Dangau Mengimbau
Assalamua’laikum dan apa khabar semua.
11 Ramadhan. Hujan lebat di luar sana. Aku sedikit mengigil kesejukkan. Baju yang ku pakai ini tidak dapat melegakan kesejukkan yang menyelimuti tubuhku. Ku mencari-cari baju tebal yang boleh ku sarungkan ke badanku. Puas juga ku menggeledah di almari, mencari-cari baju lamaku. Akhirnya ku jumpa juga baju lama yang boleh membalut badanku yang kesejukkan ini.
“Emm…” sedikit lega.
“Elok lagi baju ini. Sedap di pakai. Suatu ketika dulu baju ini besar, tidak sesuai untuk badanku”. Aku mengomel seorang diri.
Badan ku dah berisi sekarang. Ramai orang mengatakan, samada lepas bersalin anak pertama atau anak ketiga ia akan naik sedikit dan susah untuk turun seperti sebelumnya. Ataupun memasuki ambang 40an pun begitu. Yang ku perasan selepas bersalin anak ke tiga badanku sudah mula berisi.
“Tak pelah.., asalkan tak de penyakit yang merbahaya”. Hatiku berkata.
Namun begitu, kesihatan mesti terus di jaga untuk menyempurnakan lagi tugasanku sebagai hamba Allah di dunia ini. Juga untuk suami dan anak-anakku. Mereka perlukan aku untuk sentiasa membimbing, membetulkan dan mengingatkan apa-apa yang terlupa dan tercacat. Manakala aku juga perlukan mereka untuk melengkapkan tugasanku di dunia ini.
Kesejukkan.
Tidak terpijak kakiku di lantai mamar rumahku, kerana kesejukkan. Ku sarungkan stoking tebal pula untuk kakiku.
Ku bersela di atas sofa di ruang tamu sambil melemparkan pandangan ke luar, memerhati hujan yang turun lebat. Ku perhatikan hujan yang jatuh ke bumi lalu terpercik ke cermin pintu galangsarku. Sudah tentulah ada kesan-kesan lumpur yang akan terpercik dan terpalit di cermin pintu ku nanti. Dan sepatutnya perlu ku bersihkan kotoran itu.
Teringat pula akan peribahasa “Menepuk air di dulang, akhirnya terpercik ke muka sendiri”. Tapi ini berbeza sedikit, bukan aku yang menepuk air di dulang tapi hujan rahmat dari Allah yang turun dan memercikkan ke cermin pintuku. Jika aku berada di dalam hujan itu, sudah pastilah percikan lumpur itu terkena juga padaku.
Hujan itu kurniaan Allah, walaupun terkena percikan maupun banjir besar berlaku pasti ada rahmat dan hikmat di sebaliknya. Walaupun hujan yang mengotorkan cermin tingkapku, walaupun hujan menyebabkan kain di jemuran ku tidak kering, tidak sekali-kali aku menyalahkan hujan yang turun itu. Kerana hujan yang turun itu membawa rahmat dari Allah.
Rahmat dan Nikmat
Alhamdulillah, demam ku ini juga merupakan rahmat dari Allah. Sekurang-kurangnya menghapuskan sedikit dosa-dosa kecilku. Tidak mau rasanya ku makan ubat. Biarkanlah demam ini berlarutan. Aku ingin merasai nikmatnya sakit, nikmatnya batuk-batuk kecil, nikmatnya hidung yang tersumbat. Sudah lama tak ku rasai semuanya ini. Di tambah pula di bulan yang mulia ini, pasti lebih besar nikmatnya kerana ia lebih menguji kesabaran dan kekuatan fizikalku.
Ini cuma demam biasa, selera makanku tetap seperti biasa, bila berbuka masih berselera. Dua, tiga hari, baiklah rasanya.
Sedangkan Nabi Ayub deritanya sungguh lama, berkudis dan bernanah di merata badannya. Membiarkan ulat-ulat memakan kudis dan nanahnya. Itulah yang ku dengar tentang kisahnya. Selama 7 tahun, 7 bulan dan 7 hari berada di dalam kesakitan baru dia memohon dan merayu pada Allah supaya di sembuhkan penyakitnya. Sungguh sabar Nabi Ayub. Aku ingin mencubit sedikit kesabaran yang ada pada Nabi Ayub itu.
Namun.. mampukah aku?
Tapi sayang, aku terpaksa akur dengan paksaan suamiku untuk makan ubat. Setelah berbuka, di hulurkan padaku air suam dan ubat untuk ku makan. Terima kasih suamiku kerana mengambil berat tentang diriku.
