Archive for May, 2009
Ikhlaskah aku selama ini?
Assalamu’alaikum, apa khabar semua.
Pizza Nisha.

Untuk Doh
1. Tepung 1kg
2. Mauripan 1 paket.
3. Sosej(betul tak ejaannya main taram je) 3 batang
4. Sesudu besar gula
5. Sesudu besar garam
6. 3 sudu besar majerin(kalau bukan majerin pun sebut majerin jugak sebab dah terbiasa dari kecik lagi)
7. 2 – 3 cawan air (lebih kuranglah macam nak buat karipap tu, kalau dah terlebih air tambah tepung sikit-sikit, kalau masih bertepung tambah air sikit-sikit).
- Kalau nak buat sikit je, bahagikanlah semua mengikut pembahagian yang telah di buat. Contahnya nak buat ½ kg tepung jadi yang lain tu pun setengah jugalah.
Cara menghasilkannya.
Campurkan semua bahan no.1 hingga no.6, gaulkan sehingga sebati/serata. Masukkan air(sebaiknya air suam jadi cepat sikit doh tu naik). Saje aku tambah sosej pada dohnya sebab nak bagi berbeza sikit daripada pizza yang lain dan ini juga idea dari suamiku, jadi ku cubalah. Ulilah seperti kita menguli karipap atau roti tapi jangan lama-lama sangat, kata chef Wan nak buat pizza tak perlu uli lama-lama nanti … lupa pulak apa sebabnya tapi memang dia cakap macam tu dalam satu siaran dalam tv suatu masa dulu, semasa aku baru-baru nak cuba buat pizza.
Masa tu aku masih kerja lagi dan satu lagi kata-kata chef Wan yang akan ku pegang sampai sekarang tentang masakan ni ialah “kita yang buat dia, bukan dia yang buat kita jadi kita boleh buat ikut apa yang kita hendak” Jadi jangan takut untuk mengubah dan mencuba sesuatu yang baru. OK, kita teruskan,,,
Biarkan selama 1 jam atau lebih untuk menaikkannya atau mengembangkannya.
Sementara tu sediakan bahan-bahan dibawah.
- Sosej(kalau nak senang potong-potong je), daging/ayam/udang/daging burger(pilihlah yang mana berkenan). Kalau daging burger kene masak dulu macam nak masak burger. Kalau daging/ayam potong dadu dan rebuslah dulu supaya ia lembut dan masak. Kalau udang tak perlu buat apa-apa bersihkan saje.
- Bawang besar di potong dadu – 1 labu
- Nenas/cendawan butang(dalam tin)- pilih salah satu
- Chilie besar di hiris-hiris
- Keju(mojarella dan apa-apa keju yang halal) Kalau nak macam bertali tu gunalah keju yang sesuai untuk buat pizza tapi kalau tak kisah, guna keju yang makan dengan roti tu pun boleh.
- Tomato paste
- Secubit garam
- Sesudu minyak(kalau tak bubuh pun tak apa)
- Italian Herbs/marjoram( masukkan sehingga ada rasa dan bau macam kita beli pizza kat pizza hut tu)
Teruskan dengan cara di bawah,
Bahan no.6 hingga no.9 hendaklah di masukkan sekali dan di gaul hingga sebati.
Setelah 1 jam, doh tadi bolehlah di letakkan di dalam bekas untuk membakar pizza atau apa-apa saje tempat untuk di bakar. Tak perlu beli tempat khas untuk buat pizza, tutup periuk aluminium tu pun boleh. Macam mak-mak kita kat kampung atau masa nak buat kuih raya dulu guna tutup periuk je. Sorrylah bagi mak anda yang dah moden atau yang lebih senang mungkin tidaklah, tapi masa aku kecik-kecik dulu macam tulah mak aku buat.
Ratakan selebar bekas anda dan kalau boleh biarlah doh tu tebal sikit sebab ada sosej di dalamnya. Kalau doh tebal saya nasihatkan anda membakar doh tu dulu sehingga separuh masak(dalam 10-15minit), lepas tu baru teruskan dengan yang lain. Takut nanti tepung untuk doh tu tak cukupa masak.
Teruskan… Letakkan tomato paste yang telah di campurkan/digaulkan bersama yang lain tadi, dan sapukan sama rata di atas doh tersebut. Letakkan bahan-bahan no.1 hingga no.4 di dalam Loyang anda. Taburkan sama rata di bahagian atas tomata paste tu,
Kemudian, masukkan keju yang telah di hiris-hiris dan ratakan di seluruh kawasan Loyang tadi. Akhir sekali jika masih ada lebihan tomato paste tadi letakkan di atas sekali.
Bakarlah dengan suhu kepanasan 170°C selama 15-20 minit. Jangan terlalu lama nanti kejunya tak bertali dan menjadi keras.

Tengah menaburkan/meletakkan keju.
Selamat mencuba.
Lega rasanya, bolehlah aku menyambung penulisanku di dalam blog yang tidak sampai setahun lagi ini, setelah aku menyiapkan satu tempahan yang baru ku poskan semula semalam. Tempahan langsir paten Scallop Tradisional yang di beri tempoh selama seminggu sahaja untuk aku siapkan. 4 set semuanya. Alhamdulillaa..h.

