Archive for August, 2009
Bunga langsir.
Assalamua’laikum dan apa khabar semua.
Seperti yang telah saya janjikan sebelum ini, ingin saya berkongsi dengan anda cara menghasilkan gubahan bunga untuk langsir. Ia sesuai di letakkan di kepala langsir(Valance) dari pelbagai paten. Sesuai juga di letakkan pada pengikat langsir.
Lihat saje di kedai-kedai kain langsir yang telah menyediakan pelbagai sample langsir. Pelbagai aksosari tambahan di gunakan untuk menyerikan lagi langsir.
Jadi, bunga ini fungsinya lebih kurang sama dengan gubahan reben dari kain(kalau berkesempatan saya akan tunjukkan sebelum raya ni). Ia di gunakan untuk menambah serikan lagi langsir anda di hari raya nanti.
Berikut adalah langkah-langkah yang perlu di teruskan.
Bahan-bahannya
- Butang(butang buat sendiri atau yang di tempah)
- Kain
- Benang
- Jarum
- Gegelang kecil.
Caranya:
1. Gunting kain seperti ukuran di bawah.

2. Lipatkan ke belakang dan jelujurkan bahagian lebar kain(18″) di kedua-dua bahagian.
3. Cantumkan kedua-dua hujung kain(6″) dan jahit dengan mesin.
4. Bahagian yang telah di jelujur tadi hendaklah dilipat dua dan samakan.
5. Jelujurkan sekali lagi dan jarak jelujurnya lebih besar/lebar. Jelujurkan hingga bertemu permulaan atau lebihkan sikit dari permulaan jelujur tadi dan matikan benangnya.
6. Tarik benang tersebut hingga ia terbentuk seperti bunga atau tarikkan sehingga ia betul-betul rapat dan tidak boleh di tarik lagi serta matikan benangnya.
7. Letakkan butang yang telah di sediakan di bahagian tengahnya dan ikatlah/jahitlah bersama bunga tadi. Ikatlah mengikut cara anda.

Bahagian belakang bunga langsir yang telah di siapkan.
8. Setelah di ikat letakkan gelungan/gegelang dan jahitkan/lekatkan di bahagian tengah bunga. Ia berfungsi untuk memudahkan anda menjahit/melekatkan di kepala langsir atau pengikat langsir ataupun di mana-mana sahaja yang ingin ada letakkan bunga tersebut.
O.k. Siap.
SELAMAT MENCUBA.
*
*
*
IKLAN…, IKLAN…, IKLAN.
Dapatkan ebook ilham menghasilkan langsir yang berkualiti di http:www.hijab-batik.com sekarang juga jika anda berminat. Tawaran istimewa di berikan pada anda yang berminat. Silalah berkunjung ke sana.

Wallahua’lam.
Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.
Wassalam.
Usaha Mesti, Kejayaan usah di nanti, Serahkanlah pada Ilahi.
ColeSlaw Melayu dan Mat Saleh
Assalamualaikum, apa khabar semua.


Yang kiri tu, coleslaw mat saleh manakala yang kanan tu melayu.
Selamat berpuasa untuk semua.
Sudah tiga hari kita menjalani ibadah puasa. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Hari pun tak berapa panas, setiap hari hujan. Kalau tak waktu siang hujan, malam atau sebelah pagi hujan. Alhamdulillah.
Tahun ni tahun gawat, ada eloknya juga sebab masa nilah kesedaran tiba dan cuba berjimat cermat sebaik mungkin. Kalau ikutkan saya, berbuka dengan tamar dan nasi berkicap atau bergaram sahaja pun boleh. Tapi bila mengenangkan anak-anak dan suami tak jadi nak ikutkan cara sendiri. Terpaksalah ikut suara ramai dan demi ingin menggalakkan anak yang kecil tu berpuasa terpaksalah ikutkan menu yang telah anak saya cadangkan.
Anak saya Abdul Sodiq, sudah mula belajar berpuasa mulai tahun ini. Sudah 6 tahun umurnya, tapi semangatnya kuat walaupun demam masih boleh berpuasa, Cukup 3 hari puasanya. Hari pertama terpaksalah kami memujuknya supaya boleh tamatkan hingga waktu berbuka. Manakala hari kedua dia demam, tak bagi puasa, tapi dia pula yang nak puasa. Kasihan juga tapi dia yang tak nak makan. Cuma sebelah petangnya dia kata nak minum, sebab haus.
Saya katakan padanya, ” walaupun minum sikit, tu maknanya dah tak puasa”, langsung dia tak jadi nak minum.
Anak saya yang kecil, Siti Aisyah, puasa sekerat hari sahaja. Demam juga, konon-konon nak ikut abangnya. Tak nak makan tapi minum air dan susu.
Katanya, “Aisyah puasa sebab tak makan nasi”, Tak apalah itulah yang dia faham tentang puasa.
Sebenarnya saya nak bagi resepi ni. Ia sesuai jika anda ingin membuat satu kelainan di bulan puasa ini. Mungkin untuk hari minggu di bulan puasa ni. Tapi saya buat bukannya masa bulan puasa ni. Dah lama saya buat dan ambil gambarnya, cuma tidak berkesempatan untuk di masukkan ke dalam blog ini. Kali ini saya beri dua resepi sekali.
Biasanya kita selalu makan kat KFC, sedapkan? Jadi saya cuba buat sendiri kat rumah, jadi juga.
Jadi saya nak bagi resepi coleslaw dulu.
Manakala yang Melayu punya tu, saya tukar nama resepinya. Sebab ia seakan-akan sama dengan KFC cuma kuahnya lebih sikit. Mat Saleh punya, guna mayonis dan susu tapi melayu punya, guna santan dan tempoyak. Wan saya punya resepi. Jadi turunlah kat anak-anaknya dan cucu-cucunya. Saya pernah rasa mak dan pakcik saya buat memang sedap tapi bila saya buat tak berapa sedap. Tapi tak pelah, saya nak juga bagi resepi ni walaupun saya buat tak berapa menjadi. OK resepinya di bawah ini.
Coleslow Melayu.

