Archive for June 22nd, 2009
Durian dah gugur – Dodol dari kampung.
Assalamualaikum, apa khabar semua.

Tret…, tret. Tret, tet, tret, tet, tret…, tret. Di biarkan saje handphone berbunyi, tiada siapa yang mau menjawab. Handphone siapa, ku tak pasti. Anak-anak pun ada handphone, suami pun ada.
Hari ini hari sabtu, anak-anak di benarkan menggunakan handphone masing-masing untuk 2 hari ini. Hujung minggu atau hari cuti kami membenarkan anak-anak yang sudah bersekolah menengah tu, menggunakan handphone masing-masing. Handphone yang di beli hasil duit yang mereka kumpulkan sendiri.
Sebenarnya aku cukup tidak suka apabila mereka bersama handphonenya. Tidak lepas dari tangan dan mata, ada saje bunyi yang menyakitkan telinga yang entah apa-apa yang mereka letakkan di handphone masing-masing.
“Alamak ada masej pulak” itulah isyarat bunyinya untuk handpone anak keduaku, Abdul Muiz apabila menerima masej. Sekejap-sekejap berbunyi. Tak kira pagi, petang, siang, malam, itulah antara programnya untuk 2 hari bercuti di hujung minggu.
“Tak de kerja lain. SMS, sms… Duit habis dek beli topup aje” Itulah runggutku. Duit belanja sekolah sanggup di simpan untuk beli topup di hujung minggu. Sanggup tak makan tapi bila balik merunggut perut terasa lapar.
“Hai, inikan jejaka idaman semalaya”, itulah yang pernah di jawabnya padaku. Aku pun senyum dengan sinisnya. Ini bukan masanya untukku berjenaka. Rasa hatiku berkata.
“Perkara tak berfaedah, buat apa! Membazir duit dan bercakap(ops.., silap, bukan bercakap tapi sms) benda yang ‘laro’. Kan perkara-perkara tu semua tak di sukai dan tak di benarkan dalam Islam?” Aku memulakan tazkirahku.
Dia mendiamkan diri, tidak menjawab apa-apa, walaupun sepatah kata. Mungkin dia tahu, aku marah bukannya berjenaka serta tidak mau aku masuk ke program berceramah pula. Nanti mesti ada sessi soal jawab pulak. Tentulah panjang program kali ini. Tentu tidak dapat melarikan diri. Majlis ilmu perlu di dengar dan mendapat ganjaran yang besar dari Allah jika kita berusaha untuk mengikutinya dan menghadirinya serta menghayati. Sememangnya anakku tahu akan hakikat itu.
Tapi… ini majlis ilmu yang ibu beri, tentu membosankan, tiada gelak ketawa. Apa tidaknya majlis ilmu yang tidak di rancang dan di susun dengan rapi dan sistematik. Di tambah pula bercakap mengikut apa yang terlintas di kepada dan di hemburkan keluar bagaikan bertih jagung.
Dan kadang-kadang perkara yang sama di ulang-ulang. Apa lagi, membebellah. Agaknya, itulah yang di fikirkan oleh anakku. Itulah firasatku.
Aku cuba mengelakkan untuk berbuat seperti itu tapi mulutku…, kalau sudah termasuk sesuatu di dalamnya takkan terus di telan tanpa di rasa, di gigit dan dikunyah hingga hancur lumat, barulah boleh di telan.
Di tambah pula usiaku sudah meningkat,
gigi pun sudah banyak yang patah berkarat,
lagi banyaklah kunyahan yang perlu ku buat.
Terus di telan, membawa mudarat,
di tekak tentulah terlekat
takut tercekit dan tersekat.
Rasullallah s.a.w pun mengunyah sebanyak 40 kali baru di telan makanan yang di makannya. Itu sunah, kalau di buat dan di ikut tentulah mendapat ganjaran yang besar dari Allah s.w.t dan mengharapkan juga, aku adalah salah seorang yang mendapat syafaat dari Nabi kita di Padang Masyar nanti.
Kalau yang masuk itu sesuatu yang lembut dan mudah hadam, tak perlulah bersusah payah untuk menguyahnya. Seperti air, cuma masukkan ke dalam mulut dan terus boleh di telan. Namun telalu gelojoh juga akan membawa padah, tersedak dan sakitnya sampai ke otak.
Itulah hakikatnya yang perlu sentiasa di ingat serta perumpamaannya aku dengan anak-anakku.
Aku memang menjadi kawan mereka. Mereka memang suka bercerita apa perkarapun denganku samada cerita pasal sekolah, cikgu-cikgu mereka maupun kawan-kawan mereka tetapi bukan bermakna aku boleh bersetuju semua perkara yang mereka lakukan. Aku berusaha menjadi ibu yang terbaik. Berusaha mesti, Kejayaan usah dinanti, Serahkanlah pada Ilahi.
H1N1.
Handphone berbunyi lagi. “Kenapalah tak de yang nak angkat”, hatiku berkata. Agaknya handphone suamiku. Bunyinya mengelirukan kerana bunyinya lebih kurang sama dengan handphoneku.