Walaupun sakit aku tak mau duduk diam. Aku ingin jadi seperti ustazahku, Ustazah Salbiah. Sakit macamanapun dia tetap teruskan rutin hariannya. Aku masih ingat akan kata-katanya
“Kalau demam di bawa baring, bertambahlah demamnya, kalau sakit kaki di bawa duduk je tak bergerak-gerak bertambahlah sakit kakinya” .
Memang banyak kata-kata dan ilmu yang di tebarkannya menjadi peganganku. Kata-katanya yang pedas dan pedih menjadikan aku orang yang lebih tabah menghadapi dugaan dan cabaran hidup ini.
Dugaan dan cabaran
Ya, telah banyak dugaan dan cabaran yang ku lalui di sepanjang perjalanan hidupku ini. Umur pun sudah memasuki era 40an. Kehidupan mengajarku erti ketabahan, kesabaran dan keikhlasan. Perjalanan hidupku sungguh bermakna buat diriku. Alhamdulillah, dengan kurniaanmu ya Allah.
“Donggg…” Astagfirullahhalazim. Dentuman guruh menyedarkan aku dari lamunan untuk seketika.
Dentuman guruh itu mengingatkan aku akan bunyi senapang patah yang pernah di muntahkan oleh abahku semasa zaman kecilku. Senapang patah yang entah dari mana datangnya, yang selalu di gunakan untuk berburu di hutan. Samada kerana mencari binatang liar yang boleh di makan ataupun kerana itu mungkin hobby abahku. Tapi yang pastinya kami sekeluarga akan dapat menikmati makanan yang enak jika abah membawa pulang hasil buruannya. Seronak sungguh kami, melihat saja kelibat abah, pasti kami berlari-lari mendapatkannya sambil membelek-belek apa yang di bawa balik. Tapi selalunya.., kami rasa terkilan, kerana tiada apa-apa yang berhasil.
Aku juga pernah mengikut abahku, ke belukar berhampiran kampungku. Melihat jerat landak, kalau-kalau ada yang mengena. Jika tiada apa yang berhasil, emak memasak hasil tanamannya yang berada di sekeliling rumah ataupun tanaman liar di hutan seperti pucuk cemperai, pucuk paku yang di kutip di tepi-tepi sungai atau apa sahaja yang di masak oleh makku yang kadang-kadang tak tau apa namanya. Yang penting perut perlu di isi.
Sungai, paya, parit juga menjadi sumber makanan kami. Dapatlah kami merasai keenakkan ikan sembilang dan haruan serta pelbagai lagi. Jika kepulangan abahku dari memacing membawa hasil yang banyak dapatlah kami menikmati lebih seminggu rezeki kurniaan Allah itu. Kalau tidak kami makan apa yang ada, kerana kami hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Untuk membeli di kedai, tidak mungkin. Buku kecil, tiga lima(555) yang ada di dalam simpanan abahku pun sudah ada tiga buah. Sudah penuh di tulis oleh pak cik Mat dan kedai Syarikat di kampungku. Mereka sudah tidak boleh mengira angka-angka yang semakin membesar di dalam buku itu. Angkanya sudah terlalu besar dan tidak mampu di kira oleh pak cik-pak cik itu. Lagipun pak cik-pak cik tu tak sekolah tinggi. Mereka hanya dapat mengira mengikut kemampuannya sahaja.
Tidak ada kedai lain lagi yang boleh abahku hulurkan buku tiga lima untuk di isi.
Ya! Kehidupan kami susah ketika itu. Tidak seperti anak-anakku sekarang ini. Mereka boleh memilih apa yang hendak di makan. Kalau tak sedap, tak nak makan ataupun tak habis di makannya. Terlalu banyak berlaku pembaziran sekarang ini. Aku tidak sangup melihat pembaziran tersebut, akulah yang menjadi mangsa. Menghabiskan apa yang tidak habis. Patutlah badanku naik.
Jika dulu suka atau tak, sedap atau tak sama saja. Ia tetap habis di makan. Pinggan tetap licin, tidak meninggalkan sebutir nasi pun, hingga menjilat apa sahaja yang ada di jari. Kuah yang ada di pinggan di hirup hingga ke titisan terakhir. Bagiku itu sudah menepati sunah Rasullullah walaupun ketika itu aku tak tahupun apa itu sunah.
Tapi… sekarang, bila menjilat jari di katakan “buruk makan” macam tak cukup lagaknya. Begitu juga bila makan sehingga licin, tidak meninggalkan apa-apa pun. Itukan sunnah. Bila mengambil makanan yang terjatuh, lalu di tiup untuk menghilangkan habuknya dan boleh di makan selepasnya, dikatakan pengotor pula. Itu juga sunnah Rasullullah. Sunah yang membawa kebaikan untuk umatnya kerana ia boleh mengurangkan sedikit ke egoan dan tinggi diri pada pengamalnya.