Bahan-bahannya
- 1 sudu tempoyak
- 1 cawan santan pekat
- 1 – ½ biji timum(di potong dadu kecil)
- ½ biji bawang besar( di potong dadu kecil)
- 7-8 buah cilie(dipotong/diracik dan campurlah warna merah dan hijau untuk mencantikkannya)
- Garam secukup rasa
- Gula secukup rasa
Caranya,
- Bancuh tempoyak dengan santan
- Masukkan gula dan garam secukup rasa. Kalau tempoyak tu dah masam, kenalah masukkan gula banyak sikit.
- Masukkan timun dan bawang yang telah di potong tadi.
- Gaulkan hingga serata.
Dah pun siap. Senang je kan. Bagi yang suka mungkin sedaplah tapi yang tak suka tu dan tak biasa rasa tu memanglah rasanya tak berapa. Keluarga saya hanya saya je yang suka makan.
Coleslow Mat Saleh

- 3 – 5 sudu mayonis
- 3 – 5 sudu susu pekat
- Garam secukup rasa
- Gula secukup rasa
- ½ biji Lobak Merah (di potong dadu, sekecil yang boleh).

- Kobis – 3 kali ganda banyaknya dari lobak yang di potong(hiris dadu seperti lobak)
- ½ biji timum(di potong dadu dan jangan ambil bahagian tengahnya/bijinya)
- ½ Bawang besar(di potong dadu sekecil yang boleh). Yang ni tak letak pun tak apa.
- Perahan limau kasturi 1/2 sudu kecil. Kalau rasa tak cukup masam tambahlah lagi tapi jangan terlalu banyak sebab mayonis pun dah masam.
*sebaik-baiknya, sayur-sayur yang di potong tu di toskan dulu.
Caranya.
- Masukkan semua bahan di atas dan kacau hinga serata dan sebati.
- Cubalah rasa, jika kurang garam tambahlah garam. Jika kurang manis, tambahlah gula.
Ok. Dah siap dan boleh di makan. Senangkan?

Yang ini , ala-ala KFC yang saya buat sendiri. Suat hari nanti saya akan tunjukkan cara buat kentang putar cara saya pula.
SELAMAT MENCUBA
Wallahua’lam.
Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.
Wassalam.
Usaha Mesti, Kejayaan usah di nanti, Serahkanlah pada Ilahi.
Buat sendiri – Butang utk langsir
Assalamualaikum, apa khabar semua.

Bukan sahaja baju yang memerlukan butang. Langsir pun menggunakan butang untuk menambahkan serinya. Kebiasaannya butang ini di letakkan pada langsir berpaten boxpleat, goblet dan bertali. Ada juga meletakkan di pelmet, mengikut kreativiti masing-masing.
Jika anda menempah butang khas mengikut kain langsir yang anda gunakan di kedai-kedai alatan jahitan, rasanya boleh tahan juga harganya mengikut kebesaran butang tersebut. Selalunya bukan 2 atau 3 butang yang di perlukan tetapi lebih dari sepuluh, jika anda ingin menghasilkan 1 keping kepala langsir sahaja. Untuk menghasilkan langsir sendiri saya lebih suka menghasilkan butang sendiri tapi jika tempahan dari pelanggan saya akan menempah butang khas. Maklumlah pelanggan lebih suka yang standard dan berkualiti.
Tidaklah jauh bezanya, kalau di lihat dengan mata kasar bentuk butang tersebut. Bagi mereka yang ingin mengurangkan belanja untuk menghasilkan langsir sendiri bolehlah mencuba cara yang saya tunjukkan ini. Butang ini juga boleh di gunakan untuk kita menghasilkan gubahan kuntum bunga dari kain seperti di bawah ini yang mana ia juga di gunakan untuk di lekatkan di kepada langsir.