Tempahan yang telah ku siapkan dan di masukkan ke dalam kotak untuk di poskan.
Tak taulah kenapa aku sanggup menerima tempahan melalui pos sahaja dan terpaksa menangguhkan tempahan yang sedia ada. Maklumlah yang lain ni lambat lagi nak di gunakan. Kata mereka untuk raya nanti. Manakala ebookku yang ke tiga masih lagi belum selesai untuk semakkan kali ke 3. Maaflah bebanyak, ada yang bertanya melalui email bila ebook ku nak keluar tapi masih tak keluar-keluar sampai sekarang. Masih lagi dalam semakkan dan semakkan tu pulak tergendala…
Dalam kesibukan itu, sempat juga aku memasak dan meyediakan pizza untuk hari jadi anakku Abdul Sodiq(27 May) dan satu-satunya anak perempuanku Siti Aisyah(17 May). Ku buat sekali arung je jadi, dapatlah juga aku paparkan resepinya di blog ini.
Entahlah…, semuanya ku sanggupkan sahaja. Apakah yang ingin ku kejar? Semua benda aku nak buat dan akhirnya semuanya sekerat jalan.
Inilah juga menjadi kemarahan suamiku. “Semuanya nak di buat dan semuanya yang di sanggupkan dan akhirnya diri sendiri yang susah” Itulah kata-kata suamiku.
Mungkin suami ku marah padaku kerana akhirnya dia dan anak-anak akan terabai. Ya, memang serba sedikit tugasanku sebagai isteri dan ibu akan terabai dan terjejas. “Nak duduk rumah buatlah cara duduk rumah”.
Mungkin itu sambungan daripada apa yang ingin suamiku sampaikan. Itu cuma telahan aku sahaja dan tak pernah keluar dari mulutnya pun. Sesekali aku dapat rasakan suamiku tidak berapa setuju dengan caraku, cuma dia tidak meluahkannya kepadaku.
Ya, ikhlaskah aku selama ini? Ikhlaskah aku untuk berhenti kerja suatu ketika dahulu dengan alasan untuk mendalami ilmu agama dan untuk mendidik anak-anakku. Berjayakah aku mendalami ilmu agama? Berjayakah aku mendidik anak-anak supaya menjadi anak yang berguna untuk agamaNya? Ikhlaskah aku apa yang ku lakukan selama ini atau ada sesuatu yang ingin ku buktikan? Apakah ingin ku beritahu semua orang bahawa aku ini serba boleh? Apakah yang ku lakukan ini semata-mata kerana Allah atau kerana sesuatu selainNya? Yang pastinya jawapannya bercampur aduk. Ini bermakna aku belum lagi mencapai tahap ikhlas di sisi Allah. Memang dengan manusia aku boleh mengatakan aku ikhlas melakukannya, aku boleh menipu dan aku boleh beri pelbagai alasan tapi… dengan Allah? Allah tahu segala-galanya.
Aku selalu mendengar di dalam radio IKIM “Barangsiapa mencari redha Allah dengan marahnya manusia kepadanya, segala urusannya nescaya Allah sentiasa bersamanya tetapi barang siapa mencari redhanya manusia dengan marahnya Allah, maka urusannya itu di serahkan kepada manusia”. Begitulah lebih kurang kata-kata tersebut tapi tak sempat aku nak menyalinnya.
Adakah aku di dalam golongan mencari redhanya manusia?
Wallahu’alam.
Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.
Wassalam.

Ya Allah…, Anakku!
Assalamualaikum, apa khabar semua.

Anakku yang berumur 6 tahun berlari-lari anak dari atas menjerit-jerit memanggilku. Namun pada masa itu aku masih lagi menunaikan solat Qada’ Subuh yang masih banyak tertinggal di zaman remajaku. Aku mendengar suaranya memanggilku namun aku teruskan menghabiskan solat yang masih tinggal satu rakaat lagi. Dia terdiam apabila melihatku masih bersolat dan terus menunggu di belakangku sehingga aku selesai. Selesai sahaja aku mengucapkan salam dia terus mengajak aku naik ke atas.
“Ibu jom ke atas bu, cuba tengok Aisyah”. Kenapa? Aku bertanya. “Jom lah tengok, sekejap je” sambil dia menarik tangganku.
Namun aku enggan mengikut kehendaknya sambil menjawab “Ibu nak solat lagi ni” aku memberitahu dan terus berdiri untuk meneruskan solatku lagi.
Ya lah untuk mengganti solat-solat ku yang dulu. Memang semasa zaman awal balighku, aku selalu meninggalkan solat subuh. Ku mencatitkan anggaran subuh yang telah ku tinggalkan dan membuat kiraan dalam masa 2 tahun aku boleh selesai menggantikan waktu subuhku jika aku menggantikannya setiap kali menunaikan solat wajib. Belum lagi di campurkan dengan waktu lain yang ku tinggalkan. Aku membuat anggaran 2 tahun selepas selesai mengganti solat subuh, baru aku boleh menarik nafas lega. Ku rasakan “hutangku” dengan Allah akan selesai selepas itu. Selesaikah hutangku dalam masa 4 tahun ni? Betulkah sudah selesai selepas 4 tahun? Entahlah! Sebenarnya aku terlalu takut berkira-kira, di tambah lagi berkira-kira dengan Allah. Rasanya tak cukup lagi. Tengoklah solat pun tak khusyuk mana, anak menjerit-jerit pun terganggu dan terdengar. Di terimakah solat yang ku buat selama ini? Eh.. banyak pula yang terfikir di kotak fikiranku ini. Ahh.. malaslah aku melayan fikiranku ini menjadikan aku takut menunggu saat aku di jemput oleh Allah. Banyaknya hutangku. Hutangku untuk hal duniawi pun banyak, sekeliling pinggan. Ni hutangku dengan Allah. Semua hutang-hutang tersebut sudah pasti di sebut di mahkamah Allah nanti.
Tiba-tiba aku terdengar jeritan anakku. “Ibu, tengok Aisyah ni”.
Sambil dia menarik tangan adiknya turun dari anak tangga. Aisyah mengelak dari di tarik namun sampai juga ke bawah. Anak lelakiku Abdul Sodiq terus memegang muka adiknya sambil mengarahkan kepadaku. Namun demikian Aisyah mengelak dan aku tak perasan pada mulanya.
“Tengok bu, tengok betul-betul bu”. Seolah-olah dia tahu aku tak berapa endah dengan apa yang ingin di beritahu padaku.
Aku terperanjat “Ya Allah Aisyah! Ya Allah anakku. Apa dah jadi ni”.
Terus abangnya menjawab. “Ibu nak tau apa dia buat? Aku masih lagi terlopong dengan rupa anakku yang kecil. “Dia guna pen yang ibu bagi dan letak kat bibirnya. Macam pakai make up dalam tv tu” Sambil dia melakonkan apa yang mereka pernah lihat di tv.
Inilah yang ku takut-takutkan. Akhirnya jadi juga. Baru tiga atau empat hari lepas aku memberi komen di blog ummuhusna tentang perkara ini. Tup, tup jadi pada diriku sendiri.
Memang sebelum solat tadi dia mengambil pen markerku yang ku gunakan untuk melakar pola untuk tempahan langsir. Aku tau dan aku nampak ia menconteng-conteng sesuatu di kertas A4. Tapi aku biarkan saje. Tak sangka aku, bibirnya yang di conteng. Memang anakku Aisyah pernah menyuruh aku membeli alat-alat make up untuk dia. Pada mulanya ku hairan juga baru 4 tahun umurnya sudah pandai meminta sesuatu yang di luar fikiran ku. Namun ku tahu itu semua pengaruh dari tv yang di lihatnya. Padahal sudah lebih 10 tahun aku tidak mempunyai alat seperti itu. Malah abangnya yang berumur 12 tahun pun tak ingat samada aku pernah dan mempunyai alat-alat kecantikan seperti itu. Anakku sendiri tak pernah melihat aku bermake up tapi akbibat pengaruh dari persekitaran dan tv dia tahu apa itu make up.
Ya dulu, semasa aku bekerja memang ada sesekali aku meletakkan perwarna merah di bibirku dan juga sedikit celak. Tapi aku rasakan, aku ni bukanlah jenis kaki melaram, tidak seperti kawan-kawan sepejabatku dulu. Setiap hari melaram dan bermake up manakala aku sebulan sekalipun susah nak buat macam tu. Cuma sesekali tu adalah. Sewaktu aku tidak berkerja pernah sekali aku cuba meletakkan celak di mata dan pemerah bibir yang ku beli dari Mekah semasa aku mengerjakan umrah. Namun suamiku berkata yang natural itu lebih cantik, katanya. Jadi aku pun fahamlah dan buangkan aje apa yang ada padaku. Itulah sekali seingat aku, aku melaram di rumah, apabila suamiku menegur aku tak lakukan lagi.
Benarlah apa yang dikatakan oleh ustazahku, Ustazah Salbiah Omar. Bukan senang untuk mendidik anak. Semuanya bermula dari awal lagi bukannya dari bermula kita memilih pasangan tetapi keturunan itu juga penting. Jika dari kecil dari dalam kandungan kita sudah di didik dengan baik dengan jalan Allah dan sunnah rasullullah, jadi mudahlah kita mendidik anak-anak kita nanti. Memang aku bukanlah dari golongan orang yang di didik dengan baik dari kecilnya, memang aku juga bukanlah dari keturunan yang baik-baik. Itulah kekuranganku namun itu juga yang membuatkan aku ingin dan berusaha menjadi yang terbaik di sisiNya.
Aku juga ingat dan memegang kata-kata ustazahku “Usaha yang lebih, ganjarannya pasti lebih di sisi Allah” tapi pastikan dibuat dengan seikhlas-ikhlasnya.
Ikhlaskah aku selama ini?
Wallahu’alam.
Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.
Wassalam.