Aku mengamalkan sunah itu dan ku ajarkan kepada anak-anakku. Bila anak kecilku berbuat demikian di hadapan orang lain, pandangan mereka, air muka mereka berubah. Seolah-olah mengatakan sesuatu. Ya Allah… terlalu cepat aku berburuk sangka dengan orang lain. Ampunkan aku, Ya Allah.
Bagiku, pengalaman yang ku lalui itu sungguh mahal harganya. Walaupun ku tahu ada yang lebih susah dari itu, namun tidak semua orang dapat merasai dan menikmatinya malah sanggup menghadapinya. Aku hargai semuanya itu. Terima kasih Allah.
Mengimbau kembali kisah laluku, di bulan puasa yang penuh keberkatan, kerahmatan dan keampunan. Kami berbuka dengan nikmat yang Allah berikan. Aku dengan lauk kegemaranku iaitu minyak lebihan goreng ikan masin yang sememangnya di simpan oleh makku untuk di jadikan lauk. Hanya di gaulkan dengan nasi panas sudah enak untuk di makan. Manakala adik lelakiku, nasi panas, gula dan air masak, di gaulkan seolah-olah seperti bubur nasi. Itulah antara makanan ruji kami. Ialah, bukannya setiap kali abahku ke sungai akan mendapat hasil tangkapannya, bukannya selalu jerat yang di pasangnya mengena dan tembakannya pula bukan selalu mengena sasarannya.
Baru sekarang ku fahami dan ku rasai itu semua sebagai rasa nikmat. Betapa nikmat pengalaman laluku menjadikan aku tunduk kepada Penciptaku. Nikmat berterusan yang menjadikan dahiku sentiasa sujud kepadaMu, manakala tanganku sentiasa menadah mengharapkan pertolongan dan pemberian dariMU, Ya Allah. Aku ingin terus mengimbau dangau itu kerana aku ingin terus sujud kepadaMu serta terus bermuhasabah diri, sehingga jasadku tersungkur rebah dan di telan bumiMU, ya Allah.
Ameen, ameen ya Robbal alameen.
———————————————————-
Firma Allah bermaksud:
“Katakanlah wahai Muhammad, hendaklah kalian berusaha, niscaya Allah Subhanahu Wata’ala, RasulNya dan orang-orang beriman akan melihat usaha kalian, kelak kalian akan di kembalikan ke alam ghaib dan syahadah lalu Allah s.w.t menjelaskan kepada kalian apa sebenarnya yang telah kalian usahakan.”
(Surah at-Taubah: ayat 105)
“Alif lam mim, Adakah manusia mengira bahawa mereka akan di biarkan saja untuk mengaku bahawa kami telah beriman dan sedangkan mereka tidak di uji lagi? Sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”
(Surah Al-Ankabut: ayat 1-3)
Hadith yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah s.w.t apabila mengasihi satu kaum, di cubanya mereka itu (dengan berbagai cubaan), barangsiapa yang rela dengan cubaan itu maka mereka mendapat kerelaanNYA. Barangsiapa yang benci(marah) maka baginya kemurkaan Allah.
“Jalan Syurga dihampiri oleh kesusahan manakala jalan ke Neraka dihampiri oleh keghairahan syahwat”.
Wallahua’lam.
Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.
Wassalam.
Usaha Mesti, Kejayaan usah di nanti, Serahkanlah pada Ilahi.










.....Khas untuk orang Seremban. Pertanyaan dan tempahan, bolehlah hubungi Kak Faridah...., tel 012-2243696.

Salam, Kak Nisha.
Syafakillah, kak. Ina doakan akak semakin sembuh. Ina pun sekarang ni batuk-batuk kecil. Perubahan cuaca di UK ini, dari musim bunga ke musin luruh, terik matahari seakan panas rasanya jika di dalam rumah, tetapi bila keluar, menggigil sejuk dek penangan angin yang bertiup. Walau apa pun, semoga ia menjadi kaffarah dosa-dosa kita semua.
Ina memang sudah lama berkenan dengan cara Ustazah Salbiah berdakwah dan menyampaikan ilmunya. Mudah-mudahan beliau diberikan kesihatan dan kekuatan untuk terus menabur ilmu menerusi bakat bercakapnya itu
Memang pedas, tapi cukup menusuk ke dalam jiwa.
Kehidupan anak-anak hari ini memang tidak sesukar kita dahulu kak, tapi cabaran sekitar mereka dan kita sebagai ibu bapa cukup banyak. Hanya pergantungan dan didikan yang berterusan sahaja mampu untuk kita menghadapi semua itu.
Wa’alikum salam.
Terima kasih atas nasihat dan kata-kata ransangan. Semoga kita berada di dalam peliharaan Allah.
Wassalam