Bunga berbutang ini saya buat khas untuk mengunjung blog saya yang berminat untuk menghasilkan langsir sendiri dan suka menambah serikan lagi langsir. Tapi… untuk menghasilkan bunga seperti ini nantikan posting-posting saya yang akan datang.
Bahannya:
- Kertas keras(seperti dari kotak bungkusan)
- Kain perca/lebihan
- Span
- Benang dan jarum.
- Duit syiling/tutup botol air
- Pensil
- Gunting
Cara menghasilkannya:
1. Letakkan duit syiling/tutup botol(ikutlah besar mana yang anda suka) di atas kertas.
2. Bulatkan dengan pensil mengikut bentuk tutup botol/syiling tersebut.
3. Guntingkan mengikut bulatan yang telah di lakarkan.
4. Guntingkan pula span mengikut bulatan kertas keras yang telah di guntingkan tadi.
5. Ambil kain perca, letakkan di atasnya, bulatan yang telah di siapkan tadi. Rujuk rajah di bawah ini.

6. Guntingkan kain tersebut mengikut garisan yang telah di buat.
7. Lipatkan ke dalam dan jelujurkan dengan jarum(rujuk gambar di bawah).

8. Jelujurkan sekali lagi di bahagian tepi kain hingga bertemu permulaan jelujur tadi atau lebihkan sedikit dari permulaan memulakan jahitan jelujur tadi.
9. Biarkan sementara, jangan di matikan benangnya.
10. Letakkan di tengah kain yang telah di jelujurkan tadi, span dan seterusnya kertas keras di atas span tersebut(lihat gambar atas).
11. Tarik benang yang telah di jelujurkan tadi sehingga menutupi kertas keras tersebut.
dan barulah boleh di matikan benang tersebut.
Dah siap. Selamat Mencuba.
Saya akan tunjukkan cara menghasilkan bunga pulak untuk posting akan datang. Tunggu!!!
Wallahua’lam.
Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.
Wassalam.
Usaha Mesti, Kejayaan usah di nanti, Serahkanlah pada Ilahi.
Ramadhan Datang lagi.
Assalamua’laikum, apa khabar semua.
Ramadhan datang lagi.
Menguji ketahanan diri
Fizikal maupun emosi
Apakah yang kita cari?
Ramadhan datang lagi.
Ingin membersihkan diri?
Ingin sihat tiada penyakit yang dijangkiti?
Atau ingin kurus seperti lidi?
Atau mencari kegembiraan hati manusiawi?
Atau mencari keredhaan Ilahi?
Apakah yang kita cari?
Ramadhan datang lagi.
Berbagai perasaan menjenguk sanubari.
Gembira dan juga susah hati.
Gembira, kerana pahalanya bertimbun di bulan ini.
Susah hati kerana bertanya pada diri,
Bolehkah kita mengutip semuanya nanti?
Apakah yang kita cari?
Ramadhan datang lagi.
Apakah yang kita cari?
Rezeki melimpah di bulan ini
Atau pembaziran yang tak berhenti.
Membeli juadah berbuka nanti
Atau memasak berbagai resepi.
Ramadhan datang lagi.
Apakah yang kita cari?
Janganlah terlalu sibuk di hujung Ramadhan nanti.
Membuat kuih untuk hari raya nanti.
Menjahit baju, langsir dan pelbagai lagi
Menghias rumah untuk tetamu nanti.
Janganlah buat seperti ini.
Kerana di hujungnya amat di berkati.
Banyak kebaikan dan ganjaran yang menanti.
Ramadhan datang lagi.
Apakah yang kita cari?
Menanti kemeriahan di hari raya nanti.
Pengikat silaturahim dengan ziarah-menziarahi.
Yang utama sematkanlah di hati.
Semuanya kerana Ilahi ya Robbi.
Ramadhan datang lagi.
Apakah yang kita cari?
Niatkan di hati kerana Ilahi.
Membaca Al-Quran setiap hari.
Bertarawikh di malam hari.
Dapat berjumpa Lailatulqadar dinihari.
Teruskan ibadah hingga malam raya nanti.
Yang terbaiknya jika boleh jadi seperti ini.
Ramadhan datang lagi.
Apakah yang kita cari?
Niatkan untuk Yang Memberi Rezeki.
Inilah peringatan untuk diri sendiri.
Serta kawan-kawan siber yang berada di merata negeri.
Walaupun tidak mengenali secara peribadi.
Tetapi kasih terlekat di hati.
Semoga kita berjumpa di akhirat nanti.
Dalam suasana yang mengembirakan hati.
Ramadhan datang lagi.
Sematkan di kalendar ingatan diri.
Dia tetap menjenguk lagi.
Semoga kita berubah dari hari ke hari.
Semoga kita mencapai pangkat tertinggi.
Semoga kita selamat di akhirat nanti.
Ramadhan datang lagi.
Sematkan di kalendar ingatan diri.
Dia tetap menjenguk lagi.
Walaupun manusia datang silih berganti.
Walaupun hari datang dan pergi.
Itulah hakikat yang tak di nafi.
Ramadhan datang lagi.
Sematkan di kalendar ingatan diri.
Dia tetap menjenguk lagi.
Inilah perjuangan selagi tak mati
Selagi Sangkakala tidak berbunyi.
Ramadhan datang lagi.
Sematkan di kalendar ingatan diri.
Dia tetap menjenguk lagi.
Kau tetap ku nanti.
Kau tetap di hati.
Kerana boleh bermusahabahkan diri.
Kerana kau merubah hati yang keji.
Menjadikanku rendah diri.
Menjadikanku menginsafkan diri.
Menjadikanku ingat akan mati.
Ramadhan datang lagi.
Sematkan di kalendar ingatan diri.
Terima kasih pada Ilahi ya Robbi
Jadikan Ramadhan yang penuh erti.
Memberi peringatan pada insani.
Yang mempunyai hikmah yang tersembunyi.
Kerana Engkaulah yang Maha Mengetahui.
Ramadhan datang lagi.
Dia tetap menjenguk lagi.
Selamat datang Ramadhan kali ini.
Selamat datang Ramadhan kali ini.
Semoga berjumpa Ramadhan satu lagi.
Silalah datang menjenguk lagi.
kerana kau tetap ku nanti.
Kerana aku mengharapkan Redhamu ya Robbi.
Usaha mesti,
Kejayaan usah dinanti,
Serahkanlah pada Ilahi.
Wallahua’lam.
Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.
Wassalam.