“Manalah abang ni”, sambil ku meninggalkan dapur seketika untuk mencari kelibat suamiku.
Rupanya dia berada di luar rumah, di halaman rumahku yang lebarnya sedepa. Menghirup udara pagi yang mungkin masih dingin dan segar di luar sana. Handphone masih berbunyi di tingkat atas. Malasnya rasa untuk naik ke tangga untuk mengambil dan menjawab panggilan tersebut. Anak-anakku yang besar, lepas solat subuh biasanya menyambung tidurnya.
Tapi.. aku, jarang mendapat panggilan, di tambah pula waktu begini. Matahari pun belum meninggi, masih pagi hening namun bahang kepanasan telah terasa. Keheningan pagi di sebabkan cuti di hujung minggu, manusianya masih melayan keasyikan mimpi. Mahu merehatkan minda dan fikiran, perlu puas dan cukup tidur tanpa menpedulikan pangilan azan yang mendayu-dayu dan merayu-rayu supaya bangun bersolat subuh.
Suasana di bandar, berhutankan batu mana ada rasa kedinginan pagi. Bahang kepanasan yang tidak mengira waktu masih mampu melelapkan mata dan melenakan tidur manusia. Masih tidak terasa dan teringat akan bahang kepanasan Neraka. Berbagai bala yang datang dan pergi namun tiada apa rasa, tetap seperti biasa.
Satu, dua minggu ini, memang suamiku sentiasa menunggu panggilan dari buah hatinya. Kalau ada saje panggilan mesti mengelabah dan tak semena-mena dan tergesa-gesa akan bersiap untuk terus menurut perintah buah hatinya walau apa pun yang berlaku di rumahnya. Walaupun tidak sempat makan dan minum, buah hatinya lebih utama. Aku hanya memerhati dan merelakan saje. Apakan daya aku tidak mampu melarangnya, kerana itulah tugasnya.
Ya, sejak hadirnya H1N1 suamiku sentiasa di dalam bersiap sedia. Tidak mengira waktu, malam dan siangnya sama saje. Bercuti atau tidak juga sama keadaanya. Telah beberapa kali dia di panggil ke tempat kerja kerana menyelesaikan kes H1N1, dia bertugas di bahagian makmal kaji penyakit. Jadi segala sample terpaksa di siapkan untuk di hantar ke IMR Kuala Lumpur dengan segera kerana itu tugasan yang diberikan padanya. Wabak yang melanda di seluruh dunia dan ku berdoa dia terselamat dari dijangkitinya.
Wabak H1N1, inilah antara amaran, tanda serta bala yang Allah cuba ingatkan. Namun tak ramai menyedarinya. Kerana manusia nampak seperti biasa tiada sebarang perubahan yang ketara. Tidak seperti Tsunami yang melanda, masjid dan surau penuh untuk seketika.
Balik kampung.
Handphone berdering lagi. Nampaknya aku terpaksa menapak ke atas menaiki anak tangga. Mencari-cari di mana bunyi itu berada. Telah pun ku jumpa, rupa-rupanya handponku yang bersuara.
Jarang sekali aku mendapat panggilan, biasanya isyarat sms untuk order pola yang ku jual secara online. Kulihat screen handphone tersebut,
“eh… abah. Apahal pulak ni. Jarang sekali abahku menalefonku melainkan ada hal-hal penting saje baru dia telefon”. Hatiku berkata-kata. “Tentu ada hal penting ni”.
“Assalamualaikum bah. Apa khabar”. Aku terus bersuara setelah ku tekan punat untuk bercakap.
“Wa’alaikummussalam. Kak Long, tengah buat apa tu? Tanya abahku. Sedang siapkan sarapan ni hah” Jawabku.
“Minggu ni ada masa lapang tak?” Tanya abah. Aku kehairanan “Kenapa pulak”.
“Ialah kalau ada masa lapang tu baliklah kampung. Durian dah gugur ni hah, tapi tak banyak. Tulah…, mak kau cadang nak buat dodol durian. Abah pun dah telefon adik-adik kau semalam, kalau nak rasa durian dan nak buat dodol sekali, baliklah”. Abahku berkata.
Rupanya, durian dah gugur itu amat penting bagi abahku. Ya! Memang penting bagi mereka sebagai ibubapa yang mengharapkan kepulangan anak-anaknya ke kampung. Yang pentingnya bukan durian yang gugur, tapi balik ke kampung dengan harapan anak-anaknya balik menjenguk mereka.
Cuma, umpama kata imbuhan, untuk menyedapkan ayat-ayat yang di lontarkan. Tapi masejnya, suruh balik kampung sebab lama sangat tak balik. Kalau tak kerana durian atau buah-buahan lain, belum tentu balik.
“Ini namanya saudara buah” kata suamiku. “Balik kerana buah bukan kerana nak menjenguk mak, abah kat kampung”. Itulah pendapat suamiku.
Bila musim buah. Ramailah dan penuhlah rumah kat kampung, bila tak ade apa-apa, liat sungguh nak balik. Macam-macam alasan yang di beri.