Guru-guruku.
Assalamualaikum, apa khabar semua.
SELAMAT HARI GURU
Saya tidak mempunyai artikel yang menarik untuk di kongsikan tentang guru. Walaubagaimanapun saya amat menyanjung tinggi dan berterima kasih pada guru-guru saya yang terdahulu terutama guru agama saya sekarang iaitu Ustazah Salbiah Omar. Ustazah Ruzaimah dan Ustazah Zuraini. Kesemuanya pernah saya menuntut ilmu dengan mereka. Semuanya hebat-hebat belaka. Terima kasih atas ilmu yang di beri dengan penuh keikhlasan dan kesabaran. Di sini ingin saya berikan sedikit info tentang mereka.
- Ustazah Salbiah Omar. Berumur 50′an dan seorang pendakwah bebas yang terkenal di Malaysia. Tinggal di Taman Exora, Senawang, Seremban. Rumah saya dengan rumahnya tak jauh. Berkelulusan Al-Azhar Mesir. Pernah mengikuti kelas pengajiannya selama hampir 4 tahun setiap hari(sesekali ada juga tak datang). Seorang yang tak kenal erti penat lelah. Jika tiada jemputan ke majlis ilmu yang lain, dia sememang mengadakan kelas setiap pagi(kuliah dhuha dari 8am – 10.30am) dan malam(lepas maghrib hingga 10.30pm). Dia telah membeli 2 buah rumah kedai(berada di Dataran Senawang dan juga di Taman Kemuning) khusus untuk pengajian yang di buatnya hampir setiap hari). Katanya inilah hasil duit yang di terimanya semasa memberi kuliah/program agama. Seorang yang cukup bersederhana dan suka membantu anak-anak muridnya yang di dalam kesusahan. Seorang yang tegas dan di katakan “mulut celupar”. Namun demikian dengan dialah saya banyak mendapat ilmu. Kerana takut di tegur saya jadi berhati-hati bila berhadapan dengannya. Dengan dia jugalah saya banyak berubah menjadi lebih baik. Maaf sebab gambarnya tiada. Bila ada kelapangan akan saya cuba hubungi dia untuk memanjangkan kisahnya. Sekarang saya jarang mengikuti kelasnya cuma sesekali sahaja kerana sebab-sabab yang tak dapat di elakkan. Terima kasih Ustazah Salbiah Omar.
- Ustazah Ruzaimah. Berumur 40′an. Berkelulusan dari UKM dan sekolah pondok(maaf saya tak tau sekolah pondok mana).
Juga seorang pendakwah bebas yang tinggal di Kampung Sentosa Seremban. Sekarang saya mengikut pengajian dengannya setiap Jumaat di taman saya. Seorang yang lemah lembut dan boleh di bawa berbincang. Saya lebih berani dengannya jika bertanya sebarang soalan dan kadang-kadang saya berani bertanya soalan yang rasanya tak sependapat dengannya. Sebab dalam banyak hal ilmuan agama yang kadang-kadang tak sama pendapat tapi semuanya boleh dipakai. Namun demikian saya tetap menghormatinya sebagai seorang guru agama. Berkelulusan dalam bidang Medical(doctor perubatan) namun meninggalkan profesyennya dan menjadi suri rumah/pendakwah. Di beritakan dia hidup bermadu(4 orang semuanya) tapi tinggal dengan rukun dan damai bersama-sama suami(ustaz) dan madu-madunya. Inilah yang ingin saya tanya tapi tak tertanya lagi pada dia. Ingin mengorek rahsia kebahagian hidupnya kerana saya tau tak ramai yang sangup di madukan walaupun dari kalangan ahli agama sendiri. Mempunyai 7 orang anak yang hidup tapi madu-madunya saya tak tau berapa orang. Seorang yang cukup simple dan pada mulanya saya tak taupun dia mempunyai ijazah kedoktoran. Tapi semasa mengajar saya dapat lihat di memang seorang yang pakar dalam bidang perubatan. Nantilah saya, ambil gambarnya bila jumpa dia jumaat ni. Anda takut di madu? Nantilah bila keadaan sesuai saya akan tanyakan tip-tip yang boleh di kongsi bersama jika anda bermadu atau ingin di madu. - Ustazah Zuraini Yaakob. Berumur 30′an. Berkelulusan dari UM. Seorang ustazah di sekolah menengah di Rembau dan tinggal di Rembau(dulu satu taman dengan saya). Mempunyai 5 orang anak. Sesekali di jemput membuat kelas Agama dan seorang yang suka mendekati masyarakat. Semasa tingaal di taman ini dialah yang mengaktifkan aktiviti di taman ini terutama sekali untuk Helwa. Apabila dia berpindah dari taman kami(helwa), program pun dah mulai kurang aktif. Seorang yang boleh di bawa berbincang dan senang menerima pendapat orang lain. Saya selalu merujuk dengannya jika ada apa-apa masalah. Saya jarang bertemu dengannya tapi selalu berhubung dengan talipon sahaja. Gambarnya pun saya tak ade. Nantilah bila jumpa saya ambil gambar untuk blog ini.