Usaha Mesti, Kejayaan usah di nanti, Serahkanlah pada Ilahi.
Koktel Musim Buah-buahan.

Assalamualaikum, apa khabar semua.
Sempena musim buah-buahan tempatan sekarang ini, saya ingin berkongsi dengan anda, resepi yang telah saya ubah suai sedikit. Saya rasa semua orang biasa makan koktel terutamanya koktel yang di buat menggunakan buah-buahan dalam tin.
Tapi kali ini saya tukar sedikit. Bab ‘ote mengote’ resepi ni bagilah kat saya, memang saya suka. Kadang-kadang terlebih ‘mengote’ sampai tak termakan oleh ahli keluarga saya.
Ini kali pertama saya buat Koktel buah-buahan tempatan. Biasanya saya tukar dari buah-buan tin ke buah-buahan mat saleh je, terutama kalau ada tetamu datang ke rumah(buah-buahan dalam tin saya tukar pada buah-buahan segar). Kalau tukar pada buah-buanhan mat saleh saya suka gunakan strawberi, anggur, apple merah dan buah kiwi sebab dia berwarna warni dan menarik bila di lihat. Jadi orang pun lebih tertarik untuk merasa.
Untuk resepi di bawah, saya main agak-agak je banyak mana buahnya, sebab saya cuba ingat dalam kepala je. Resepi ini saya buat dua minggu lepas selepas balik dari kampung dan juga selepas dah tak larat nak makan buah jadi terfikirlah nak buat koktel ni. Lagipun dah lama saya tak menjamu kawan-kawan kat surau. Jadi pagi Jumaat tu saya buatlah untuk mereka dan juga ahli keluarga saya.
Berikut adalah resepinya:

- 5 biji ciku(memang sedap kalau letak ciku, tak percaya cubalah)
- 5 biji manggis
- Cempedak 3 atau 4 ulas(sebaiknya tukar pada nangka, rasanya macam tak sesuai je). Itu yang ada kat rumah jadi saya masukkan juga.
- 10 biji rambutan( di buang bijinya/di potong layang)
- 10 Buah Tamar(di buang bijinya dan potong dadu) – Buah ni memang jarang saya tinggalkan kalau buat koktel sebab memang sedap rasanya kalau di buat koktel.
- 2 biji pisang Abu(potonglah seperti dalam gambar)
Sebenarnya secara kebetulan, semua buah ni ada kat rumah, jadi saya masuk jelah apa yang ada.
- 2 senduk tepung kastard
- 1 tin Susu cair
- 2 helai daun pandan.
- Gula secukup rasa.
- Air
- 3 – 5 sudu Tepung jagung untuk memekatkannya
- Sagu mata ikan/quaker Oat juga boleh untuk memekatkan kuahnya tapi kena juga tambah sedikit tepung jagung. Ia juga boleh di gunakan untuk sedikit kelainan daripada koktel biasa.
Cara menghasilkannya.
- Di bancuh tepung kastard dengan air dan di masak sehingga pekat. Tidak perlu bubuh apa-apa(samada garam atau gula). Untuk memastikan tepung kastard sudah masak, warnanya akan bertukar sedikit pekat dari warna asalnya. Kalau tak cukup masak ia akan ada rasa macam tepung bila di makan. Setelah masak masukkan ke dalam bekas empat segi supaya mudah di potong dadu.