Padahal, apalah sangat, durian gugur. Di tempatku ini, bukannya durian gugur lagi, tapi durian berterabur di merata tempat. Di tepi-tepi jalan, di pasar-pasar malam, di kedai-kedai dan baunya pun sentiasa ada di mana-mana. Kalau kami tak beli durian, bila jiran beli durian, baunya masuk ke rumahku juga.
“Durian sendiri dengan durian beli mana sama. Durian beli tu, banyak yang tak elok. Entah-entah bukannya gugur tapi di paksa gugur, mana nak sedap. Tak sesedap durian kat kampung ni” Itulah kata-kata yang pernah abahku ucapkan suatu ketika dulu.
Orang tua, pandai berkias, kadang-kadang hingga tenggelam maksud sebenarnya. Kasihan abahku kata-katanya selalu tak di fahami dan di salah ertikan oleh anak-anaknya termasuklah aku. Aku perlu belajar untuk menyelami perasaan orang tua. Kerana aku bakal menjadi seperti mereka. Kesunyian, kerinduan, kehibaan, kesayuan mereka tanpa anak-anak di sisi pasti terasa terutama ketika usia berada di hujung senja. Tetapi tidak pernah mereka berterus terang dengan anak-anaknya.
“Yalah, abah faham Kak Long sibuk sekarang ni. Tambah pulak anak-anak dah besar, lagilah susah nak bergerak. Tanggunjawab kat anak-anak dan suami kan lebih utama. Tak apelah”. Itulah alunan kata-kata yang pernah di keluarkan. Itulah sebenarnya jawapan dari jawapan yang ku beri dari pertanyaannya tadi.
Maafkan aku abah. Sesungguhnya aku tidak mampu membahagiakan dan menyenangkan semua orang. Pasti ada satu pihak yang terluka. Aku ini manusia biasa yang terlalu banyak kekurangan dan kelemahan dan terkadang sering menyinggung perasaan orang-orang yang rapat yang berada di sekelilingku. Maafkan aku.
Dodol dari Kampung.
Petang esoknya, tak ku sangka adik-adikku singgah ke rumahku untuk menghantar dodol yang mereka buat. Dodol dari kampung dari air tangan makku, dodol kegemaranku. Ini mestilah mak yang sibuk ni, suruh mereka singgah untuk hantar dodol ke rumahku.
“Singgahlah rumah Kak Long, berikan dodol ni. Kesian dia, dengar cerita orang buat dodol tapi tak rasapun. Dahlah durian tak rasa”. Anak-anaknya pun suka dodol mak ni”. Mungkin itulah kata-kata makku.
Memang masakan makku sedap dan berselera, walaupun lauk sambal goreng dengan nasi putih aje. Anak-anakku selalu telefon sebelum balik kampung, “Wan buat sambal goreng chilie api ya”. Itulah lauk kegemaran mereka bila balik kampung.
Terima kasih mak.
Cuma.., bila di fikirkan. Bila aku makan sedap-sedap bersama keluargaku di sini, adakah aku terfikirkan ibubapaku di kampung?. Sedangkan mereka sentiasa teringat kepada anak-anaknya jika ada sesuatu yang istimewa yang di makannya. Itulah naluri ibubapa kerana aku dan suamiku juga merupakan ibubapa kepada anak-anakku.
Benarlah pepatah yang mengatakan, “Ibu mampu menjaga 10 orang anak tetapi anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu atau bapa”.
Kerana aku tau, aku sanggup berkorban apa sahaja untuk anak-anakku tapi untuk ibubapaku berbagai alasan yang ku berikan kepada mereka. Maafkan aku, kerana aku wanita yang bergelar isteri kepada suamiku dan ibu kepada anak-anakku. Keutamaan perlu ku dahulukan.
Sebulan lagi..
Tret…, tret. Tret, tet, tret, tet, tret…, tret. “Siapalah yang telefon agaknya malam-malam buta ni”. Runggutku.
“Assalamua’laikum Kak Long”. Suara abahku rupanya.
“Wa’alaikummussalam, oh….h, Abah rupanya”. Sapaku.
“Abah sihat ke bah? Apahal bah, tengah-tengah malam telefon ni? Mak sakit ke? ” Tanyaku.
“Nihah, mak kau pesan, kalau nak tempoyak baru, baliklah. Ada sikit ni, mak tinggalkan untuk Kak Long, tu hari durian dahlah tak rasa. Dapat rasa tempoyak pun jadilah” suara abahku seolah-olah terkuap-kuap mengantuk.
Terima kasih mak dan abah kerana sentiasa mengingatiku walaupun di dalam tidurmu.
SELAMAT HARI BAPA.
Wallahu’alam.
Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.
Wassalam.

Usaha Mesti, Kejayaan usah di nanti, Serahkanlah pada Ilahi.










.....Khas untuk orang Seremban. Pertanyaan dan tempahan, bolehlah hubungi Kak Faridah...., tel 012-2243696.