Inilah antara guru-guru saya yang amat saya kasihi dan sanjungi. Terima kasih atas ilmu-ilmu yang Ustazah-ustazah berikan dan hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya. Guru juga seperti ibu kitakan?. Jadi saya gunakan puisi yang di sediakan oleh Ustaz Halim(Inijalanku.wordpress.com) untuk mereka. Oleh kerana ustaz Halim membenarkan sesiapa sahaja menggunakan artikelnya jadi saya ambil kesempatan ini menggunakan artikelnya. Memang artikelnya menarik-menarik belaka. Kalau ikutkan semuanya saya nak ambil tapi saya ambil yang bersesuaian dengan blog saya je.
Orang kata aku lahir dari perut mak..
(bukan org kata…memang betul)
Bila dahaga, yang susukan aku….mak
Bila lapar, yang suapkan aku….mak
Bila keseorangan, yang sentiasa di sampingku.. ..mak
Kata mak, perkataan pertama yang aku sebut….Mak
Bila bangun tidur, aku cari….mak
Bila nangis, orang pertama yang datang .mak
Bila nak bermanja, aku dekati….mak
Bila nak bergesel, aku duduk sebelah….mak
Bila sedih, yang boleh memujukku hanya….mak
Bila nakal, yang memarahi aku….mak
Bila merajuk, yang memujukku cuma….mak
Bila melakukan kesalahan, yang paling cepat marah….mak
Bila takut, yang tenangkan aku….mak
Bila nak peluk, yang aku suka peluk….mak
Aku selalu teringatkan ….mak
Bila sedih, aku mesti talipon….mak
Bila seronok, orang pertama aku nak beritahu…. .mak
Bila bengang.. aku suka luah pada..mak
Bila takut, aku selalu panggil… “mmaaakkkk! “
Bila sakit, orang paling risau adalah….mak
Bila nak exam, orang paling sibuk juga….mak
Bila buat hal, yang marah aku dulu….mak
Bila ada masalah, yang paling risau…. mak
Yang masih peluk dan cium aku sampai hari ni.. mak
Yang selalu masak makanan kegemaranku. …mak
kalau balik ke kampung, yang selalu bekalkan ulam & lauk pauk…..mak
Yang selalu simpan dan kemaskan barang-barang aku….mak
Yang selalu berleter kat aku…mak
Yang selalu puji aku….mak
Yang selalu nasihat aku….mak
Bila nak kahwin..Orang pertama aku tunjuk dan rujuk…..mak
Aku ada pasangan hidup sendiri….
Bila seronok, aku cari….pasanganku
Bila sedih, aku cari….mak
Bila berjaya, aku ceritakan pada….pasanganku
Bila gagal, aku ceritakan pada….mak
Bila bahagia, aku peluk erat….pasanganku
Bila berduka, aku peluk erat….emakku
Bila nak bercuti, aku bawa….pasanganku
Bila sibuk, aku hantar anak ke rumah….mak
Selalu.. aku ingat pasanganku
Selalu.. mak ingat kat aku
Bila-bila… aku akan talipon pasanganku
Entah bila… aku nak talipon mak
Selalu…aku belikan hadiah untuk pasanganku
Entah bila… aku nak belikan hadiah untuk emak
Renungkan:
“Kalau kau sudah habis belajar dan berkerja… bolehkah kau kirim wang untuk mak?
mak bukan nak banyak… lima puluh ringgit sebulan pun cukuplah”.
Berderai air mata jika kita mendengarnya. …….
Tapi kalau mak sudah tiada…..…..
MAKKKKK…RINDU MAK…. RINDU SANGAT….
Berapa ramai yang sanggup menyuapkan ibunya….
berapa ramai yang sanggup mencuci muntah ibunya…..
berapa ramai yang sanggup mengantikan lampin ibunya…..
berapa ramai yang sanggup membersihkan najis ibunya…… .
berapa ramai yang sanggup membuang ulat dan membersihkan luka kudis ibunya….
berapa ramai yang sanggup berhenti kerja untuk menjaga ibunya…..
dan akhir sekali berapa ramai yang sembahyang JENAZAH ibunya……
Seorang anak mendapatkan ibunya yang sedang sibuk menyediakan makan malam di dapur lalu menghulurkan sekeping kertas yang bertulis sesuatu. Si ibu segera mengesatkan tangan di apron menyambut kertas yang dihulurkan oleh si anak lalu membacanya.Kos upah membantu ibu:
1) Tolong pergi kedai : RM4.00
2) Tolong jaga adik : RM4..00
3) Tolong buang sampah : RM1.00
4) Tolong kemas bilik : RM2.00
5) Tolong siram bunga : RM3.00
6) Tolong sapu sampah : RM3.00
Jumlah : RM17.00
Selesai membaca, si ibu tersenyum memandang si anak sambil sesuatu berlegar-legar si mindanya. Si ibu mencapai sebatang pen dan menulis sesuatu di belakang kertas yang sama.
1) Kos mengandungkanmu selama 9 bulan – PERCUMA
2) Kos berjaga malam kerana menjagamu – PERCUMA
3) Kos air mata yang menitis keranamu – PERCUMA
4) Kos kerunsingan kerana bimbangkanmu – PERCUMA
5) Kos menyediakan makan minum, pakaian, dan keperluanmu -PERCUMA
Jumlah Keseluruhan Nilai Kasihku – PERCUMA
Air mata si anak berlinang setelah membaca apa yang dituliskan oleh siibu. Si anak menatap wajah ibu,memeluknya dan berkata,
“Saya Sayangkan Ibu”.
Kemudian si anak mengambil pen dan menulis
“Telah Dibayar”
pada mukasurat yang sama ditulisnya.
dari Ustaz Halim Seremban(inijalanku.wordpress.com)
Terima kasih ustaz Halim.
Wallahhua’lam.
Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.
Wassalam.