- Masukkan 3 jug air ke dalam periuk.
- Masukkan gula sebaiknya janganlah terlalu manis kerana bila makan ia tak rasa mual dan ada rasa macam tak puas kalau ambil sikit je(bagi orang yang sukalah)
- Masukkan daun pandan.
- Masaklah hingga mengelegak.
- Setelah menggelegak barulah di masukkan tepung jagung dan seumpamanya untuk memekatkan kuahnya.
- Tunggu hingga menggelegak semula.
- Setelah apinya di tutup barulah masukkan 1 tin susu cair.
- Setelah sejuk simpanlah di dalam peti sejuk kerana ia sedap di nikmati semasa rasanya sejuk.
- Buah-buahan dan kastard yang telah di potong dadu pun hendaklah di simpan berasingan di dalam peti sejuk.
- Bila hendak menjamu tetamu atau hendak di makan barulah di masukkan buah-buahan tersebut di dalam air/kuah tadi. Dan di gaulkan supaya rata.
- Makanlah selepas 10 – 15 minit selepas itu.
Resepi yang saya beri ini untuk lebih kurang 30 orang. Jadi kalau nak 2 atau 3 orang makan kenalah kurangkan semua bahan-bahan di atas. Memang sedap rasanya lebih sedap daripada koktel biasa. Itu kata kawan saya dan anak-anaklah. Bukan angkat bakul, masuk sendiri dalamnya ye!. Harap-harap saya tak rasa macam tu pulak.

