Ya Allah…, Anakku!
Assalamualaikum, apa khabar semua.

Anakku yang berumur 6 tahun berlari-lari anak dari atas menjerit-jerit memanggilku. Namun pada masa itu aku masih lagi menunaikan solat Qada’ Subuh yang masih banyak tertinggal di zaman remajaku. Aku mendengar suaranya memanggilku namun aku teruskan menghabiskan solat yang masih tinggal satu rakaat lagi. Dia terdiam apabila melihatku masih bersolat dan terus menunggu di belakangku sehingga aku selesai. Selesai sahaja aku mengucapkan salam dia terus mengajak aku naik ke atas.
“Ibu jom ke atas bu, cuba tengok Aisyah”. Kenapa? Aku bertanya. “Jom lah tengok, sekejap je” sambil dia menarik tangganku.
Namun aku enggan mengikut kehendaknya sambil menjawab “Ibu nak solat lagi ni” aku memberitahu dan terus berdiri untuk meneruskan solatku lagi.
Ya lah untuk mengganti solat-solat ku yang dulu. Memang semasa zaman awal balighku, aku selalu meninggalkan solat subuh. Ku mencatitkan anggaran subuh yang telah ku tinggalkan dan membuat kiraan dalam masa 2 tahun aku boleh selesai menggantikan waktu subuhku jika aku menggantikannya setiap kali menunaikan solat wajib. Belum lagi di campurkan dengan waktu lain yang ku tinggalkan. Aku membuat anggaran 2 tahun selepas selesai mengganti solat subuh, baru aku boleh menarik nafas lega. Ku rasakan “hutangku” dengan Allah akan selesai selepas itu. Selesaikah hutangku dalam masa 4 tahun ni? Betulkah sudah selesai selepas 4 tahun? Entahlah! Sebenarnya aku terlalu takut berkira-kira, di tambah lagi berkira-kira dengan Allah. Rasanya tak cukup lagi. Tengoklah solat pun tak khusyuk mana, anak menjerit-jerit pun terganggu dan terdengar. Di terimakah solat yang ku buat selama ini? Eh.. banyak pula yang terfikir di kotak fikiranku ini. Ahh.. malaslah aku melayan fikiranku ini menjadikan aku takut menunggu saat aku di jemput oleh Allah. Banyaknya hutangku. Hutangku untuk hal duniawi pun banyak, sekeliling pinggan. Ni hutangku dengan Allah. Semua hutang-hutang tersebut sudah pasti di sebut di mahkamah Allah nanti.
Tiba-tiba aku terdengar jeritan anakku. “Ibu, tengok Aisyah ni”.
Sambil dia menarik tangan adiknya turun dari anak tangga. Aisyah mengelak dari di tarik namun sampai juga ke bawah. Anak lelakiku Abdul Sodiq terus memegang muka adiknya sambil mengarahkan kepadaku. Namun demikian Aisyah mengelak dan aku tak perasan pada mulanya.
“Tengok bu, tengok betul-betul bu”. Seolah-olah dia tahu aku tak berapa endah dengan apa yang ingin di beritahu padaku.
Aku terperanjat “Ya Allah Aisyah! Ya Allah anakku. Apa dah jadi ni”.
Terus abangnya menjawab. “Ibu nak tau apa dia buat? Aku masih lagi terlopong dengan rupa anakku yang kecil. “Dia guna pen yang ibu bagi dan letak kat bibirnya. Macam pakai make up dalam tv tu” Sambil dia melakonkan apa yang mereka pernah lihat di tv.
Inilah yang ku takut-takutkan. Akhirnya jadi juga. Baru tiga atau empat hari lepas aku memberi komen di blog ummuhusna tentang perkara ini. Tup, tup jadi pada diriku sendiri.
Memang sebelum solat tadi dia mengambil pen markerku yang ku gunakan untuk melakar pola untuk tempahan langsir. Aku tau dan aku nampak ia menconteng-conteng sesuatu di kertas A4. Tapi aku biarkan saje. Tak sangka aku, bibirnya yang di conteng. Memang anakku Aisyah pernah menyuruh aku membeli alat-alat make up untuk dia. Pada mulanya ku hairan juga baru 4 tahun umurnya sudah pandai meminta sesuatu yang di luar fikiran ku. Namun ku tahu itu semua pengaruh dari tv yang di lihatnya. Padahal sudah lebih 10 tahun aku tidak mempunyai alat seperti itu. Malah abangnya yang berumur 12 tahun pun tak ingat samada aku pernah dan mempunyai alat-alat kecantikan seperti itu. Anakku sendiri tak pernah melihat aku bermake up tapi akbibat pengaruh dari persekitaran dan tv dia tahu apa itu make up.
Ya dulu, semasa aku bekerja memang ada sesekali aku meletakkan perwarna merah di bibirku dan juga sedikit celak. Tapi aku rasakan, aku ni bukanlah jenis kaki melaram, tidak seperti kawan-kawan sepejabatku dulu. Setiap hari melaram dan bermake up manakala aku sebulan sekalipun susah nak buat macam tu. Cuma sesekali tu adalah. Sewaktu aku tidak berkerja pernah sekali aku cuba meletakkan celak di mata dan pemerah bibir yang ku beli dari Mekah semasa aku mengerjakan umrah. Namun suamiku berkata yang natural itu lebih cantik, katanya. Jadi aku pun fahamlah dan buangkan aje apa yang ada padaku. Itulah sekali seingat aku, aku melaram di rumah, apabila suamiku menegur aku tak lakukan lagi.
Benarlah apa yang dikatakan oleh ustazahku, Ustazah Salbiah Omar. Bukan senang untuk mendidik anak. Semuanya bermula dari awal lagi bukannya dari bermula kita memilih pasangan tetapi keturunan itu juga penting. Jika dari kecil dari dalam kandungan kita sudah di didik dengan baik dengan jalan Allah dan sunnah rasullullah, jadi mudahlah kita mendidik anak-anak kita nanti. Memang aku bukanlah dari golongan orang yang di didik dengan baik dari kecilnya, memang aku juga bukanlah dari keturunan yang baik-baik. Itulah kekuranganku namun itu juga yang membuatkan aku ingin dan berusaha menjadi yang terbaik di sisiNya.
Aku juga ingat dan memegang kata-kata ustazahku “Usaha yang lebih, ganjarannya pasti lebih di sisi Allah” tapi pastikan dibuat dengan seikhlas-ikhlasnya.
Ikhlaskah aku selama ini?
Wallahu’alam.
Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.
Wassalam.











.....Khas untuk orang Seremban. Pertanyaan dan tempahan, bolehlah hubungi Kak Faridah...., tel 012-2243696.
