Saya cuba mengikut sunah nabi iaitu makan manisan dulu sebelum makan yang berat-berat walaupun ia dinamakan pencuci mulut yang kebiasannya di makan selepas makan yang berat-berat.
Sempatlah juga saya mengambil gambarnya kerana pada masa tu mereka belum datang lagi. Tapi bila pencuci mulut dah di letakkan ke tepi dan hidangan yang berat-berat mengambil alih, terlupa pula saya nak ambil gambarnya. Kerana belum sempat siapkan semua hidangan di atas meja, dah ada yang mencapai terutamanya keropak ikan. Dah habis satu bekas walaupun yang lainnya belum siap di letakkan di atas meja. Anak-anak kecil macam tulah, tambahan pula dia orang biasa makan yang berat-berat dulu baru makan yang ringan-ringan. Saya pulak buat terbalik.

Manisan yang di berikan sebelum makan yang berat-berat.
Bukan senang nak memberi kesedaran, apatah lagi teguran pada orang lain. Dengan anak-anak sendiripun tak menjadi inikan pula dengan orang lain yang lebih jauh hubungan kekeluargaan. Kadang-kadang dengan kata-kata tidak menjadi jadi kita kena tunjukkan caranya atau berikan contoh dengan kita sendiri mesti melakukannya terlebih dahulu.
Oklah setakat ini dahlulu coletah saya. Di bawah ni resepi karemel special dari saya.
Karamel Berhias Tamar Berbeluluk

Bahan-bahannya:
5 biji telur
½ cawan gula pasir.
1 tin susu cair
Secubit garam.
1 cawan Gula merah/enau/kabung/melaka(pilihlah salah satu dan di cairkan).
Kukusan.
Tamar/kurma
Halwa beluluk.
Atau
buah-buahan tin.
Caranya:
- Pukul telur dengan gula hingga kembang. Kalau rasa nak kurang manis kenalah kurangkan gulanya. Saya lebih suka kurangkan manisnya setakat manis-manis buah je atau lebih tawar lagi, sebab gula merah tu pun dah manis. Kebiasaannya menggunakan 1 cawan gula pasir.
- Masukkan susu cair dan pukul sekali lagi.
- Sementara tu sediakan kukusan bersama airnya dan panaskan.
- Letakkan gula merah yang telah di cairkan ke dalam Loyang.
- Masukkan bahan-bahan yang telah di pukul ke dalam Loyang yang sama.
- Kukuslah sehingga ½ jam atau 45 minit.
- Setelah selesai angkat dan biarkan sejuk.
- Keluarkan dan hiaslah di sekelilingnya dengan buahan di atas(ambil buahnya sahaja).
- Siap.
*
*
*
- Tahukah anda apa itu beluluk?

- Ia adalah buah enau/kabung(niranya di buat gula enau/kabung) yang telah di rebus dan di buat halwa. Di sini ia banyak di jual terutamanya di musim perayaan begini, di sepanjang perjalanan Kuala Pilah ke Seremban. Ada yang di jual telahpun menjadi halwa, ada juga yang masih mentah.
Wallahua’lam.
Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.
Wassalam.
Usaha Mesti, Kejayaan usah di nanti, Serahkanlah pada Ilahi.
Penangan Hari Raya
Assalamualaikum, apa khabar semua.
Hari raya ni menjadikan aktiviti saya lebih sibuk, samada menerima tetamu atau menziarahi sanak saudara dan jiran tetangga. Blog ni pun dah lama tak di update.
Tahun ni saya nak cuba lari dari kesibukkan. Dah pasang niat di awal tahun lagi. Tak nak banyak menjahit di bulan puasa, tak nak banyak memasak di hari raya. Dan bermacam-macam tak nak lagi. Memang menjahit tu tak banyak dan memasak tu pun tak banyak. Tapi.. walaupun 1 tempahan je yang tinggal masa bulan puasa, dibawa sampai ke lepas raya. Kawan punya pasal kenalah ikutkan je, terpaksa buat. Dia minta tolong buatkan langsir untuk tingkap dapur walaupun pada mulanya tak payalah katanya. Nampaknya masih tak boleh lari dari kesibukkan lagi. Jadi beginilah jadinya..