Yang ni saya buat koktel buah tin cuma tambah betik dan kurma untuk mencantik dan menyedapkannya lagi.
O.K. Selamat mencuba.
Wallahua’lam.
Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.
Wassalam.
Usaha Mesti, Kejayaan usah di nanti, Serahkanlah pada Ilahi.
Anakku, anakmu jua
Assalamualaikum, apa khabar semua.
Ku sental, ku gesek dan ku tenyeh-tenyeh baju anak yang kedua dan ketigaku. Baju mereka selalu sahaja ada bau yang tidak menyenangkan, kolarnya berjalur hitam dan kadang-kadang ada percikkan sambal berwarna merah serta calitan coklat di baju mereka. Baju yang lain selalunya tak ada masalah untuk membasuhnya. Tak banyak tompok-tompok kotoran di baju mereka.
Telah ku beli sabun yang terbaik untuk menghilangkan kotoran tersebut. Telah ku letakkan Clorox untuk memutihkannya. Telahku letakkan pewangi yang halal untuk menghilangkan bau busuknya. Tapi setelah di cuci bersih, pabila di pakai semula ia kembali kotor dan berbau. Apakah caranya lagi yang perlu ku lakukan?
Telah letih rasanya tanganku ini membasuhnya. Tak larat rasanya. Suami ku dah lama beritahu belilah mesin basuh supaya memudah membasuhnya. Tapi aku yang tidak mahu mendengar kata, konon-kononnya nak membasuh dengan tangan sendiri, jadi nampaklah mana-mana tempat yang berkarat dan terlekat, yang hitam, kelabu dan pelbagai warna yang mencemari baju mereka.
Ku ingatkan dengan menggunakan tangan lebih bersih cuciannya. Ialah, membasuh dengan tangan kan sentiasa dibelek-belek dan mencari-cari di mana tempat kotornya. Tapi tanganku telah terasa lenguhnya. Sudah tidak mampu bertahan lagi. Sudah tidak larat lagi. Rasanya ku terpaksa membeli mesin basuh selepas ini, untuk memudahkan urusanku. Istiqomahku membasuh menggunakan tangan setakat ini sahaja nampaknya. Aku perlukan mesin basuh yang boleh mempercepatkan serta memudahkan ku membasuh kain supaya ia lebih bersih dan mudah di perah serta cepat keringnya. Setakat ini sahaja istiqomahku, ku perlukan cara yang lebih cangih, up to date dan moden untuk memudahkan kerja harianku. Di tambah pula kerja-kerja harian ku bertambah sekarang ini.
Tugasan
Hari itu hari Jumaat. Ada tugasan yang perlu ku selesaikan paginya. Menghadiri perjumpaan tiga penjuru untuk dua orang anakku, di sekolah mereka. Pertama kali ku menghadiri perjumpaan antara ibubapa, guru kelas dan murid di sekolah baru mereka. Sebelumnya, suamiku yang selalunya menghadirkan diri. Di tambah pula ada rasa ingin berkenalan dengan guru kelas anak-anakku. Daripada cerita mereka, guru kelas mereka adalah perempuan belaka. Boleh juga aku bercerita panjang dengan mereka, telah hatiku.
Mentari pagi itu menyinarkan cahayanya yang luar biasa. Terang dan terik rasanya, seolah-olah memberi petanda baik padaku. Sudah tentulah kain-kain di jemuran ku akan cepat keringnya, walaupun ku memerahnya dengan tangan sendiri, walaupun kelembapannya tinggi kerana tidak larat untuk ku pulas-pulas dengan tanganku.
Hari baru menunjukkan pukul 9.00 pagi. Tapi kehangatannya sudah terasa. Solat Dhuha sudah boleh di kerjakan waktu ini, namun hati ini berat untuk mengerjakannya. “Alah…hh, balik nanti boleh lagi, takkan lama sangat, tentu masih ada waktu untukku”. Hatiku berkata.
Perjalanan ke sekolah
Perjalanan menuju ke sekolah ku teruskan dengan kereta MPVku(Malaysian Perodua Vehicles… hi, hi, hi). Ku turunkan cermin keretaku seluas-luasnya kerana mengharapkan udara di luar menerjah ke dalam agar melegakan sedikit kehangatan tubuhku di pagi hari ini.
Aku memang jarang membuka penghawa dingin kereta, melainkan hari hujan. Anak-anakku selalu merunggut bila terasa panas.
Jawapan ku senang aje, “Besok kat Akhirat lebih panas dari sekarang ni. Panasnya sikit aje ni, jauh lagi matahari dari kita. Kat sana nanti matahari sejengkal aje”. Mendengar jawapan yang sedemikian, semuanya senyap. Agaknya malas nak dengar ceramahku.
Sampai di sekolah anak keduaku menunggu dengan kata-kata dan senyuman manisnya serta huluran tangannya. Dia memang terkenal dengan ayat-ayat cintanya hingga guru-guru yang tak mengajarnya pun tahu akan perkara itu. Ku teruskan ke biliknya.
Guru-guru anak-anakku
Sampai sahaja giliran ku berjumpa dengan gurunya. Ku ucapkan salam dan huluran tangan tanda pengikat silaturahim. Manis cikgunya semanis sikap dan tuturkatanya. Di hulurkan keputusan peperiksaan anakku. Ku perhatikan kertas itu dan ku tak hairan dengan keputusan yang di capainya kerana itulah jangkaan ku. Tapi yang lebih penting yang ingin ku tahu ialah sikap mereka di sekolah yang belum sampai setahun mereka berada di situ.
Ku bertanya kepada cikgunya akan hal itu. Memangnya kata-katanya masih berlapis dan di tapis, sesuailah dengan rupanya.
Tapi sesuatu yang aku rasa seronok pabila dia meleteri atau menasihati anakku di hadapanku. Caranya seolah-olah sama sepertiku dengan anakku. Aku jadi seronok dan suka sekali dengan caranya, seolah-olah dia menganggap anakku, anaknya juga.
“Apa yang cikgu cakap tu, semuanya saya dah cakap dah cikgu, tapi tak berkesan, tak de perubahan”. Kataku.
“Budak lelaki ni memang susah sikit, macam nilah juga saya cakap kat anak saya. Saya pun ada anak lelaki, SPM tahun ni”, Jawapnya.
“Terima kasih cikgu, buatlah apa yang patut cikgu buat, saya tak kisah dan saya tak marah kalau nak rotan dan denda sekali pun”, jawap saya.
Terfikir juga di dalam hatiku, selama ini apa yang ku buat taklah melangkaui batasan yang sepatutnya. Ialah, takut juga kalau caraku tidak kena. Nanti hasilnya bukan lebih baik malah lebih teruk dan buruk pula jadinya.
Terima kasih cikgu kerana menganggap anakku seperti anakmu jua.
Ku melangkah pula ke bilik anak pertama ku. Ku amat-amati guru kelasnya, rupanya seperti biasa di penglihatanku. Ku bertanya padanya, dia berkata dia pernah mengajar di As-Saa’diah. Tapi rasanya bukan di situ ku jumpa dia. Namun ku biarkan saje sebagai satu tanda tanya.