Bibik oh bibik.
Assalamualaikum, apa khabar semua.
Bibik adalah panggilan untuk pembantu rumah Indonesia yang biasa kita dengar. Ya, berbagai cerita tentang bibik. Ada yang baik dan tak kurang juga yang tak baik. Baru 2 atau 3 minggu lepas jiran sebelah rumah saya telah kehilangan bibiknya.. Bukan di hantar balik tapi lari dari rumah. Yang menghairankan tu waktu petang(sewaktu budak-budak keluar kat padang/dalam pukul 5) dia lari keluar dan tiada siapa yang perasan. Padahal anak saya ada di padang tapi tak perasan juga. Rumah saya memang dekat dan berhadapan dengan padang permainan kanak-kanak.
Keluar sehelai sepinggan. Semua barangnya tidak di bawa sekali. Duitnya pun masih ada kat jiran saya kerana katanya bila dah nak habis kontrak nanti dia akan bagi sekali. Tak taulah mana silapnya. Kalau nak di ikutkan, jiran saya tu baik orangnya. Tak suka marah-marah. Saya jarang sekali mendengar dia marah pada anak-anaknya. Jika di bandingkan dengan saya ni rasanya, saya lebih garang/tegas dan cepat marah dengan anak-anak. Sebelum ni bibik tu memang ada mengadu dengan saya, katanya ” anaknya yang besar tak suka pada dia dan selalu marah padanya. Manakala emak jiran saya tu kata memanglah cucunya tak suka pada bibik tu tapi tak buat sesuatu yang mencurigakan. Emaknya pun tinggal sekali di situ dan sebelum ni memang emaknya yang menjaga cucunya. Emaknya tu pun dah berusia 70′an, dah tak larat menjaga cucunya, jadi dia suruh anaknya ambil pembantu. Dia tetap duduk di situ cuma hari cuti je dia balik rumahnya di kampung. Katanya tak berapa percaya takut-takut dia buat sesuatu pada cucunya.
Bibik tu pun saya rasa baik orangnya serta rajin. Tak taulah mana silapnya. Memang dia ada berjumpa dengan kawan-kawan dia di hari-hari terakhir. Mereka rajin berkumpul di padang di waktu petang dan berbual. Setelah di risik oleh makcik(emak jiran) dengan kawan-kawannya yang biasa dia berbual di tepi padang tu, katanya dia tak tahan dengan nenek yang suka membebel. Orang tua biasanya macam tulah. Emak sayapun suka membebel. Segala cerita habis keluar dari dia muda hingga sekarang akan terkeluar kalau dia marah. Saya ni pun dah nampak tanda-tanda suka membebel. Dah masuk 40′an dah berubah pulak. Agaknya hormon dalam badan berubah jadi perangai pun berubah. Harap-harap tidak berlarutan sampai menjadi kemarahan suami dan anak-anak. Saya akan cuba mengawal diri saya ni. Semoga Allah sentiasa bersama saya.
Semalam saya berkunjung ke blog ustaz Halim(Inijalanku.Wordpress.com) ternampak pula tajuk mengenai bibik diblognya. Jadi saya buka. Ustaz Halim pun ambil bibik tapi setelah isterinya melahirkan 12 orang anak(anaknya 13 orang semuanya dengan seorang isteri sahaja). Dia memuji bibiknya. Tapi cerita yang lebih menarik lagi kehebatan isterinya. Wah! hebat betul isterinya, sanggup melahirkan 13 orang anak dan menjaga bersendirian dengan 12 orang anak. Dengan bekerja sebagai guru serta sesekali mendapat jemputan untuk program Agama/kuliah. Isteri dan ibu seperti inilah yang saya tabik sebab saya tak sehebat mereka. Kalau saya jadi macam tu tak sanggup rasanya. Terasa begitu rendah dan lemahnya diri saya ni jika di banding dengan mereka-mereka yang hebat yang saya kenali dan ketahui ceritanya. Memang jauh lagi standard saya di sisi Allah. Cemburu sungguh saya dengan ibu-ibu ini.
Walaubagaimanapun berhati-hatilah kepada sesiapa yang mengambil bibik/pembantu rumah. Kadang-kadang mereka ni di hadapan kita baik, pijak semut pun tak mati tapi di belakang kita anak kita di pijak-pijanya. Cuba tengok video ni nanti. Tak sanggup saya mengenangkannya dan menitiskan air mata saya melihatnya. Setelah saya melihat video ni terbayang-bayang hingga ke hari ini di dalam kepala saya. Sanggup dia buat anak majikannya begitu sekali. Memang tak berhati perut. Melihatkan video tu teringat pulak saya cara saya mendidik anak-anak. Rasa berdosa dan bersalah tiba-tiba datang. Banyak dosa saya dengan anak-anak, ada masanya saya marah mereka dan ada masanya kena rotan juga, bukannya apa untuk mengajar mereka. Maklumlah anak-anak saya ramai lelaki, bila dia orang nakal dan bergaduh memang satu taman ni dengar agaknya. Di tambah pula dengan sifat hypeaktif dia orang jadi hype pulak diri saya. Tapi lepas ni saya nak menjadi lebih baik dan berlembut dengan mereka. Harap-harap saya dapat mengawal perasaan dan bersabar dengan tingkah laku mereka.
Video ini juga boleh memberikan kesedaran pada kita para ibu-ibu. Semoga kita sentiasa berlemah lembut dan berfikiran waras dalam mendidik anak-anak. Jangan terlalu mengikutkan rasa marah. Saya begitu terasa dengan apa yang di lihat di dalam video ini. Ia memberi kesedaran dan keinsafan kepada saya.
Astagfirullahhalazim...Klik di sini untuk masuk ke blog orang Johol Nogori Sembilan untuk lihat videonya. Nasib baiklah si majikan tu berkemampuan dan sanggup pasang alat kemera tertutup dirumahnya. Kalau tidak anak tu agaknya dah tak bernyawa di kerjakan oleh bibiknya. Kesihan sungguh saya dengan budak tu kerana dia budak kecil, tak tau apa-apa.
Wallahhua’lam.
Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.
Wassalam.
Nisha.
Pengorbanan Ibu
Assalamualaikum, apa khabar semua.
HARI IBU!, saya sebenarnya tidak pernah menyambut hari ibu dan tidak pernah mengucapkan selamat hari ibu kepada sesiapapun walaupun pada emak saya sendiri. Bukannya tidak mau mengikuti peredaran sekarang tetapi saya ni agak kurang “moden” kata orang atau orang sekarang kata “kampungan” dan mak saya pula orang kampung dan tak tau apa tu Hari Ibu. Tapi anak-anak saya yang masih tadika tu adalah buatkan kad untuk saya sempena meyambut Hari Ibu. Mungkin cikgunya suruh buat kad dan di suruh berikan kepada ibu masing-masing. Walaubagaimanapun saya menghargainya dan mengucapkan terima kasih kepada anak saya. Anak-anak saya yang dah besar tu, dah tak buat macam tu lagi. Mungkin mereka rasa saya tak kisah jadi merekapun tak kisah jugaklah.
Samada anda meraikan atau tidak Hari Ibu, ia tidak menjadi hal pada saya. Memang sepatutnya kita menghargai ibu kita tak kira masa. Berbuat baik kepada mereka, sentiasa menjaga hati mereka walaupun apa keadaan sekalipun walaupun kita tidak bersetuju banyak perkara dengan ibu kita. Tetapi kita tetap menghargai dan menjaga hatinya. Itulah yang terbaik dan bukanya sekadar kad dan hadiah yang kita berikan. Tetapi itulah yang paling susah untuk kita melakukannya. Di tambah pula kita tidak sekepala dengan ibu kita. Cara kita tidak sama dengan ibu kita dan banyak perkara yang kita tak setuju dengan tindakannya. Jika anda menghadapi dilemma ini tetapi anda masih boleh membuat ibu anda gembira, tidak tersinggung dan berkecil hati dengan anda, maka anda telah berjaya menjadi anak yang di redhai oleh kedua orang tua anda dan sudah tentulah Allah meredhai anda. Berbahagialah anda di alam akhirat nanti, kerana anda sentiasa di senangi oleh Allah dan orang tua anda.
Sempena menyambut hari ibu ni walaupun terlewat, saya ingin berkongsi cerita tentang ibu yang boleh dianggap antara ibu yang sanggup berkorban apa saje untuk anaknya, di mana ceritanya telah saya baca di dalam majalah Al-Islam baru-baru ini. Berikut adalah ceritanya…