Dalam perjalanan beraya ke KL, sempat juga menjahit langsir kawan yang masih tak siap lagi. Masa itu emaskan?
Kawan-kawan anak-anak yang besar(yang 2 orang tu) pun tak de yang datang. Mungkin sebab tunggu kami buat open house untuk dia orang. Cuma ada 3 orang je anak dara yang datang, iaitu kawan kepada anak kedua saya yang terkenal dengan ayat-ayat cintanya.
Saya katakana pada anak-anak, kalau kawan-kawan nak datang, datanglah. Tapi tak de masak-masak. Makan apa yang ada je. Nampaknya tak de sorang pun yang datang.
Mak Mertua
Tahun ni mak mertua datang ke rumah saya lama sikit dari tahun sebelumnya. 5 hari dia berada di rumah kami. Saya yang ajak dia datang. Sebab kesihan melihat dia menanggis di hari raya yang ke dua kerana semua anak-anaknya dah balik ke rumah masing-masing. Ada juga yang masih belum balik lagi.
Dia kata “Selama ni pun tinggal sorang yo, tapi ni royo, habih semuonya balik”. Sambil mengesatkan air matanya. Saya ni memang tak boleh tengok orang menanggis jadi rasa nak menanggis juga.
Saya katakan padanya “tunggulah dulu kat rumah ni, besok semuanya dah balik baru datang rumah kami”. Kami pun terpaksa balik awal sebab suami kerja pada malam raya ke dua.
Selepas menziarah mak dan abah saya, kami terus balik ke rumah.
Pada hari raya ke 4, mak mertua datang ke rumah kami bersama kakak ipar. Mak mertua kami memang tak pernah datang lama, paling lama 2 malam. Tapi kali ni dia boleh tahan sampai 4 malam. Nak tau apa dia buat kat rumah kami? Sila tengok gambar di bawah ni…

Mak mentua tengah baca buku Faisal Tehrani(Maaf dari surga). Kebiasaannya di siang hari dia akan tertidur di atas kerusi tempat dia duduk tapi kali ni dia asyik membaca buka sampai tak tidurpun sebelah siangnya. Buku Sirah dan Dosa-dosa besar antara buku yang di bacanya. Saya memang respect pada mak mentua saya sebab dia memang rajin membaca walaupun hanya orang kampung je dan umur pun dah 84 tahun. Tu sebab anak-anak cucunya kebanyakan ulat-ulat buku kecuali anak saya tak ikut macam dia pulak.
Di samping tu untuk menghilangkan rasa jemunya kami ajak dia beraya di rumah kakak dan abang ipar serta cucunya di KL, P. Dickson dan sekitar Seremban. Alhamdulillah seronok dia nampaknya dan tak de tanda-tanda nak demam dan sakit-sakit. Takut juga sebab kakak ipar kat kampung tak bagi dia pergi jalan-jalan, nanti katanya “Bilo balik yo domam, batuk, sakit sini, sakit sana”. Ya lah bila jadi macam tu yang susahnya kakak yang kat kampunglah.
Tapi rasanya batuk-batuknya dah kurang sebab saya berikan madu di campur limau untuk menghilangkan batuk-batuknya. Berkesan dan sesuai untuknya. Alhamdulillah.
Design terbaru.
Gambar di bawah ni bukannya apa.., saje nak tunjukkan tudung yang saya buat/design sendiri dari batik sutera yang bakal saya perniagakan tahun hadapan. Hanya menggunakan kain berbidang 45″ boleh menghasilkan tudung bulat yang labuh. Nak tau caranya? Sila baca dekat halaman ebook percuma. kalau nak download pun boleh. InsyaAllah kalau tak ada aral melintang terutamanya bajetnya samada cukup atau tidak? Jadi saya pakailah dulu. Nanti kalau ada yang berkenan saya buat yang lain pulak. Cadangan saya untuk tahun hadapan, jual secara online untuk tudung batik sutera dan telekung batik dari kain cottan. Cuma, budjetnya tak cukup lagi.

Inilah cara saya berpakaian bila keluar. Cuma bezanya kali ni saya pakai tudung batik. Jubah memang kegemaran saya. Kalau masa anak kecil ada butang di hadapan supaya senang untuk mennyusukan anak tapi sekarang tak perlu butang. Saya buat atau suka beli yang macam baju anak patung je lurus sampai ke bawah. Walaubagaimanapun baju kurung tetap tidak di lupakan. Cuma lebih selesa begini.

Perlu menggunakan anak tudung yang di buat dari kain yang sama baru di sarungkan tudung labuh. Bila ada masa nanti saya akan tunjukkan cara menghasilkan anak tudung yang keras di hadapannya(macam tudung yang popular sekarang ni..) Tapi saya mengasingkan tudung dengan anak tudungnya.


Inilah gambar pandangan dari sisi dan belakang.
Saya baru lepas buat kek coklat. Mak dan abah saya akan datang esok(sabtu) manakala adik-beradik datang hari Ahad. Jadi kenalah masak special sikit.

Anak saya memang suka makan lebihan bancuhan kek yang belum di masak. Nasib baiklah belum pernah sakit perut lagi.
Wallahua’lam.
Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.
Wassalam.
Usaha Mesti, Kejayaan usah di nanti, Serahkanlah pada Ilahi.















.....Khas untuk orang Seremban. Pertanyaan dan tempahan, bolehlah hubungi Kak Faridah...., tel 012-2243696.