Soalan yang sama ku tanyakan padanya. Jawapannya biasa sahaja. Ok, takde apa-apa masalah. Tapi ada satu soalan, yang mungkin untuk menguji anakku di hadapanku. Mungkin menguji kejujurannya.
“selalu solat subuh tak? Tanya gurunya yang merupakan guru bahasa Arab anakku.
“Solat sebab mak selalu kejutkan. Jawap anakku.
Menurut anakku, memang itulah soalan yang di tanya setiap kali dia masuk kelas. Mengira-ngira atau menelek-nelek siapa yang solat dan siapa yang tidak, kerana waktu subuhlah yang paling berat dan susah untuk di kerjakan solatnya.
“Kono kojut lagi”? Kalau dah kahwin ni, dah anak duo dah ni. Harapkan omak yo lagi” Tersenyum dan seronok aku mendengar leteran ustazahnya dengan loghat nogorinya.
Alhamdulillah, anak pertamaku padaku telah melepasi waktu kritikal atau peralihan dari kanak-kanak ke zaman remaja. Tidak banyak membawa masalah pada kami sekarang ini, walaupun sebelum ini ada juga. Mungkin sudah mula berfikir mana yang baik dan yang tidak baik untuk dirinya. Namun begitu, banyak teguran dan panduan yang perlu ku berikan untuknya supaya tidak tersasar dari landasan yang sepatutnya. Tiada manusia yang sempurna di dunia ini. Aku sendiri pun mengharapkan teguran dan bimbingan dari orang lain terutamanya suamiku dan guru-guruku.
Walaupun aku di katakan sangat cerewet, banyak perkara yang anakku tak boleh lakukan. Namun demikian mereka rapat denganku. Setiap kali balik dari sekolah, belum sempat membuka pagar rumah, anakku dah mula bercerita apa yang berlaku di sekolahnya. Sama sahaja mereka bertiga, suka bercerita denganku. Kadang-kadang aku yang malas nak mendengar cerita mereka, antara dengar dan tidak je. Maafkan aku, anak-anakku.
Anak ke duaku masih di dalam waktu kritikal manakala anak ke tigaku baru memasuki waktu kritikal dan waktu peralihan. Pada penilaianku waktu peralihan dan kritikal anak-anak adalah antara dua belas tahun hingga ke enam belas tahun.
Sememangnya di waktu ini amat menduga, menguji ke sabaran dan keimananku. Menaikkan suhu kepanasan badanku, meninggikan darahku, membuatkan ku tak senang duduk. Waktu malam ku selalu terjaga, tidurku tak lena, bermimpikan yang tak ku suka. Namun syukuralhamdulillah ku panjatkan pada Ilahi yang Maha Memberi, kerana tidurku tak lena, kerana malamku selalu terjaga, menjadikan aku selalu bangun dari tidurku untuk bermunajat padaMu. Mungkin itu yang terbaik untukku dan mungkin itu juga kurniaan terbaik untukku dari yang Maha Esa. Syukur Alhamdulillah.
Begitulah apa yang berlaku pada anak keduaku. Setelah ku beritahu pada guru kelas abangnya tentang anak keduaku. Dia pun terperanjat dan tidak menyangka dia ada adik. Anak keduaku terkenal di sekolahnya kerana kehebatan sukannya. Memang dia aktif bersukan dari sekolah rendah lagi. Kalau boleh segala sukan ingin di ceburinya.
Maka bertambahlah cerita yang ku dengar, kalau sebelum ini guru kelasnya masih berlapis dan bertapis bila bercakap, tapi guru kelas abangnya, memberitahu lebih terang dan jelas, tentang adiknya.
“Ni mesti abangnya cover ni, tu sebab ceritanya tak sampai kek omak eh”. Kata ustazah sambil memandang anakku yang membisu.
Patutlah cuaca hari itu terang dan cerah sekali, serta ada sedikit bahang kepanasannya di pagi hari itu. Namun cuaca pagi hari tidak memudaratkan malah memberi banyak manfaatnya. Begitulah pendapat yang ku dengar. Harap-harap begitulah, apa yang telah terjadi.
Aku amat menghargai apa yang telah ku lalui hari itu. Terima kasih kepada kedua-dua guru anak-anakku kerana menganggap anakku, anakmu jua.
Jiran-Jiranku.
Begitu juga dengan jiran-jirangku, kak D dan kak S. Terima kasih ku ucapkan kerana sentiasa menganggap anakku, anakmu jua. Tiada sebarang rasa marah dan dendam di hatiku. Malah akulah orang yang bertuah kerana sentiasa di kelilingi oleh orang-orang yang baik-baik hati belaka.
Sentiasa mengingatkan dan menyedarkan kami sekeluarga, yang sentiasa memerhati dan menegur mana-mana yang tidak kena terutama tingkah laku anak-anakku yang tidak kami ketahui bila berada di luar sana. Segala yang tidak baik yang anakku lakukan akan sampailah ke telingaku, bolehlah aku membetulkan keadaan sebelum ia parah jadinya.
Aku bangga dengan kak D dan kak S, mereka tidak seperti talam dua muka. Di depanku baik tapi di belakangku di kutuknya. Tidak, mereka tidak seperti itu. Aku suka cara mereka kerana aku juga tak suka berpura-pura. Talam dua muka itu adalah ciri-ciri orang hipokrik/munafik. Aku tidak mau seperti itu dan aku tak mau juga orang yang hampir denganku seperti itu juga. Jadi sama-samalah kita ingat mengingati, pesan berpesan, tegur-menegur antara satu sama lain, demi masa depan kita bersama. Kita bukan hidup di sini sahaja, di akhirat lebih utama.
Ini jugalah anjuran Islam, sentiasa berbuat baik dengan jiran tetangga, sentiasa saling ingat mengingati antara satu sama lain. Kita ini manusia biasa, pasti ada salah serta silapnya dan kadang-kadang terlupa dan terleka.
Kalau salah janganlah dikata,
kalau di tegur itulah yang terbaiknya.
Telah di tegur, janganlah terasa serta marah pula,
hingga tak mau bertegur sapa,
sudah tentu bergaduh pula.
Kan kita ni hambaNya yang hina dina,
tentu ada salahnya di mana-mana,
janganlah ada rasa hebat di mata manusia,
janganlah suka merendahkan orang sahaja,
Semoga kita hidup aman bahagia.
—————————————————————————————
Firman Allah s.w.t yang bermaksud,
“Maka peringatkanlah kiranya peringatan itu berguna. Nanti peringatan itu akan diterima oleh siapa yang takut”
(AL-A’la:9-10)
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Setiap kamu adalah bertanggungjawah dan setiap kamu akan di tanya tentang pertanggunganjawabnya.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Wallahu’alam.
Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.
Wassalam.