Puan Khairulleza Khamsan, 45, (gambar di atas) adalah ibu kepada Muhammad Faiz Danyal, 16 yang telah berjaya mendapat 8A di dalam PMR tahun lepas, walaupun dia menghidapi hyperlexsia iaitu di dalam kategorikan autisme. Sedikit info tentang hyperlexsia, iaitu mereka sudah boleh membaca di awal usia tetapi mereka tidak berupaya memahami bahasa percakapan dan mempunyai tingkah laku abnormal di dalam hubungan sosial. Faiz juga begitu menghadapi masalah pertuturan ketika berusia empat setengah tahun. Kanak-kanak cerdik ini masih tidak boleh bertutur sewaktu berusia 41/2 tahun. Namun demikian ibubapanya telah berusaha mendapat rawatan yang terbaik untuk anaknya dan akhirnya berjaya.
Namun demikian bukan itu masalah besarnya. Apabila Faiz menjejakkan kaki ke darjah satu barulah di ketahui cabaran sebenarnya….. Sambungan ceritanya di bawah ini dengan melihat keratan majalah al-Islam yang telah saya fotokan.



Dalam mengharungi kehidupan membesarkan anaknya dia juga tidak terlepas dengan pelbagai dugaan yang lain seperti umpat keji dari orang dan sebagainya. Dengan merendahkan diri dia berkata pengorbanan yang di lakukannya sedikit saje dan tidak ada yang istimewanya yang ingin di tulis tentang dirinya. Namun setelah di pujuk oleh wartawan al-Islam dia bercerita juga akhirnya. Kita ikuti petikan majalah ini..

Lihatlah betapa hebatnya ibu ini. Bolehkah kita berbuat demikian? Sanggupkah kita melakukan sehingga berbelas tahun berbuat demikian baru boleh kita melihat hasilnya? Saya sendiri kalau di tanya tidak boleh dan tidak sangup berbuat demikian. Berbagai alasan yang boleh saya buat, mungkin saya boleh katakan dengan alasan ini, dia tak punya anak lain atau adik di bawahnya. Dia orang kaya, mampu bolehlah dan mungkin berbagai alasan lain lagi. Yang pastinya walaupun apa alasannya sebenarnya kita tidak kuat dan sabar melakukannya, Bagi mereka yang ingin berjaya dan ingin melihat kejayaan, perlukan pengobanan yang tak berbelah bahagi. Saya sendiri sebenarnya mempunyai anak seperti ini iaitu anak ketiga saya. Tapi saya tak buat seperti yang di lakukan oleh puan Leza ini. Memang saya masih tidak layak di gelar sebagai ibu mithali. Banyak perkara yang saya berkeluh kesah. Baru beberapa tahun saya buat dah mula mengungkit dan berkeluh kesah. Belum lagi berbelas tahun seperti puan Leza ini. Saya harus menanamkan semangat seperti ibu ini. Saya harus berubah. Ya Allah ya tuhan ku ampunni dosa-dosaku yang lalu, kini dan selamanya. Berilah aku petunjuk dan hidayahmu. Perkuatkan dan tambahkan keimanan ku kepadaMu ya Allah. Jadikan aku orang yang ikhlas, tabah dan sabar di dalam menghadapi dugaan yang engkau berikan. Ameen, ameen ya Robbil alamin.

Wallahhua’lam.
Segala yang baik itu datangnya dari Allah manakala yang buruk itu adalah kelemahan diriku sendiri.
Wassalam.
Nisha.
Jihad Ummu Haram ra. dari Madinah ke Pulau Cyprus
Assalamualaikum, apa khabar semua.
Oleh kerana saya masih tidak berkesempatan untuk menambah artikel di dalam blog ini jadi saya ambil artikel di bawah ini(dengan izin yang empunya blog, harap- harap begitulah) dari blog inijalanku.wordpress.com-iaitu blog ustaz Halim. Semoga kita sama-sama mendapat pengajarannya.

Kejayaan mentarbiyah masyarakat bukan sahaja menjadikan lelaki mereka para Mujahideen demi Agama yang ingin dimenangkan ini, bahkan juga merubah wanita mereka mencintai Jihad dan Syahid dijalanNya. Kejayaan Rasulullah saw bersama Ummu Haram diaspek ini akhirnya bukan sahaja dapat mengasaskan sebuah Negara Islam di Madinah tetapi juga Empayar dan Tamaddun Islam di muka bumi ini.
UMMU Haram binti Milham merupakan isteri kepada Ubadah bin Samit dan ibu saudara susuan Nabi Muhammad. Ummu Haram merupakan salah seorang dari kumpulan wanita Ansar yang mula-mula memeluk Islam.

Pulau Cyprus, Eropah, di tengah-tengah Laut Medditerranean. Diambil dari peta Kerajaan Empayar Uthmaniah Islamiyah.

Pulau Cyprus, terletak di Laut Medditerranean, di antara pantai Syria dan pantai Turki. Pada tahun 395M, Cyprus ditawan oleh Empayar Rom. Pada 649M, Cyprus dibuka oleh Ummu Haran dan para Sahabat ra. Pada 966M Eropah menawan Cyprus dalam Perang Salib. Pada 1539M, Empayar Uthmaniah menghancurkan segala kekuatan Eropah di Cyprus. Setalah umat Islam menjadi lemah, pada 1878M Empayar British menawan Cyprus yang mempunyai penduduk Islam Turki dan Kristian Greek. Pada 1960 Cyprus merdeka dengan 2 entiti Turki dan Greek setelah perundingan 3 penjuru British-Turki-Greek. Pada 1974, Nikos Sampson diisytihar Presiden Cyprus dan cuba isytihar gabung sepenuhnya Cyprus dengan Greek. Tujuh hari selepas itu, dengan hujah perisytiharan itu bertentang dengan Persidangan 1960, Al-Mujahid Prof. Ir. Najmuddin Erbakan menghantar tentera Turki dan berjaya menduduki 40% tanah Cuprus hingga ke hari ini.

Prof. Ir. Najmuddin Erbakan, B. Engineering (Istanbul Tech University), Ph.D (Aachen University, Germany). Menteri di bawah PM Bulent Ecevit pada 1974 dan Perdana Menteri pada 1996.
Beliau juga merupakan ibu saudara kepada Anas bin Malik. Nabi Muhammad memuliakan Ummu Haram dengan mengatakan, “Kamu termasuk orang yang pertama daripada kalangan mereka”.
Ini adalah kerana sifatnya yang berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan seperti berjihad, menuntut ilmu, mendahulukan kepentingan orang lain dan merendah diri.
Ummu Haram juga melibatkan diri dalam Jihad menentang pihak musuh Islam. Dia membantu merawat luka dan memberikan air kepada pasukan tentera Islam sewaktu peperangan Badar dan Uhud.
Jiwa Ummu Haram yang cekal dan kental memudahkan beliau bergerak di kawasan peperangan yang penuh bahaya bagi membantu dan merawat tentera Islam yang cedera.


Berbahagialah Ummu Haram melihat suami dan anak-anak kampungnya di Madinah pergi berjihad, lalu dia sendiri akhirnya menyertai misi Jihad menentang Rom/Eropah/NATO dan membuka Cyprus. Sebaliknya, deritalah ibu mat-mat rempit yang akhirnya terpaksa menemani anak-anak mereka ke kandang-kandang di mahkamah. (Foto Utusan Online : PADAH MEREMPIT…Mohd. Yunus Yusuf diiringi ibunya semasa dibawa ke Mahkamah Khas Trafik untuk perbicaraan kes 14 remaja yang ditahan dalam satu operasi cegah lumba haram di Ipoh, semalam … 11/5/2009, sehari selepas Hari Ibu 10/5/2009 – pent.).
Nabi Muhammad selalu mengunjungi Masjid Quba yang didirikan oleh beliau atas dasar takwa kepada Allah. Kadangkala, beliau menaiki unta atau berjalan kaki menuju Masjid Quba lalu menunaikan solat sunat dua rakaat.
Kadang kala, Nabi Muhammad singgah di rumah Ummu Haram yang terletak berhampiran masjid Quba bagi melawatnya serta tidur siang di rumahnya. Malahan ada ketika beliau solat di rumah Ummu Haram.
“Assalamualaikum Ummu Haram!” Nabi Muhammad memberi salam sambil mengetuk pintu rumah Ummu Haram.
“Waalaikumusalam. Silakan masuk,” jawab Ummu Haram sambil membuka pintu mempelawa Nabi Muhammad masuk.
“Apa khabar Ummu Sulaim dan Anas? Mari kita solat bersama-sama,” kata Nabi Muhammad.
“Khabar baik, Rasulullah,” balas Ummu Sulaim dan anaknya.
Mereka menunaikan solat sunat bersama-sama kerana pada ketika itu beliau belum masuk waktu solat wajib.
Kemudian Nabi Muhammad mendoakan kesejahteraan dan kebaikan dunia serta akhirat untuk Ummu Haram, Ummu Sulaim dan anaknya. Selepas itu, Ummu Haram menjemput nabi Muhammad makan bersama-sama.
“Ummu Haram, saya mahu berehat sebentar,” kata Rasulullah selepas menjamah makanan yang disediakan oleh Ummu Haram.
“Baring dan berehatlah,” balas Ummu Haram yang sedang mengemas pinggan di dapurnya.
Nabi Muhammad yang baring di ruang tamu tidak lama kemudian tertidur. Ummu Haram, Ummu Sulaim dan Anas berbual perlahan supaya tidak mengganggu baginda yang sedang tidur. Selepas beberapa ketika berlalu, Nabi Muhammad terjaga dari tidurnya dan tersenyum sendirian.
“Mengapa kamu tersenyum,” tanya Ummu Haram dalam kehairanan.
“Beberapa orang dari umat Islam menawarkan diri berperang di jalan Allah. Mereka menaiki kapal merentas lautan menuju ke arah raja-raja yang zalim,” jawab Nabi Muhammad sambil memandang wajah Ummu Haram.
“Ya Rasulullah, doakan saya semoga termasuk di antara golongan itu,” pinta Ummu Haram yang bercita-cita supaya dapat menyertai peperangan bersama pasukan tentera Islam menyeberang lautan bagi menyebarkan agama Islam pada suatu hari nanti.
“Baiklah,” balas Nabi SAW lalu mendoakan Ummu Haram. Kemudian, Rasulullah berbaring dan menyambung semula tidurnya.
Beberapa ketika kemudian, Nabi SAW bangkit dari tidurnya dan tertawa. Ummu Haram yang hairan dengan kelakuan baginda bertanya, “Ya Rasulullah, mengapa kamu ketawa”.
“Sekumpulan umat Islam diperlihatkan kepada saya seketika mereka berperang menentang pihak musuh Islam seperti raja bagi pasukannya,” jawab Nabi Muhammad.
“Ya Rasulullah, doakan agar saya termasuk dalam golongan itu,” mohon Ummu Haram.
“Kamu termasuk golongan yang pertama dari kalangan mereka,” jawab Nabi Muhammad.
Peristiwa yang dikatakan oleh Nabi Muhammad berlaku pada era pemerintahan Khalifah Usman bin Affan. Pada ketika itu, penaklukan bandar-bandar musuh Islam berlaku dengan rancak.
Ketika Usman ditabalkan sebagai Khalifah, Muawiyah Abu Sufian yang ketika itu menjadi Gabenor Syria mencadangkan pembentukan pasukan armada laut bagi menentang Empayar Byzantine (Rom).
Ekspedisi armada laut Muawiyah dibantu dengan sebuah kapal perang yang diketuai oleh Abdullah bin Abu Sarah dari Mesir.
Kedua kapal angkatan tentera laut Islam mula belayar menuju ke pulau Cyprus bagi bertempur pasukan tentera Byzantine yang berpangkalan di pulau itu.
“Tercapai juga cita-cita saya untuk berjihad di jalan Allah merentas lautan. Permintaan saya yang telah didoakan oleh Rasulullah telah dimakbulkan oleh Allah,” bisik hati Ummu Haram yang berdebar-debar berdiri di atas dek kapal.