Usaha Mesti, Kejayaan usah di nanti, Serahkanlah pada Ilahi.
Jimat Belanja – Trek Kayu
Assalamualaikum, apa khabar semua.
Trek batang atau trek kayu(apa sajelah istilah yang di gunakan) walaupun sudah turun harga tetapi harga masih lagi di dalam katogeri mahal di tambah pula dengan kos pemasanganya. Tidak semua orang mampu memilikinya. Tapi bagi kita kaum wanita ini memang suka sesuatu yang cantik terutama jika waktu-waktu begini. Waktu kita akan menerima ramai tetamu di hari raya nanti. Sesuatu yang cantik itu memang di sukai oleh agama kita(Islam) tetapi janganlah sampai ada niat untuk menunjuk-nunjuk sehingga sanggup berhabis dan membazirkan duit pula. Di tambah pula harga barang sekarang ini semuanya sudah naik.
Di sini saya ingin memberikan anda satu ilham menghasilkan trek berbatang, yang boleh mengurangkan separuh daripada harga jika di bandingkan anda membeli di kedai dan mengupah orang memasangnya. Anda boleh lakukan dan buat sendiri trek batang tersebut di rumah anda. Berikut adalah cara-caranya untuk membuat trek berbatang.

a) Anda boleh menggunakan batang paip pvc yang berukuran 3/4inci untuk membuat trek berbatang. Boleh di dapati di kedai-kedai Hardware dan harganya lebih rendah. Ukur trek anda dan lebihkan 6inci di kedua-dua hujungnya. Untuk sliding door, jika terlalu panjang anda boleh membahagikan kepada 2 bahagian dan menggunakan 2 batang paip pvc.
b) Gunakan cat hitam atau coklat untuk mewarnakan trek batang pvc tersebut. Gunakan cat spray atau sapu yang harganya tak sampai RM10 dan rasa cukup untuk bahagian utama rumah anda. Cat batang paip tersebut dan jemurkan di tempat panas sehingga kering.
c) Anda boleh membeli bahagian aksosari yang lain seperti tombol, penyangkut bergegelang, pemegang trek, berasingan di kedai-kedai hardware atau di kedai-kedai pemborang barang-barang berasaskan kayu. Aksosari kayu lebih berkualiti dan mahal jika di bandingkan dengan jenis campuran plastik. Walaupun anda membeli aksosari kayu yang berkualiti tinggi kos untuk keseluruhan membuat trek tersebut masih lagi separuh dari kos jika di bandingkan anda membeli atau mengupah orang memasang di rumah anda. Jadi pilihlah mengikut budget anda.
d) Untuk memasang trek berbatang.
Tebuk lubang atas sedikit dari trek biasa(asalkan boleh meletakkan tapak pemegang trek). Di bahagian kiri dan kanannya di lebih/panjangkan 1 inci dari trek biasa. Gunakan drill untuk menebuk lubang. Jika anda tiada drill sendiri rasanya bolehlah pinjam dari jiran-jiran yang ada drill. Minta bantuan suami anda atau anak bujang anda melakukanya. Atau jika anda seorang yang berani mencuba sendiri lakukan sendiri. Saya membuatnya sendiri, walaupun suami saya boleh membantu. Maklum ajelah dia berkerja jadi masanya tidak menentu dan tidak banyak di rumah. Setelah anda selesai memasang segala skru yang sepatutnya, memasukkan gegelang penyangkuk dan tombol maka anda sudah boleh menggunakannya trek berbatang anda.
Bagi anda yang menggunakan 2 batang pvc yang berasingan untuk membuat trek berbatang, pastikan ia di bahagikan sama panjang dan bahagian penyambungnya boleh di sorokkan dengan meletakkan bahagian penyambungnya di bahagian tengah, di mana tapak pemegang trek di bahagian tengah di pasangkan. Untuk membuatkan bahagian penyambung trek berbatang lebih kuat, masukkan batang pvc(sesuatu yang berbentuk batang) yang pendek(dalam 3/4 inci) dan lebih kecil ukurlilitnya dari batang di luar. Lilitkan kain, kertas atau double sided tape untuk mengelakkan batang tersebut dari tercabut. Masukkan kedua-dua batang trek yang ingin di sambungkan dan rapatkan. Pastikan ia betul-betul ketat supaya tidak mudah tercabut. Lihat gambar di bawah.



SELAMAT MENCUBA
Wallahu’alam.
Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.
Wassalam.

Usaha Mesti, Kejayaan usah di nanti, Serahkanlah pada Ilahi.










.....Khas untuk orang Seremban. Pertanyaan dan tempahan, bolehlah hubungi Kak Faridah...., tel 012-2243696.