Mencari pengganti sahabiah Ummu Haram ra. yang telah pergi … (Foto hiasan). “Beberapa orang dari umat Islam menawarkan diri berperang di jalan Allah. Mereka menaiki kapal merentas lautan menuju ke arah raja-raja yang zalim,” kata Rasulullah saw. sambil memandang wajah Ummu Haram. “Ya Rasulullah, doakan saya semoga termasuk di antara golongan itu,” pinta Ummu Haram.
Kedatangan kedua kapal angkatan tentera laut Islam itu tidak disedari oleh pasukan tentera Empayar Byzantium dan penduduk tempatan pulau Cyprus.
Ini adalah kerana tanggapan pihak musuh bahawa umat Islam tak mampu menyeberang lautan dan berperang di kawasan laut.
Abdullah bin Qais menghantar perisik untuk meninjau kekuatan pihak musuh sebelum melancarkan serang hendap. Pihak musuh yang terkejut dengan kehadiran pasukan tentera Islam dengan tiba-tiba hanya mampu memandang melihat kem kawalan mereka diambil alih oleh pihak tentera Islam.
“Panglima, saya sebagai ketua penduduk pulau ini sanggup membayar jizyah sebanyak 70,000 dinar setahun kepada kerajaan Islam. Tolong jangan apa-apakan penduduk pulau ini,” mohon ketua penduduk pulau Cyprus kepada Abdullah bin Qais.
“Baiklah,” balas Abdullah bin Qais dengan tegas.
“Panglima, izinkan saya untuk melihat kawasan sekitar pulau ini,” tanya Ummu Hakim kepada Abdullah bin Qais setelah pulau Cyprus telah selamat ditakluk oleh tentera Islam.
“Kamu boleh melawat sekitar pulau ini dengan menaiki kuda ini. Pastikan ada orang temankan kamu,” Abdullah bin Qais memberikan kebenaran kepada Ummu Haram yang teringin melawat sekitar pulau itu.
Ummu Haram bersama beberapa orang tentera Islam mula bergerak menaiki kuda mengelilingi kawasan sekitar pulau Cyprus itu.
Pada suatu ketika, seekor binatang buas tiba-tiba muncul dan menyerang kuda yang dinaiki oleh Ummu Haram. Ini menyebabkan Ummu Haram tercampak daripada kudanya lalu jatuh menghempas tanah. Oleh sebab mengalami kecederaan parah, Ummu Haram meninggal dunia di tempat beliau jatuh.
Ummu Haram meninggal dunia pada tahun 27 Hijrah. Kubur beliau masih lagi terdapat dipinggir pantai Cyprus dan dikunjungi oleh umat Islam sehingga kini. Ummu Haram adalah pejuang Muslimah pertama menyeberang lautan untuk berjihad di jalan Allah.
Semoga Allah swt memberi taufiq dan hidayahNya kepada wanita-wanita Islam zaman ini untuk mencontohi Ummu Haram radiyallahu anha dalam meletakkan Kalimah Allah yang tertinggi. Dari kisah di atas, sifat-sifat beliau yang menonjol ialah :
- Menjadi isteri kepada lelaki berilmu seperti Ubadah bin Samit ra, yang merupakan diantara perawi hadis yang masyhur.
- Cinta dan amalinya beliau terhadap Jihad dengan menyertai Perang Badar dan Uhud.
- Memuliakan Rasulullah saw lalu dia dimuliakan oleh Rasulullah saw dengan sering menziarahinya di rumahnya. Beliau contoh ulung dalam menghormati tetamu dan Pesuruh Allah.
- Bersegera dan bercita-cita dalam melakukan apa sahaja yang menuju kepada memenangkan Islam memimpin dan membimbing dunia ini. Sebaik dan setiap kali mendengar kata-kata Rasulullah saw tentang Jihad dan para mujahideen, beliau terus meminta Rasulullah saw mendoakan untuknya agar dia menjadi salah seorang dari mereka.
- Beliau sanggup berjihad di seberang laut, walau dengan menaiki kapal laut, demi mencapai cita-cita Jihadnya.
- Beliau sanggup meninggalkan kampung halamannya untuk pergi ke tempat yang asing lagi milik empayar Eropah, demi menyebarkan Dakwah Islam ke dunia dan benua baru. Akhirnya beliau terus disimpan di sana dan tidak kembali ke kampung halamannya di tanah Arab.
- Beliau berani menentang musuh-musuh Allah biar apa sahaj kekuatan mereka. Bukan sahaja berani menentang Quraisy dalam Perang badar dan uhud, malah menentang NATO/Rom di Cyprus, Eropah.
“Dan As-Sabiquun Al-Awwaluun (orang-orang yang terdahulu memeluk Islam) dari (kalangan) Al-Muhajireen dan Al-Ansar, dan orang-orang yang mengikut (jejak langkah) mereka dengan ihsan (baik dan sempurna), Allah redha kepada mereka dan mereka redha kepada Allah. Allah janji kepada mereka Syurga-syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang hebat” (At-Taubah:100).
dari Ustaz Halim Seremban. Inijalanku.wordpress.com.
Terima kasih ustaz.
Wassalam.
Nisha.












